backup og meta

Tutup Jerawat Dengan Plaster Acne Patch, Menyembuhkan Atau Memburukkan?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 18/08/2023

    Tutup Jerawat Dengan Plaster Acne Patch, Menyembuhkan Atau Memburukkan?

    Kulit wajah timbul jerawat namun anda tidak tahu apa perlu buat? Pada ketika ini, fungsi pelekat jerawat atau plaster akne mungkin boleh bantu anda! Jom terus baca artikel dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Apa dia fungsi pelekat jerawat?

    Untuk pengetahuan anda semua, fungsi acne patch itu adalah digunakan untuk merawat jerawat dan ia hampir sama dengan plaster yang digunakan untuk menutup luka di kulit anda.

    Selain mengandungi bahan yang boleh membantu merawat akne, ia juga mampu mencegah anda daripada menyentuh kulit kerana ini adalah salah satu punca masalah jerawat itu bertambah teruk.

    Alasannya, tangan dan jari anda itu mungkin penuh dengan bakteria punca jerawat meradang, memburukkan bahkan menyebabkan lambat untuk sembuh. Jadi, anda perlu elak daripada menyentuh kulit wajah.

    “Secara tidak sedar, tangan dan jari manusia akan menyentuh banyak benda yang kotor di sekeliling termasuk jerawat sedia ada lantas terdedah kepada bakteria. Apabila anda menyentuh kulit muka, maka bakteria itu boleh merebak sekali gus membawa masalah breakout,” jelas Ahli Estetik, Cynthia Roberts.

    Cumanya, keberkesanan fungsi acne patch ini sering kali diragui terutama jika anda ada masalah jerawat yang kronik. Sebenarnya, anda mungkin telah salah cara penggunaan produk ini.

    Bagaimana cara pakai acne patch yang betul?

    Dalam usaha untuk plaster akne berfungsi pada tahap maksimum, sila ikut langkah yang berikut:

    #1. Pilih ukuran plaster yang tepat

    Jerawat akan muncul dengan bentuk dan saiz yang berbeza; ada yang besar, ada yang kecil. Jadi, anda perlu pilih ukuran plaster yang tepat agar ia dapat menutup jerawat dengan sempurna.

    Kebiasaannya, acne patch di pasaran tersedia dengan ukuran 7 hingga 12 milimeter (mm). Pun begitu, anda tidak perlu risau kerana ia boleh dipotong, digunting atau dicantum secara sendiri.

    #2. Pilih kandungan plaster yang betul

    Selain ukuran, kandungan di dalam plaster itu juga perlu betul agar ia dapat membantu merawat masalah jerawat dan dalam masa yang sama tidak pula memburukkan lagi kondisi sedia ada.

    Antara kandungan yang bagus ada di dalam acne patch adalah asid salisik, asid niasinamida, zat hidrokoloid dan pelbagai lagi bahan kimia tertentu. Sila baca label produk dengan lebih teliti.

    Cara pakai acne patch #3. Cuci kulit

    fungsi acne patch

    Selepas memilih ukuran dan kandungan plaster akne terbaik, perkara utama yang anda perlu buat sebelum memakai produk ini adalah mencuci bahagian kulit dengan air dan sabun sesuai.

    Cuci keseluruhan kulit dengan lembut tanpa skrub. Kemudian, basuh, tepuk, lap dengan tuala dan biar kulit kering dahulu sebelum anda lekat produk ini di atas jerawat untuk kesan terbaik.

    Baca lagi artikel berkaitan:

    Cara pakai acne patch #4. Guna serum

    Ada satu lagi langkah yang anda perlu buat sebelum lekat plaster ini iaitu guna serum kulit. Jika anda keliru dengan produk serum terbaik, maka pilih yang ada kandungan minyak daun teh.

    Ini kerana tea tree oil bersifat antimikroba dan antiradang. Ia bagus untuk mencegah kemerahan, kebengkakan serta keradangan pada kulit selain membantu merawat bekas jerawat kelak.

    #5. Jangan lupa ganti plaster ya!

    Antara kesilapan paling besar dan sering individu buat adalah menggunakan satu plaster dalam satu tempoh jangka masa yang lama. Sebenarnya, ini hanya akan menjejaskan lekatan, ukuran dan kandungan lantas menurunkan fungsi acne patch!

    Sebaiknya, anda perlu guna sekurang-kurangnya 2 atau lebih unit plaster per jerawat. Gantikan plaster itu jika ia sudah terlalu lama terlekat pada kulit untuk elak komplikasi lain pula nanti.

    fungsi acne patch

    Lebih baik biar jerawat tertutup atau terbuka?

    Dalam erti kata lebih mudah, fungsi acne patch adalah membantu merawat masalah jerawat di kulit dan ia mungkin efektif hanya jika betul cara penggunaannya. Atau anda ada pendapat yang lain?

    Selain menggunakan plaster, individu cenderung menutup jerawat di kulit dengan menggunakan mekap. Sebenarnya, ini hanya satu kaedah penyelesaian masalah akne jangka pendek.

    Ketahuilah bahawa kulit anda juga perlu ‘bernafas’. Jika ia ditutup dengan penggunaan alat-alat tertentu, maka organ terbesar anda ini mungkin akan kurang terdedah dengan udara.

    Meskipun plaster akne ini efektif, anda turut kena tahu bahawa jerawat itu adalah lebih baik dibiar terbuka berbanding tertutup untuk ia pulih secara semula jadi. Kesan parut pun akan kurang!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 18/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan