backup og meta

Tak Tahan Rasa Sakit Kuku Cengkam? Ini Tanda Anda Perlu Jalani Pembedahan Kuku!

Tak Tahan Rasa Sakit Kuku Cengkam? Ini Tanda Anda Perlu Jalani Pembedahan Kuku!

Kuku cengkam, juga dikenali dengan nama cagu kuku adalah sejenis kondisi yang berlaku pada ibu jari kaki yang mengakibatkan kesakitan kronik, berbau dan bahkan, bernanah!

Kondisi kuku ini boleh disebabkan oleh faktor penjagaan kebersihan kaki yang lemah, potongan kuku kaki yang salah serta pemakaian saiz kasut yang tidak bersesuaian.

Masalah cagu juga kerap berlaku dalam kalangan masyarakat, dan biasanya boleh dirawat tanpa melibatkan pembedahan.

Pun begitu, dalam kes yang teruk, pesakit mungkin bakal memerlukan prosedur perubatan kecil untuk merawat cagu kuku.

Sekiranya ia dikesan pada tahap awal, tidak mustahil kondisi ini boleh dirawat hanya di rumah.

Namun, dalam kes yang sudah parah terutamanya apabila kuku telah dijangkiti, pesakit mungkin perlu merujuk doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat, antibiotik, atau prosedur pembedahan.

Dalam artikel ini, kami di Hello Doktor akan menerangkan petanda seseorang memerlukan pembedahan cagu kuku serta mengupas perihal prosedur dan rawatan alternatif dengan lebih lanjut.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

Apa itu kuku cengkam?

Sebelum kita kupas dengan lebih lanjut, adalah wajar untuk pembaca sekalian memahami cagu kuku dengan lebih mendalam.

Cagu berlaku apabila sudut atas atau sisi kuku kaki anda tumbuh ke dalam daging. Ia biasanya terbentuk pada ibu jari kaki.

Penyebab umum kuku cengkam termasuk:

  • Memakai kasut yang terlalu ketat di penghujung jari kaki
  • Memotong kuku kaki terlalu pendek
  • Alami kecederaan jari atau kuku kaki
  • Kuku kaki secara semula jadi tumbuh melengkung

Mereka yang menghidap diabetes atau mempunyai kondisi perubatan lain yang mempengaruhi kaki, mungkin akan lebih memerlukan prosedur pembedahan.

Prosedur pembedahan yang perlu anda tahu!

cagu kuku cengkam

Pembedahan kuku kaki cengkam biasanya merupakan prosedur pesakit luar yang melibatkan penggunaan anestesia setempat.

Anestesia setempat bermaksud doktor membius kawasan yang bakal dibedah dan mewujudkan rasa kebas hingga membuatkan pesakit hilang deria rasa.

Ia turut dijalankan dalam keadaan pesakit kekal sedar saat prosedur.

Beberapa prosedur pembedahan dapat merawat masalah cagu kuku. Pakar bedah ortopedik atau podiatrist boleh memberi khidmat nasihat mengenai pilihan terbaik.

Namun, pesakit haruslah memaklumkan doktor sekiranya wujud sebarang masalah kesihatan yang dimiliki, termasuk sejarah cagu kuku, jika ada.

Antara prosedur pembedahan yang acap kali dijalankan untuk masalah kuku cengkam adalah:

  • Wedge resection: Untuk prosedur ini, doktor bakal membuang sebahagian daripada kuku kaki untuk mengelakkannya daripada ‘mencengkam’ ke dalam kulit. Prosedur ini turut dipanggil partial nail avulsion
  • Pembuangan kuku kaki: Doktor mungkin memutuskan untuk membuang keseluruhan kuku kaki. Namun, pembuangan keseluruhan kuku kaki berupaya menjadikan ia tumbuh kembali dalam bentuk tidak sempurna/cacat, yang dapat meningkatkan lagi risiko cagu kuku untuk terbentuk. Kuku juga memerlukan tempoh masa sekitar 18 bulan untuk tumbuh sepenuhnya. Prosedur ini juga digelar complete nail plate avulsion
  • Pembedahan di hujung jari kaki: Sekiranya pembedahan lain didapati tidak bersesuaian, atau prosedur sebelumnya gagal, doktor mungkin akan singkirkan dan membentuk semula tisu lembut di hujung jari kaki
  • Matrixektomi: Prosedur ini mungkin diperlukan jika pencabutan kuku atau wedge resection gagal

Tambahan itu, doktor juga mungkin akan memotong jauh ke dalam kuku untuk melegakan kebengkakan atau mengeringkan tisu yang dijangkiti.

Baca juga:

Jika tidak mahu jalani pembedahan kuku cengkam, ini rawatan alternatif!

rendam kaki

Pembedahan untuk masalah cagu kuku tidak selalu diperlukan dan hanya dibuat berlandaskan keparahan kondisi.

Sebelum merujuk ke doktor, anda boleh mencuba rawatan di rumah seperti berikut:

  • Rendam kaki anda dalam air suam beberapa kali sehari selama 15 hingga 20 minit pada satu masa. Ini dapat membantu mengurangkan rasa sakit dan bengkak
  • Selitkan bebola kapas atau flos gigi di penghujung kuku cengkam anda. Ia dapat membantunya tumbuh dengan betul. Keluarkan kapas atau flos gigi tersebut jika rasa sakit bertambah teruk atau timbul tanda-tanda jangkitan, seperti nanah
  • Tutup kuku jari kaki dengan salap di kaunter, seperti petroleum jelly dan pembalut. Ini akan bantu menjaga kuku kaki anda agar kekal bersih dan terlindung ketika tumbuh baru
  • Pakai kasut terbuka atau tertutup selesa yang memberi ruang mencukupi kepada jari kaki anda
  • Ambil ubat tahan sakit di kaunter jika perlu

Hentikan rawatan rumah ini dan temui doktor jika kondisi kuku tidak pulih selepas 5 hari atau jika anda mengalami:

  • Demam
  • Kesakitan yang semakin teruk
  • Keluar cecair atau pendarahan daripada kawasan tersebut

Akhir kata…

kuku cengkam

Pembedahan adalah 1 opsyen yang boleh dipertimbangkan sekiranya anda mengalami kondisi cagu kuku yang kronik.

Walau bagaimanapun, selalunya remedi di rumah sudah mencukupi untuk mengatasi masalah kuku cengkam yang tidak parah.

Sekiranya anda memerlukan prosedur pembedahan, ia boleh dilakukan di klinik atau hospital berdekatan dengan bantuan anestesia setempat. Anda mungkin perlu menemui podiatrist atau pakar kaki.

Jangan khuatir, komplikasi disebabkan pembedahan kuku jari kaki sangat jarang berlaku.

Setelah mendapatkan rehat selama beberapa hari, anda akan dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Ingrown Toenails. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ingrown-toenails/symptoms-causes/syc-20355903. Accessed on 31 July, 2022.
  2. Ingrown Toenails. https://orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/ingrown-toenail. Accessed on 31 July, 2022.
  3. Surgical treatment of ingrown toenails in children: what is best practice? Accessed on 31 July, 2022.  https://publishing.rcseng.ac.uk/doi/10.1308/003588411X12851639107674. Accessed on 31 July, 2022.
  4. Ingrown Toenail Removal. https://www.aafp.org/afp/2002/0615/p2547.html. Accessed on 31 July, 2022.
  5. Ingrown Toenail. https://www.nhs.uk/conditions/ingrown-toenail/. Accessed on 31 July, 2022.

Versi Terbaru

31/07/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Anestesia Setempat

Sunnah Hari Jumaat, Nak Jaga Kebersihan, Berapa Kali Kena Potong Kuku Dalam Seminggu?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 31/07/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan