backup og meta

Bukan Sebab Kulit Kering Saja, Ada 5 Punca Utama Kulit Kaki Mengelupas!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/10/2022

    Bukan Sebab Kulit Kering Saja, Ada 5 Punca Utama Kulit Kaki Mengelupas!

    Rasa tidak selesa apabila kulit kaki mengelupas? Tetapi apakah punca keadaan tersebut ya? Kalau ingin tahu jawapannya, teruskan membaca perkongsian artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Masalah kulit kaki mengelupas

    Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kulit pada bahagian kaki jadi mengelupas

    Walaupun keadaan itu boleh mengakibatkan ketidakselesaan, malah mungkin mengakibatkan hilang keyakinan diri, tetapi umumnya ia boleh dirawat.

    Pelbagai faktor, daripada kerengsaan disebabkan kasut ketat atau sentuhan langsung pada permukaan tercemar boleh mengakibatkan kulit pada kaki mula mengelupas.

    Berikut dikongsikan antara punca paling biasa yang menyebabkan kaki mengelupas dan apa yang boleh anda lakukan untuk merawat keadaan tersebut.

    1. Penyakit kaki atlet, punca kulit kaki mengelupas

    Merupakan jangkitan kulat yang khusus akan menjejaskan bahagian kaki. Ia biasanya bermula di antara jari kaki dan boleh terjadi sama ada pada sebelah atau kedua-dua kaki.

    Antara simptom utama:

    kulit kaki mengelupas

    • Ruam merah dan gatal
    • Sensasi terbakar
    • Rasa menyengat
    • Mengelupas
    • Melepuh
    • Kekeringan dan bersisik

    Penyakit kaki atlet boleh terjadi apabila anda bersentuhan dengan kulat yang menyebabkannya – sama ada melalui sentuhan langsung dengan individu yang mempunyai jangkitan ini ataupun menyentuh permukaan tercemar dengan kulat.

    Kulat akan membiak di tempat lembap dan hangat, maka ia sering dijumpai di lantai bilik persalinan, bilik mandi dan sekitar kolam renang.

    Penyakit ini sangat berjangkit dan anda boleh mendapat jangkitan kulat jika berjalan tanpa kasut, berkongsi stoking atau tuala.

    Ia juga boleh berkembang pada kaki jika keadaan terlalu panas atau berpeluh – cenderung berlaku jika kasut tidak mempunyai pengudaraan atau stoking tidak menyerap kelembapan dengan baik.

    Rawatan 

    Masalah ini boleh dirawat dengan ubat antikulat yang boleh dibeli di farmasi. Sekiranya tidak berkesan, berjumpalah dengan doktor untuk mendapat ubat antikulat yang lebih kuat fungsinya.

    2. Kulit kering 

    Kulit kering biasanya kasar, bersisik dan gatal. Ia juga mudah merengsa dan boleh menyebabkan kulit kaki mengelupas.

    Dalam sesetengah kes, kulit kering boleh didasari oleh masalah perubatan dan ada juga yang memilikinya secara semula jadi.

    Namun masalah kulit kering pada kaki boleh terjadi dan menjadi lebih teruk kerana:

    • Kelembapan rendah 
    • Mandi air panas
    • Dehidrasi
    • Pendedahan matahari terlalu banyak
    • Tekanan
    • Merokok 
    Rawatan 

    Pilihan rawatan untuk kulit kering dan mengelupas adalah:

    • Kerap menggunakan pelembap, terutama selepas mandi
    • Menyapu krim hidrokortison pada kulit terjejas
    • Meningkatkan kelembapan udara dengan alat pelembap udara
    • Menggunakan sabun lembut yang tidak merengsakan kulit
    • Mandi dalam air suam yang tidak terlalu panas

    Baca juga:

    Punca kulit kaki mengelupas #3. Ekzema

    Merupakan sejenis keadaan kulit dan dermatitis atopik adalah punca yang paling biasa.

    Ekzema boleh berlaku pada mana-mana bahagian tubuh. Ia biasanya terjadi pada lengan, siku, belakang lutut dan kulit kepala. Namun boleh juga berkembang pada kaki.

    Antara gejala utama:

    • Ruam merah dan gatal
    • Kulit kering dan gatal
    • Mengelupas
    • Kulit merekah
    • Jangkitan kulit

    Terdapat fasa flare-up – gejala menjadi lebih teruk dalam 1 tempoh masa. Ia tidak berjangkit dan dalam sesetengah kes, akan berkurangan mengikut peningkatan usia.

    Punca ekzema tidak diketahui, mungkin melibatkan gabungan genetik dan faktor lain. Individu dengan alahan dan asma lebih cenderung menghidap ekzema.

    Rawatan 
    • Ubat antihistamin
    • Ubat topikal – termasuk krim steroid
    • Pelembap
    • Terapi cahaya
    • Ubat yang menyasarkan sistem imun
    • Steroid oral – untuk kes yang teruk

    kulit kaki mengelupas

    4. Psoriasis

    Penyakit kronik yang menyebabkan timbulnya tompok merah dengan sisik putih. Tompakan tersebut mungkin menyakitkan atau gatal. Boleh terjadi pada mana-mana bahagian tubuh tetapi lebih cenderung pada kaki.

    Tompokan psoriasis adalah pertumbuhan lebihan sel kulit dan dipercayai didasari oleh keadaan imun tubuh, selain genetik. 

    Tompokan ini biasanya akan datang dan pergi tetapi psoriasis adalah penyakit seumur hidup.

    Flare-up lebih biasa terjadi ketika:

    • Musim sejuk
    • Selepas jangkitan – seperti sakit tekak
    • Mengalami tekanan
    • Selepas pengambilan alkohol
    • Masa kulit merengsa
    Rawatan 
    • Kortikosteroid topikal untuk mengurangkan tompok bersisik
    • Pelembap
    • Asid salisilik
    • Terapi cahaya terutamanya jika sebahagian besar kulit terjejas
    • Imunosupresan atau biologi jika keadaan teruk dan rawatan lain tidak berkesan

    5. Hiperhidrosis, penyebab kulit kaki mengelupas

    Keadaan yang menyebabkan peluh berlebihan. Ia mungkin menjejaskan seluruh tubuh atau hanya 1 bahagian dan biasanya tapak kaki lebih cenderung mengalaminya.

    Sekiranya tapak kaki sering berpeluh, ia boleh menyebabkan kerengsaan, kemerahan dan pengelupasan kulit.

    kulit kaki mengelupas

    Rawatan 

    Rawatan untuk hiperhidrosis pada kaki termasuklah:

    • Preskripsi larutan aluminium klorida yang bertindak sebagai antipeluh kuat untuk digunakan pada bahagian yang berpeluh
    • Tuala dengan glycopyrronium – membantu menghentikan peluh
    • Ubat oral antikolinergik – menyekat neurotransmitter tertentu dan membantu mengurangkan peluh

    Pemeriksaan doktor

    Kebanyakan punca kulit kaki mengelupas bukanlah keadaan yang serius dan boleh dirawat. Bahkan, ia juga mungkin hilang dengan sendirinya. 

    Tetapi anda harus berjumpa doktor sekiranya:

    1. Ruam dan pengelupasan tidak bertambah baik dengan ubat farmasi atau langkah penjagaan diri lain. 
    2. Mengalami kencing manis dan kulit mengelupas pada bahagian kaki – khususnya jika disertai rasa gatal atau tanda jangkitan. 
    3. Bengkak kaki. 
    4. Bau kaki yang tidak hilang. 
    5. Pengelupasan teruk tanpa sebab yang diketahui. 
    6. Tanda dehidrasi – peningkatan rasa dahaga, mulut kering, kekeliruan dan pening. 
    7. Demam. 
    8. Lepuh dengan kemerahan ketara dan meleleh. 

    Jika terdapat keraguan mengenai masalah kulit kaki anda, berjumpalah doktor untuk lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan