backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Air Kencing Berdarah Petanda Hematuria! Ini Simptom, Punca Dan Rawatannya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 02/02/2024

    Air Kencing Berdarah Petanda Hematuria! Ini Simptom, Punca Dan Rawatannya

    Hematuria atau air kencing berdarah merupakan satu kondisi yang amat membimbangkan. Walaupun begitu, punca di sebalik kencing berdarah selalunya tidak serius dan boleh dipulihkan dengan rawatan yang betul.

    Ada dua jenis hematuria yang anda perlu tahu iaitu gross hematuria dan microscopic hematuria.

    Gross hematuria bermaksud darah di dalam air kencing boleh dilihat dengan mata kasar, manakala microscopic hematuria pula bermaksud darah terlalu sedikit dan hanya boleh dilihat di bawah mikroskop.

    Walaupun punca hematuria mungkin tidak berbahaya, namun darah di dalam urin tidak sepatutnya dipandang ringan atau diendahkan.

    Punca di sebalik hematuria yang dialami mungkin berbeza mengikut individu. Oleh sebab itu, jika anda mengalami air kencing berdarah, penting untuk anda berjumpa doktor bagi menentukan punca sebenar kewujudan darah di dalam urin anda.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Urologi, sila dapatkannya di sini. 

    Simptom hematuria

    air kencing berdarah

    Anda mungkin tidak akan mengalami sebarang simptom jika hematuria yang dialami ialah hematuria mikroskopik. Namun, jika anda mengalami gross hematuria, anda akan dapati terdapatnya perubahan pada warna urin.

    Selain itu, hematuria juga perlu diperiksa oleh doktor untuk menentukan punca sebenar pendarahan tersebut. Kadangkala, hematuria terjadi sebagai simptom penyakit lain yang lebih serius.

    Antara simptom hematuria yang anda perlu tahu:

    1. Warna urin merah jambu, merah pekat atau coklat

    Selalunya, hematuria akan menyebabkan air kencing anda berwarna merah jambu, merah pekat atau coklat.

    Walau bagaimanapun, pesakit mungkin tidak akan rasa pedih ketika membuang air kecil kerana hanya sedikit sahaja darah yang diperlukan untuk menukar warna urin kepada merah.

    2. Sakit ketika membuang air kecil

    Individu yang menghidap hematuria yang boleh dilihat dengan mata kasar mungkin akan rasa sakit atau pedih ketika membuang air kecil lebih-lebih lagi jika saluran kencing tersumbat dengan gumpalan darah yang bersaiz besar. 

    Punca air kencing berdarah

    Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan masalah air kencing berdarah atau hematuria. Pendarahan tersebut boleh berasal daripada buah pinggang atau bahagian lain di sepanjang saluran urinari.

    Sebagai contoh, hematuria boleh berlaku disebabkan:

    1. Datang haid

    Kadangkala, darah ketika wanita datang haid boleh menyebabkan air kencing menjadi warna merah. Jika ini yang berlaku, maka anda tidak perlu risau. Tetapi pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika pendarahan tersebut berlaku di luar kitaran haid anda.

    2. Air kencing berdarah setelah melakukan senaman berat

    Hematuria boleh terjadi jika anda mempunyai sebarang trauma pada kawasan pundi kencing atau mengalami dehidrasi semasa bersenam.

    Kondisi ini turut di kenali dengan nama hematuria senaman dan ia merupakan kondisi yang tidak berbahaya. Hematuria jenis ini juga lazim berlaku di kalangan lelaki berbanding wanita. 

    Selain itu, hematuria senaman juga selalunya berlaku kepada atlet larian jarak jauh.

    3. Dijangkiti virus

    Individu yang mengalami penyakit disebabkan virus seperti hepatitis – sejenis virus yang menyebabkan penyakit dan inflamasi pada organ hati juga boleh mengalami hematuria.

    4. Kecederaan buah pinggang menyebabkan air kencing berdarah

    Jika anda menerima pukulan pada kawasan buah pinggang; tidak kiralah sama ada ia berlaku disebabkan oleh kemalangan atau bersukan, maka darah boleh muncul di dalam air kencing disebabkan kecederaan tersebut.

    5. Mengalami jangkitan

    Individu yang dapat jangkitan saluran air kencing (UTI) selalunya akan mengalami hematuria sebagai salah satu simptom jangkitan tersebut.

    Selain itu, pesakit juga mungkin akan mengalami simptom lain seperti rasa terdesak ingin membuang air, pedih ketika kencing dan bau urin yang kuat.

    Dalam kalangan orang tua, satu-satunya tanda mereka mengalami UTI adalah munculnya darah di dalam urin mereka.

    Selain itu, individu yang mengalami jangkitan buah pinggang atau pyelonephritis akan mengalami hematuria sebagai salah satu simptom. Tetapi, dalam masa yang sama jangkitan tersebut akan menyebabkan pesakit demam atau sakit pada kawasan sisi abdomen.

    Diagnosis dan rawatan hematuria

    air kencing berdarah

    Rawatan untuk hematuria mungkin berbeza mengikut punca di sebalik masalah ini. Sebagai diagnosis, doktor akan:

    Melakukan ujian urin

    Sebelum melakukan apa-apa ujian, doktor akan bertanya beberapa soalan mengenai simptom dan juga sejarah kesihatan anda.

    Pesakit mungkin akan diminta untuk melakukan ujian urin atau urinalysis

    Urinalysis atau analisis urin bukan sahaja boleh mengesan kehadiran darah, ia juga boleh memeriksa sama ada anda mengalami jangkitan saluran kencing (UTI) atau batu karang.

    Jika darah di dalam air kencing pesakit telah dijumpai melalui urinalysis, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk melakukan ujian sekali lagi bagi memastikan sama ada urin anda masih mempunyai sel darah merah atau tidak. 

    Pemberian ubat antibiotik untuk elak masalah air kencing berdarah

    Bagi pesakit yang tidak mempunyai sebarang masalah yang berat, doktor mungkin akan memberi ubat antibiotik untuk merawat hematuria yang dialami jika ia berlaku disebabkan oleh jangkitan saluran kencing.

    Selain itu, jika anda mengalami masalah lain seperti prostat membengkak atau batu karang, doktor akan mencadangkan rawatan yang bersesuaian supaya tidak ada lagi sebarang darah di dalam urin anda pada masa hadapan.

    Pencegahan hematuria

    Individu yang kerap mengalami masalah darah di dalam air kencing selalunya mempunyai penyakit lain yang boleh menyebabkan hematuria seperti jangkitan saluran kencing, batu karang atau kanser pundi kencing.

    Walau bagaimanapun, ada beberapa amalan dan gaya hidup yang boleh meningkatkan risiko hematuria.

    Sebagai contoh, tabiat merokok, penggunaan ubat tahan sakit yang berleluasa, pendedahan terhadap radiasi atau bahan kimia juga boleh menyebabkan risiko anda untuk mengalami hematuria. 

    Sama jugalah dengan atlet larian jarak jauh. Mereka yang berlari atau berjoging dalam satu jarak yang besar lebih berisiko untuk mengalami masalah air kencing berdarah.

    Jika anda ingin mengelakkan hematuria, cuba tukar rejim senaman kepada aktiviti yang kurang berat dan melibatkan jarak larian yang lebih pendek.

    Selain langkah di atas, anda juga boleh:

    1. Minum banyak air untuk mengurangkan jangkitan

    Jangkitan saluran kencing boleh dielakkan jika anda minum banyak air. Air yang banyak dapat membantu mencairkan urin dan mengeluarkan bakteria daripada saluran uretra.

    Selain itu, pastikan anda menjaga kebersihan diri dan sentiasa buang air sebelum dan selepas melakukan hubungan seks untuk elak UTI.

    2. Elak makanan masin untuk cegah batu karang

    Dalam masa yang sama, elakkan juga makanan masin atau manis dan jaga diet anda agar tidak terjadinya pertumbuhan batu karang lagi pada masa hadapan.

    3. Jauhkan diri dari kanser pundi kencing dengan berhenti merokok

    air kencing berdarah

    Perubahan pada warna air kencing atau hematuria merupakan salah satu tanda awal penyakit kanser pundi kencing. Hematuria boleh menjadi tanda awal kanser walaupun tidak ada pendarahan atau rasa sakit ketika membuang air kecil.

    Salah satu punca kanser pundi kencing ialah merokok. Malah, hampir separuh pesakit kanser pundi kencing dicatatkan mempunyai tabiat merokok.

    Oleh sebab itu, sila berhenti merokok jika anda ingin menjauhkan diri daripada sebarang penyakit kanser. 

    Jangan ambil ringan masalah air kencing berdarah

    Jika masalah air kencing berdarah yang anda alami adalah disebabkan jangkitan seperti UTI, kondisi ini akan dirawat menggunakan antibiotik oleh doktor. Selepas rawatan, doktor akan melakukan ujian urin kali kedua untuk memastikan jangkitan tersebut pulih sepenuhnya.

    Kebanyakan pesakit yang mengalami kencing berdarah tidak mempunyai sebarang simptom yang serius. Malah, punca hematuria yang berlaku juga kadangkala tidak diketahui penyebabnya. 

    Walau bagaimanapun, ini bukan bermakna air kencing berdarah boleh dipandang ringan. Jika ia menyebabkan sesuatu yang serius seperti kanser pundi kencing, maka hematuria yang dikesan awal boleh menyelamatkan nyawa.

    Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor untuk rawatan selanjutnya dan sentiasa menjaga pemakanan untuk mengelakkan hematuria daripada berulang lagi pada masa hadapan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 02/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan