backup og meta

Jerawat & Hormon? Ini Kesannya Pada Kesihatan Wanita

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 25/10/2022

    Jerawat & Hormon? Ini Kesannya Pada Kesihatan Wanita

    Ah, jerawat hormon! Jerawat yang menjengkelkan dan menyakitkan, malah muncul pada masa terburuk yang tak dapat dibayangkan!

    Bukankah jerawat atau akne sepatutnya sudah tidak berlaku setelah melepasi fasa umur remaja?

    Ternyata tidak ya! Untuk makluman, akne hormon berkait rapat dengan turun naik hormon anda.

    Walaupun turun naik hormon ini sering dikaitkan dengan fasa akil baligh, tapi akne hormon boleh mempengaruhi orang dewasa tidak kira usia.

    Dianggarkan sebanyak 50% daripada golongan wanita berusia 20 hingga 29 tahun mempunyai jerawat. Ia turut mempengaruhi kira-kira 25% wanita berumur 40 ke 49 tahun.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Jerawat hormon, apa hubungannya?

    Pertama, penting untuk kalian fahami perbezaan antara jerawat hormon dan jerawat akibat liang roma tersumbat.

    Menurut Dr. Manjula Jegasothy, Ahli Dermatologi dan Pengasas Miami Skin Institute, hormon yang menyebabkan akne jenis ini, dipicu oleh turun naik estrogen dan progesteron, yang kedua-duanya menjadi sangat berbeza sepanjang bulan kitaran haid.

    Selain itu, nisbah setiap hormon ini antara satu sama lain juga berupaya mempengaruhi kadar testosteron wanita  dan turut dapat menyebabkan jerawat hormon.

    Di samping itu, kortisol iaitu sejenis ‘hormon stres’, turut berpotensi mempengaruhi semua hormon ini.

    Dipercayai bahawa turun naik hormon, menyebabkan pertambahan pengeluaran minyak di liang pori.

    Jerawat hormon

    Bagaimana hormon mempengaruhi wanita?

    Seperti yang kita semua ketahui, hormon memberi kesan penting terhadap kesihatan wanita.

    Pada golongan wanita, hormon seks utama adalah estrogen dan progesteron.

    Pengeluaran hormon ini berlaku terutamanya pada ovari, kelenjar adrenal dan semasa kehamilan.

    Hormon seks wanita juga mempengaruhi kulit, berat badan, pertumbuhan rambut, tulang dan otot.

    Kesan hormon yang tidak seimbang dalam jangka panjang dapat menyebabkan pelbagai gejala dan impak kepada kesihatan.

    Baca juga:

    Jerawat hormon & kitaran haid

    Menurut kajian dermatologi, lebih daripada 60% wanita yang terjejas dengan masalah jerawat mengalami gejala pra-menstruasi dengan kerap.

    Ini kerana kitaran haid wanita menyebabkan naik turun tahap hormon dan kulit dipengaruhi secara berbeza pada waktu yang berlainan dalam bulan tersebut.

    Kitaran haid biasanya berlangsung selama 28 hari (ia bermula pada hari pertama haid dan berakhir satu hari sebelum pendarahan bermula lagi).

    • Hari 1-14

      Dua hormon yang dilepaskan oleh kelenjar pituitari; follicle stimulating hormone (FSH) dan luteinizing hormone (LH). Hormon-hormon ini mengawal fungsi ovari dan penghasilan hormonnya. Pada tahap ini, estrogen adalah lebih dominan berbanding progesteron

    • Hari 14-28

      Tahap progesteron bakal meningkat dan menjadi hormon dominan. Kenaikan ini merangsang pengeluaran sebum, yang mampu menjejaskan kulit. Tahap estrogen juga menurun

    Sejurus sebelum pendarahan bermula, kedua-dua estrogen dan progesteron berada pada tahap paling rendah.

    Pada tahap ini testosteron berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding hormon wanita, menyebabkan pengeluaran sebum dengan lebih banyak.

    Jerawat hormon

    Jerawat & kehamilan

    Akne kehamilan mungkin disebabkan oleh perubahan hormon dan ia sering berlaku sewaktu mengandung.

    Untuk makluman, lebih daripada separuh kulit wanita hamil boleh ditumbuhi jerawat.

    Dua perkara yang berpotensi memicu akne pada minggu ke-6 kehamilan adalah kesan hormon yang melonjak naik.

    Dalam hal ini, progesteron yang menyebabkan kelenjar anda meningkatkan rembesan minyak (sebum) dapat menyumbat liang pori dan menyebabkan bakteria terkumpul.

    Selain itu, badan ketika hamil juga menyimpan lebih banyak cecair dan mengandungi toksin yang boleh menyebabkan jerawat.

    Jerawat & menopaus

    Menurut pakar, semakin ramai wanita melaporkan mengalami masalah jerawat di luar usia remaja sekitar 30-an, 40-an dan 50-an.

    Sebilangan besar jerawat wanita dewasa adalah berpanjangan, yang berterusan sejak akil baligh setelah usia 24 tahun, namun antara 20% hingga 40% kes bermula selepas baligh.

    Masih tidak jelas mengapa perkara ini berlaku, tetapi beberapa perubahan hidup boleh menjadi penyebab.

    Para penyelidik menyatakan, wanita yang mengalami jerawat di sekitar usia menopaus biasanya mempunyai tahap androgen dalam julat normal, tetapi kekurangan hormon estrogen.

    Tip-tip pencegahan jerawat hormon

    #1 Dapatkan khidmat nasihat pakar

    Sekiranya rawatan di kaunter tidak berfungsi, anda mungkin perlu mendapatkan bantuan pakar kulit, yang boleh menawarkan rawatan jerawat hormon yang dipreskripsikan.

    Anda juga boleh menemui  pakar dermatologi jika mempunyai akne dalam atau cystic, kerana ia boleh menjadi  lebih serius, seperti masalah tiroid atau tahap hormon yang tidak normal.

    #2 Menjaga kesihatan diri

    Bersenam, mengamalkan diet sihat dan seimbang akan membantu anda mengekalkan kesihatan badan pada tahap optimum.

    Diet yang kaya dengan fitoestrogen (hormon semula jadi, tumbuhan yang terdapat dalam kacang soya dan kekacang lain) juga dapat bantu menjaga keseimbangan hormon.

    Jerawat hormon

    #3 Jaga kulit anda

    Dengan mengamalkan rutin penjagaan kulit dan menggunakan produk bukan komedogenik yang dirumus khas untuk kulit berjerawat, sedikit sebanyak ia dapat bantu anda menjaga kesihatan kulit.

    #4 Cuba untuk tidak berada dalam keadaan tertekan

    Tekanan atau stres boleh memicu kelenjar sebum dan menjadikan masalah jerawat bertambah buruk.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 25/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan