backup og meta

Apa Itu Glomerulonephritis: Jom Ambil Tahu Mengenai Kondisi Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/08/2021

    Apa Itu Glomerulonephritis: Jom Ambil Tahu Mengenai Kondisi Ini!

    Penyakit glomerulonephritis merupakan sejenis gangguan buah pinggang. Penyakit ini berlaku apabila glomeruli, penapis kecil di dalam buah pinggang terluka atau mengalami inflamasi.

    Glomeruli mempunyai fungsi yang amat penting. Ia bertindak mengkumuhkan lebihan cecair, elektrolit dan juga bahan buangan dari darah ke dalam urin.

    Selain itu, penyakit gangguan buah pinggang ini turut dikenali dengan nama nephritis atau nephrotic syndrome. Inflamasi yang pesakit alami boleh berlaku disebabkan jangkitan atau masalah pada sistem imun seseorang.

    Kadangkala, glomerulonephritis boleh sembuh tanpa sebarang rawatan. Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi dan gangguan lain pada buah pinggang jika ia dibiarkan berlarutan tanpa sebarang perhatian daripada doktor. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Urologi, sila dapatkannya di sini. 

    Simptom penyakit glomerulonephritis

    Sukar untuk menentukan punca sebenar glomerulonephritis. Simptom penyakit ini pula bergantung sama ada anda mempunyai glomerulonephritis akut atau kronik.

    Apabila glomerulonephritis berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, ia dikenali sebagai glomerulonephritis akut. Jika ia berlaku dalam satu tempoh masa yang panjang, ia dipanggil glomerulonephritis kronik.

    Kadangkala, ada pesakit yang akan alami serangan akut pada awalnya sebelum diikuti dengan glomerulonephritis kronik bertahun-tahun kemudian.

    Simptom glomerulonephritis akut

    penyakit glomerulonephritis

    Antara simptom awal glomerulonephritis akut yang anda perlu perhatikan adalah:

    1. Muka sembab pada waktu pagi

    Pesakit glomerulonephritis akut akan mengalami pembengkakan pada kawasan muka terutamanya di sekitar mata. Kemudiannya, bengkak ini akan berlaku pula pada kawasan buku lali apabila edema yang dihidapi jadi semakin teruk.

    2. Darah dalam air kencing

    Sebarang luka pada kawasan glomeruli boleh menyebabkan pesakit mengalami kencing berdarah ataupun hematuria.

    3. Air kencing sedikit

    Selain itu, pesakit juga mungkin akan mengeluarkan air kencing yang sedikit daripada biasa. Malah, warna urin mungkin akan lebih gelap berbanding warna normal.

    Simptom glomerulonephritis kronik

    Jika pesakit telah mencapat tahap yang kronik, mereka mungkin akan mengalami:

    1. Protein dalam urin

    Kerosakan pada kawasan glomeruli juga boleh menyebabkan protein terbocor ke dalam air kencing. Urin akan jadi keruh apabila kandungannya tinggi protein. Satu-satunya cara untuk mengesan kebocoran protein adalah dengan melakukan ujian urin.

    2. Darah tinggi atau hipertensi

    Buah pinggang berfungsi untuk mengawal tekanan darah di dalam badan. Oleh sebab itu, sebarang kecederaan pada gromeruli boleh menyebabkan pesakit mengalami darah tinggi.

    Glomerulonephritis yang tidak dirawat boleh meningkatkan risiko pesakit untuk mengalami sakit jantung dan strok.

    3. Edema

    Simptom yang disebabkan oleh glomerulonephritis kronik selalunya bersifat ringan dan tidak dapat dikesan dalam masa yang lama. Salah satu simptom yang boleh berlaku ialah edema iaitu bengkak pada kawasan muka, tangan, kaki dan abdomen.

    4. Sering terkencing waktu malam

    Selain itu, disebabkan masalah pada buah pinggang, pesakit mungkin akan mula terkencing pada waktu malam.

    5. Urin berbuih

    Sama seperti simptom glomerulonephritis akut, pesakit yang mengalami glomerulonephritis kronik turut mempunyai air kencing yang berbuih dan berwarna keruh.

    Simptom kegagalan buah pinggang

    penyakit glomerulonephritis

    Kegagalan buah pinggang atau dikenali sebagai end-stage renal disease (ESRD) merupakan tahap yang terakhir untuk penyakit buah pinggang kronik.

    Apabila buah pinggang gagal berfungsi, pesakit tidak dapat lagi hidup tanpa bantuan dialisis dan memerlukan pemindahan buah pinggang.

    Antara simptom kegagalan buah pinggang termasuklah:

    1. Tiada selera makan. Ini mungkin berpunca daripada pengumpulan toksin dalam badan yang berlaku apabila buah pinggang tidak lagi berfungsi dengan baik.
    2. Loya dan muntah-muntah
    3. Letih. Pengumpulan toksin dalam darah juga akan menyebabkan pesakit rasa letih, lemah  dan sukar untuk fokus.
    4. Sukar tidur malam. Individu yang mempunyai berat badan berlebihan selalunya mengalami masalah sleep apnea atau sukar untuk tidur malam jika mereka alami masalah buah pinggang.
    5. Kulit kering dan gatal. Kulit kering merupakan salah satu kesan apabila buah pinggang tidak dapat memastikan mineral dan nutrisi dalam badan berada dalam keadaan yang seimbang.
    6. Otot kejang pada waktu malam. Ketidakseimbangan elektrolit disebabkan masalah buah pinggang akan menyebabkan pesakit mengalami kekejangan otot pada waktu malam.

    Punca penyakit glomerulonephritis

    Ada banyak kondisi yang boleh menyebabkan glomerulonephritis. Penyakit ini boleh diturunkan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya. Namun, dalam banyak kes, punca sebenar penyakit ini tidak diketahui.

    Antara kondisi yang boleh menyebabkan inflamasi pada glomeruli adalah:

    1. Jangkitan bakteria

    Glomerulonephritis boleh berlaku selepas satu atau dua minggu setelah pesakit pulih daripada jangkitan strep throat.

    Untuk melawan jangkitan ini, badan akan menghasilkan antibodi yang berlebihan. Antibodi ini akhirnya akan melalui glomeruli dan menyebabkan inflamasi.

    2. Penyakit imun

    Penyakit yang mempengaruhi sistem imun seperti lupus, sindrom Goodpasture dan IgA nephropathy boleh menyebabkan glomerulonephritis.

    3. Individu buta atau pekak

    Glomerulonephritis yang kronik selalunya merupakan penyakit yang berlaku secara turun temurun. Penyakit ini selalunya berlaku kepada lelaki muda yang tidak boleh mendengar atau melihat.

    Rawatan dan diagnosis glomerulonephritis

    Rawatan mungkin berbeza mengikut jenis dan tahap penyakit yang dialami. Kadangkala, kes yang ringan tidak memerlukan sebarang rawatan.

    Selain itu, rawatan yang diberikan akan memfokuskan pada punca yang menyebabkan pesakit mengalami glomerulonephritis.

    Sebagai contoh, jika pesakit mempunyai masalah darah tinggi, doktor akan memfokuskan rawatan untuk membantu pesakit mengawal tekanan darah.

    Selalunya, glomerulonephritis hanya dapat dikesan setelah pesakit melakukan analisis urin. Antara ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan penyakit glomerulonephritis:

    1. Ujian air kencing

    Ujian air kencing akan menunjukkan kehadiran sel darah merah dalam urin pesakit yang menghidap glomerulonephritis. Selain itu, ujian mungkin akan mengesan kehadiran sel darah putih yang menandakan inflamasi atau jangkitan.

    Selain itu, doktor juga akan mencari indikasi lain seperti kehadiran protein yang menandakan kerosakan nephron.

    2. Ujian darah

    Ujian darah boleh memberikan informasi mengenai kerosakan buah pinggang dan glomeruli dengan cara mengesan jumlah bahan buangan seperti kreatinin dan nitrogen urea darah.

    3. Biopsi

    Prosedur ini melibatkan penggunaan jarum khas untuk mengambil sampel tisu pada buah pinggang bagi menentukan punca sebenar inflamasi. Bagi mengesan penyakit glomerulonephritis, prosedur biopsi perlu dilakukan untuk melakukan diagnosis.

    Rawatan untuk glomerulonephritis pula bergantung kepada tahap penyakit (akut atau kronik), puncanya dan keseriusan gejala yang dialami. Rawatan boleh diberikan dalam bentuk:

    4. Ubat-ubatan

    Kadangkala, glomerulonephritis boleh sembuh dengan sendirinya, lebih-lebih lagi jika ia bersifat akut. Walau bagaimanapun, pesakit mungkin memerlukan ubat-ubatan atau rawatan sementara menggunakan buah pinggang artifisial untuk membuang cecair lebihan di dalam badan.

    5. Kurangkan makan protein, garam dan potasium

    Tukar diet anda dan kurangkan pengambilan protein, garam dan potasium. Ini dapat membantu badan anda untuk memastikan tekanan darah dan jumlah cecair di dalam badan dapat diregulasikan dengan baik.

    6. Kawal tekanan darah

    Penyakit glomerulonephritis selalunya akan menyebabkan masalah tekanan darah tinggi yang boleh menyebabkan kerosakan dan gangguan yang teruk pada buah pinggang pesakit.

    Doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan yang bersesuaian untuk mengawal tekanan darah dan mengurangkan jumlah protein yang bocor ke dalam urin. Ubat-ubatan ini dapat membantu pesakit untuk melindungi dan memanjangkan jangka hayat buah pinggang mereka.

    7. Pengambilan diuretik

    Doktor mungkin akan memberikan diuretik atau pil air kepada anda untuk mengurangkan sembap di sekitar muka dan bengkak yang berlaku pada tangan dan kaki anda.

    8. Makan suplemen kalsium

    Jika tahap kalsium di dalam badan pesakit rendah, doktor mungkin akan memberikan suplemen kalsium kepada pesakit untuk mengekalkan kesihatan tulang.

    Cegah penyakit glomerulonephritis

    penyakit glomerulonephritis

    Masih belum ada langkah pencegahan yang berkesan untuk elak glomerulonephritis. Walau bagaimanapun, anda boleh mengamalkan beberapa langkah seperti:

    1. Jaga kebersihan diri

    Elakkan sebarang jangkitan dengan cara menjaga kebersihan diri. Pastikan anda berjumpa doktor jika mengalami jangkitan seperti strep throat.

    2. Amalkan seks selamat

    Pastikan anda sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan gunakan perlindungan semasa melakukan hubungan seks.

    3. Elakkan penyalahgunaan dadah

    Jangan sesekali berkongsi jarum untuk mengambil dadah. Selain itu, pastikan anda melakukan tatu di tempat yang selamat, bersih dan terjamin.

    4. Kawal darah tinggi untuk elak glomerulonephritis

    Pastikan anda mengambil ubat-ubatan seperti yang diperskripsikan oleh doktor. Urus darah tinggi yang anda alami dengan mengamalkan diet rendah garam dan bersenam.

    5. Makan makanan yang sihat

    Pastikan anda mengambil makanan sihat dan elakkan pengambilan makanan yang diproses.

    Jumpa doktor untuk cegah glomerulonephritis

    Setiap individu mempunyai prognosis yang berbeza untuk penyakit glomerulonephritis. Kadangkala, penyakit ini boleh sembuh dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan.

    Walau bagaimanapun, ada pesakit yang mengalami masalah atau gangguan kesihatan jangka panjang seperti penyakit buah pinggang kronik, hipertensi dan kegagalan buah pinggang selepas bertahun-tahun menghidap glomerulonephritis.

    Jika anda mengalami simptom seperti yang digariskan di atas, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan