“Sudah bertahun-tahun muka berjerawat. Malah, pelbagai tips penjagaan muka berjerawat sudah dicuba, namun semuanya tidak berjaya. Sebenarnya, bolehkah jerawat saya hilang dan sembuh?”
Kami faham, jerawat merupakan satu kondisi yang boleh membuatkan kita stres, rasa tidak yakin dan malu dengan penampilan diri sendiri.
Benar, terdapat pelbagai kaedah merawat jerawat ada di luar sana.
Namun, perkara pertama yang perlu anda titikberatkan untuk pastikan jerawat berkurangan ialah rutin penjagaan kulit wajah yang baik.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai 6 tips penjagaan muka berjerawat dan faedahnya untuk kulit anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apakah maksud jerawat?
Jerawat merupakan satu kondisi yang berlaku apabila folikel rambut tersumbat dengan minyak dan sel kulit mati.
Walaupun jerawat sangat lazim dalam kalangan remaja, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Ada banyak punca jerawat. Ia boleh disebabkan genetik, masalah hormon, tekanan perasaan, cuaca dan juga penggunaan produk yang tidak betul.
Di pasaran, anda boleh jumpa pelbagai rawatan dan juga ubat jerawat. Walau bagaimanapun, jerawat boleh menjadi sangat ‘degil’.
Walaupun bermacam-macam cara yang telah dilakukan untuk menghilangkannya, namun jerawat masih akan muncul pada permukaan kulit wajah.
Rutin penjagaan wajah yang betul dapat membantu:
- Mengurangkan minyak pada kulit.
- Membersihkan pori wajah.
- Memastikan jerawat sembuh dengan cepat.
6 tips penjagaan muka berjerawat
Penjagaan kulit yang rapi dan gaya hidup sihat dapat membantu anda mengelakkan pelbagai jenis masalah kulit.
Ingin tahu cara penjagaan muka berjerawat dan berminyak yang betul?
Untuk bermula, ikuti 6 tips penjagaan muka berjerawat yang kami sediakan di bawah:
1. Cuci dan rawat kulit wajah
Mencuci muka merupakan langkah pertama dalam setiap rutin penjagaan wajah, tidak kiralah apa jua kondisi kulit anda.
Gunakan pencuci muka yang mengandungi benzoil peroksida untuk memastikan kotoran dan juga lebihan minyak pada wajah tertanggal sepenuhnya.
Anda juga boleh gunakan pencuci muka yang mengandungi seramida, asid hialuronik dan niasinamida untuk pastikan kulit kekal lembut sepanjang hari.
Jangan lupa cuci muka sebelum tidur! Individu yang mempunyai kulit berjerawat mungkin perlu melakukan double cleansing.
Apa itu double cleansing? Pertama sekali, cuci wajah dengan pencuci muka berasaskan minyak yang diformulasi khas untuk membersihkan wajah.
Minyak ini akan menanggalkan mekap dan juga segala kotoran yang melekat pada kulit. Urut pada wajah selama 2-3 minit.
Tip: Jangan lap muka dengan kain atau tuala yang kasar. Lap muka dengan cara menekup wajah pada kain berkali-kali.
2. Pakai toner
Toner merupakan sejenis produk yang dapat membantu mengurangkan lebihan minyak dan juga kotoran pada wajah.
Pilih toner yang mengandungi asid glikolik atau asid salisilik untuk membuang sel-sel kulit mati.
Walau bagaimanapun, toner mungkin akan mengeringkan kulit wajah. Jadi, jika anda mempunyai kulit kering, anda tidak perlu gunakan toner.
3. Exfoliate atau tidak?
Bagi mereka yang mempunyai jerawat, anda tidak perlu exfoliate dengan kerap lebih-lebih lagi jika kulit sangat sensitif dan mudah breakout.
Elakkan penggunaan skrub yang kasar. Pakai mask lumpur atau sebarang produk yang dapat menanggalkan sel kulit mati secara kimia (chemical exfoliant).
Exfoliant mungkin berkesan di kawasan-kawasan yang mempunyai banyak jerawat seperti di sekitar rahang, hidung dan juga pipi.
Baca juga:
- Setiap Hari Tonyoh Muka Dengan Skrub, Tahu Tak Ia Sebenarnya Boleh Merosakkan Kulit?
- Menakjubkan! 6 Jenis Buah Ini Boleh Buat Jerawat Anda Kecut, Pudar Dan Hilang!
Tips penjagaan muka berjerawat 4: Sapukan ubat jerawat
Menurut American Academy of Dermatology (AAD), ada banyak krim topikal yang dapat membantu melawan jerawat.
Kuncinya, anda perlulah mencari krim yang paling efektif untuk merawat jerawat yang anda alami.
Bergantung pada jenis jerawat, anda boleh cuba:
- Blackhead: Gunakan produk yang mengandungi retinoid.
- Jerawat ringan: Krim yang mengandungi benzoil peroksida mungkin dapat membantu.
- Jerawat yang meninggalkan parut: Ubat yang mengandungi asid azelaik dapat mengurangkan jerawat dan parut pada wajah.
Sebelum anda ambil apa-apa jenis ubat jerawat, dapatkan konsultasi daripada doktor pakar terlebih dahulu.
Ada juga ubat-ubatan yang perlukan preskripsi daripada doktor dan tidak boleh dibeli di farmasi.
Tips penjagaan muka berjerawat 5: Gunakan pelembap
Siapa kata kalau muka berjerawat tidak boleh pakai pelembap? Pemakaian pelembap merupakan salah satu tips penjagaan muka berjerawat yang tidak boleh dipandang enteng!
Individu yang mempunyai masalah jerawat selalunya diganggu dengan masalah kulit kering.
Jadi, jangan biarkan kulit anda kehausan! Pakai pelembap sekurang-kurangnya 2 kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam.
Sekiranya anda ingin gunakan pelembap, pilih produk yang bebas minyak dan bukan komedogenik. Produk bukan komedogenik tidak akan membuatkan pori wajah tersumbat.
5. Jangan lupa pakai sunscreen!
Kebanyakan ubat jerawat bukan sahaja akan buatkan wajah menjadi kering, ia juga boleh meningkatkan risiko selaran matahari.
Oleh sebab itu, jangan sesekali culas pakai sunscreen.
Kebanyakan pelindung matahari di pasaran sudah mempunyai SPF. Sebelum beli, pilih produk yang bebas minyak.
Anda juga boleh beli pelembap 2 dalam 1 yang juga berfungsi sebagai sunscreen!
Tips penjagaan muka berjerawat: Rutin itu penting!
Sekiranya anda mempunyai kulit berjerawat, penting untuk anda mempunyai rutin sendiri untuk kurangkan breakout.
Jadi, jangan lupa disiplinkan diri untuk lakukan rutin yang sama setiap hari ya!