backup og meta

Kawal Simptom Kencing Manis. Makan Ubat Anda!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/07/2022

    Kawal Simptom Kencing Manis. Makan Ubat Anda!

    Jika anda mempunyai masalah kencing manis, anda mesti mahukan ubat kencing manis paling berkesan, kan? Jika tidak, mesti teruk simptom yang akan anda hadapi. Setiap malam asyik nak terkencing je.

    Jadi bagaimana caranya doktor anda menyarankan jenis rawatan kepada anda ketika anda didiagnosis dengan masalah kencing manis? Apakah ubat kencing manis paling berkesan yang boleh merawat masalah anda.

    Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Faktor saranan jenis rawatan kencing manis

    Oleh sebab kencing manis jenis 2 mempunyai modal rawatan yang meluas, penulis akan memberikan tumpuan yang lebih kepada keadaan kesihatan ini. Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi jenis rawatan yang akan diberikan kepada anda saat diagnosis. Antaranya:

    • Kos ubat dan insurans
    • Berat badan dan risiko untuk mendapat kesan sampingan ubat
    • Risiko untuk mendapat masalah hipoglisemia (masalah kekurangan glukosa)
    • Penyakit jantung jika ada
    • Masalah buah pinggang jika ada
    • Pilihan pesakit sendiri selepas memahami tindakan ubat terhadap fisiologi badan dan penyakit

    Ujian gula HbA1c juga akan menjadi petunjuk buat doktor kerana ia memberikan gambaran berkenaan dengan kawalan gula tiga bulan sebelumnya. Secara amnya, rawatan yang diberikan mempunyai kapasiti yang berbeza untuk menurunkan kadar HbA1c individu.

    Ada ubat yang menurunkan kadar A1C dalam lingkungan 1 hingga 1.5 peratus. Selebihnya, mungkin akan menyebabkan penurunan sebanyak 0.5 hingga 0.8 peratus. Ujian pemeriksaan nilai HbA1c perlu dijalankan sekurang-kurangnya 90 minit selepas makan. 

    Menurut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Diabetes Malaysia, sasaran rawatan kencing manis kebiasaannya akan meletakkan nilai HbA1c pada kadar 6.5 hingga 7%.

    Walau bagaimanapun, kadar tersebut bergantung kepada tahap kesihatan seseorang itu. Menurut garis panduan pengamalan perubatan klinikal Malaysia, mereka yang mempunyai masalah jantung, masalah buah pinggang atau mudah mendapat masalah hipoglisemia, tahap HbA1c perlu dikekalkan di antara 7.1 hingga 8 peratus.

    Ini bagi mengelakkan komplikasi akibat daripada keadaan gula dalam darah yang terlalu rendah apabila seseorang itu mudah mendapat masalah kekurangan gula dalam darah. Jika nilai A1c anda melebihi 9%, gabungan dua ubat kencing manis mungkin akan menjadi saranan doktor untuk mengawal simptom kencing manis dengan lebih baik. 

    Peranan ubat bukan insulin dalam rawatan diabetes

    ubat untuk kencing manis

    Ada ke ubat kencing manis paling berkesan yang dijual di pasaran? Setiap ubat-ubatan mempunyai fungsi spesifik dalam memastikan keberkesanan rawatan kencing manis.

    Namun, kebanyakan daripadanya (jika bukan semua) mempunyai kesan sampingan yang boleh mempengaruhi tahap kepatuhan dalam pengambilan ubat. Sebagai contoh, salah satu ubat kencing manis paling berkesan yang sering dipreskripsikan kepada pesakit, metformin. 

    Kajian menunjukkan bahawa ubat metformin dapat menurunkan tahap A1c seseorang individu sebanyak 1.5%. Ia tidak mempengaruhi jumlah rembesan insulin sebaliknya bertanggungjawab dalam memastikan penghasilan glukosa oleh organ hati berada pada kadar yang rendah. Ini bermakna, metformin tidak akan menyebabkan masalah hipoglisemia seperti ubat-ubatan lain yang mempengaruhi jumlah rembesan insulin

    Kesan sampingannya tertumpu kepada sistem gastrousus seperti loya, muntah dan cirit-birit. Jika diambil dalam jangka masa panjang ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kekurangan vitamin B12. Bagi ibu yang menyusukan anak, ubat metformin selamat untuk diberikan dalam dos yang rendah.

    Berikut merupakan ubat-ubatan lain yang boleh dipreskripsikan kepada pesakit dalam rawatan kencing manis. Rawatan insulin tidak termasuk dalam topik perbincangan artikel maka ia tidak akan dibincangkan di sini.

    Ubat untuk kencing manis 1: Sulfonilurea

    ubat untuk kencing manis

    Jika anda pernah terdengar akan ubat yang dipanggil dengan nama gliclazide, itu merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan sulfonilurea. Ubat ini berperanan dalam meningkatkan tahap rembesan insulin bagi menurunkan kadar glukosa di dalam darah. Tahap keberkesanannya dalam menurunkan paras A1c mempunyai variasi di antara 0.4 hingga 1.6%. 

    Jika penggunaan ubat metformin tidak dapat memberikan kesan fisiologikal yang signifikan, penukarannya dengan ubat gliclazide atau percampuran kedua-duanya dapat memberikan kesan yang lebih baik.

    Terdapat banyak ubat yang dikategorikan di bawah pengelasan sulphonylurea namun gliclazide dan glimepiride kebiasaannya menjadi pilihan. Ini disebabkan oleh kedua-dua ubat ini berisiko rendah dalam menyebabkan kesan sampingan hipoglisemia dan kenaikan berat badan berbanding dengan ubat sulfonilurea yang lain. 

    Adakah ubat sulfonilurea dianggap sebagai ubat kencing manis paling berkesan? Mungkin, jika kena pada cara penggunaannya atau ubat metformin tidak dapat membantu dalam penurunan nilai A1c.

    Baca juga:

    Ubat untuk kencing manis 2: Alpha-Glucosidase Inhibitors (AGI)

    Jika anda risau akan kesan sampingan hipoglisemia, beritahu pada doktor anda. Mereka mungkin akan memberikan ubat yang digelar Acarbose yang tergolong dalam kumpulan Alpha Glucosidase Inhibitors (AGI). Ubat ini menurunkan kadar penyerapan glukosa pada bahagian awal usus kecil. Ia kebiasaannya diambil dengan makanan berat seperti sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

    Walaupun mekanisme Acarbose membuatkannya seperti ubat kencing manis paling berkesan, namun, ia kurang efektif dalam menurunkan nilai A1c (hanya pada kadar 0.5-0.8%). Jika ia diambil bersama dengan ubat kencing manis yang lain, penurunan kadar glukosa dalam darah boleh mencapai kesan yang optimum. Walau bagaimanapun, kadar dos perlu diselaraskan agar komplikasi dapat dielakkan.

    Antara kesan sampingan Acarbose adalah cirit-birit, kembung perut dan ketidakselesaan pada abdomen.

    Ubat yang mempengaruhi kesan Incretin

    ubat untuk kencing manis

    Incretin atau lebih dikenali sebagai hormon glucagon like peptide (GLP) merupakan hormon yang bertanggungjawab dalam memberikan pelbagai jenis kesan fisiologikal yang dapat mempengaruhi metabolisme karbohidrat. Antaranya:

    • Meningkatkan rembesan insulin
    • Menahan tindakan hormon glukagon seterusnya menurunkan kadar penghasilan gula oleh organ hati
    • Menurunkan kadar penyerapan glukosa ke dalam darah
    • Memberikan kesan kepada sistem kawalan pusat di otak menyebabkan individu mengalami kekenyangan dalam tempoh masa yang panjang

    Mereka yang mengalami masalah kencing manis mempunyai kesan incretin yang rendah berbanding dengan individu biasa. Ubat yang dapat meningkatkan kesan incretin seperti Dipeptidyl Peptidase-4 (DPP-4) inhibitors dan GLP analogue dapat memberikan kesan fisiologikal yang positif bagi membantu pesakit kencing manis.

    Ia tidak menyebabkan masalah kenaikan berat badan atau menyebabkan masalah hipoglisemia namun kebiasaannya ia digunakan bersama dengan ubat-ubatan yang lain. Ini berikutan ia hanya berupaya menurunkan nilai A1c di antara 0.5 hingga 0.8%. 

    Terdapat pelbagai jenis ubat lain yang boleh dipreskripsikan oleh doktor seperti Sodium-glucose Cotransporter 2 (SGLT2) Inhibitors, namun keberkesanannya dalam menurunkan A1c hanya pada kadar 0.2 hingga 0.8% sahaja. Ia juga mempunyai kesan sampingan yang berbahaya seperti peningkatan risiko individu terhadap jangkitan salur kencing

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan