Sebenarnya, amalan kepit kuku ini bukan dilakukan atas dasar kemahuan tetapi keperluan. Atau jika tidak, kuku anda itu bukan sahaja akan panjang malah hitam, kotor dan penuh daki.
Namun demikian, usah pula anda ketip kuku terlalu pendek sampai nampak daging di bawahnya. Ramai yang tidak tahu jika ini boleh menjadi punca infeksi bakteria dan banyak masalah lain.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Kenapa kita semua harus potong kuku?
Penjagaan kebersihan dan kesihatan diri itu perlu meliputi keseluruhan tubuh badan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Ia termasuklah kuku kaki dan tangan yang sering kali terabai.
Untuk pengetahuan anda semua, kuku adalah antara bahagian terpenting kerana ia terletak pada hujung jari-jemari yang akan banyak digunakan untuk menyentuh dan memegang sesuatu.
Kuku yang panjang, hitam lagi kotor itu bukan sahaja bakal merosakkan penampilan malah turut boleh menjejaskan kualiti makanan dan minuman yang diambil secara langsung dengan menggunakan tangan.
Akibatnya, ia boleh jadi ‘rumah’ kepada anasir jahat seperti kuman yang seterusnya menyebabkan masalah pada kesihatan. Contohnya, kuku yang dibiarkan terlalu panjang itu sering kali dikaitkan dengan infeksi kulat kuku atau pinworms.
Dalam erti kata lebih mudah, potonglah kuku kerana ia juga adalah antara tuntutan dalam agama!
Jangan kepit kuku terlalu pendek pula!
Tidak potong salah, sudah potong pun salah? Ya, anda mungkin perlu berhati-hati dalam hal ini.
Ini kerana ada juga individu yang mempunyai kebiasaan untuk memotong kuku mereka terlalu pendek sehingga terlihat daging di bawahnya dan ia adalah satu tabiat yang ternyata tidak bagus.
Selain akan membuatkan kuku anda itu tampak aneh dan pucat, anda juga bakal hilang nikmat menggaru tubuh badan yang gatal dengan kuku. Bukan itu sahaja, ada lagi bahaya yang lebih besar. Antaranya:
Angkara kepit kuku terlalu pendek #1. Rasa sakit
Apabila anda ketip kuku terlalu pendek, hyponychium – lapisan daging merah di bawah kuku itu akan terlihat. Kesannya, ia akan buat hujung jari anda rasa sakit, pedih dan tidak selesa.
Puncanya, wujud banyak hujung saraf pada lapisan ini yang sangat sensitif. Ketika ia tersembunyi di bawah kuku, anda tidak akan rasa sakit namun lain pula ceritanya apabila ia ‘terkeluar’.
Dalam usaha untuk mengelakkan rasa sakit berpanjangan, tindakan yang anda boleh buat adalah membalut atau menutup lapisan tersebut dengan menggunakan plaster agar ia tidak lagi terdedah pada segala bentuk kontak punca kesakitan.
Akibat kepit kuku terlalu pendek #2. Infeksi bakteria
Seperti mana kami kata di awal artikel, tabiat sering kepit kuku terlalu pendek mungkin boleh jadi punca infeksi bakteria yang dikenali dengan nama paronychia dan ia turut berbahaya.
Selain menyebabkan ketidakselesaan pada hujung jari, jangkitan ini boleh mengakibatkan kuku anda terinfeksi lantas meradang dan membengkak disertai dengan rasa sakit yang teruk.
Penggunaan ubat antibiotik mungkin boleh membantu merawat masalah ini. Namun apabila ia melarat akibat tiada tindakan yang diambil, jangkitan akan lebih sukar untuk dipulihkan terutama jika anda mempunyai masalah lemah sistem imun.
Kesan jika potong terlalu pendek #3. Kondisi cagu
Pernah dengar tentang cagu? Kondisi yang juga popular dengan nama kuku cengkam atau cekam ini berlaku apabila kuku anda mula tumbuh ke dalam dan menekan daging di bawahnya.
Ada banyak faktor risiko yang memicu kepada masalah ini selain kepit kuku terlalu pendek seperti tidak jaga kebersihan, trauma atau kecederaan, keadaan kesihatan serta banyak lagi.
Baca lagi artikel berkaitan:
Apa yang mungkin sedikit melegakan adalah ia tidak sukar untuk dirawat, jadi anda boleh cuba cara berikut:
- Rendam dalam air hangat
- Tutup dengan kain balut
- Makan ubat tahan sakit
- Sapu ubat krim antibiotik
- Pakai kasut dan stoking yang sesuai
Maka, sila potong dengan cara betul…
Konklusinya, membiarkan kuku anda terlalu panjang atau terlampau pendek akan mengakibatkan kesan sampingan. Apa yang kalian harus buat adalah sila ketip kuku dengan cara betul.
Menurut Canadian Dermatology Association, individu wajar potong kuku sekurang-kurangnya 1 atau 2 kali dalam masa seminggu bagi kuku tangan dan lebih lambat pula bagi kuku kaki.
Pastikan juga anda potong ia tidak begitu pendek. Biarkan ada sedikit jarak sisa kuku putih di atas kuku merah jambu anda itu untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah-masalah berkaitan!