backup og meta

Selalu Garu Kaki Sampai Berair Pada Waktu Malam? AWAS, Mungkin Tanda Diabetes!

Selalu Garu Kaki Sampai Berair Pada Waktu Malam? AWAS, Mungkin Tanda Diabetes!

Jika anda menghidap diabetes, anda pasti tahu bahawa penyakit ini boleh menyebabkan masalah jantung, buah pinggang dan saraf. Namun tahukah anda, penyakit ini juga boleh menyebabkan kaki gatal diabetes?

Kaki gatal diabetes merupakan salah satu simptom yang lazim diabaikan kerana ramai orang yang menganggap kegatalan yang dialami merupakan perkara biasa.

Hampir 97% penghidap diabetes mengalami tanda-tanda diabetes pada kaki. Malah, kulit juga lebih kering daripada biasa dan berisiko tinggi mengalami jangkitan.

Simptom gatal-gatal ini boleh berlaku pada bila-bila masa. Dalam sesetengah kes, kaki gatal diabetes merupakan simptom terawal yang menandakan anda menghidap kencing manis.

Namun, ada juga penyakit kulit yang hanya berlaku kepada pesakit diabetes seperti dermopati diabetik dan xanthomatosis.

1 daripada 3 penghidap diabetes akan mengalami simptom gatal-gatal disebabkan penyakit tertentu. Bukan itu sahaja, mereka juga berisiko mengalami kegatalan disebabkan masalah peredaran darah, sekali gus membuatkan mereka asyik menggaru kawasan kaki.

Kaki gatal diabetes berbeza dengan kegatalan biasa. Hendak tahu apa bezanya? Jom ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

Kaki gatal diabetes, mengapa ia berlaku?

diabetes
Kesan diabetes pada badan.

Diabetes boleh menyebabkan badan kita mengalami dehidrasi. Disebabkan pesakit akan membuang air dengan kerap, kulit akan menjadi kering dan gatal-gatal. Malah, simptom ini juga boleh mengganggu kehidupan pesakit diabetes dan menyebabkan mereka tidak lena tidur malam.

Namun, kaki gatal waktu malam atau kaki gatal tanpa sebab ini selalunya berkait rapat dengan masalah peredaran darah. Selalunya, pesakit akan alami kegatalan di kawasan betis ke bawah.

Bagaimana kencing manis boleh memberi kesan kepada kulit anda?

Menurut American Diabetes Association (ADA), kadar gula dalam darah yang tinggi dalam kalangan pesakit diabetes boleh meningkatkan risiko jangkitan pada kulit. Malah, jangkitan ini boleh berpunca daripada kulat, yis atau bakteria.

Jika anda sering alami masalah ini, penggunaan pelembap mungkin dapat membantu. Jadi, sapukan pelembap secukupnya sebelum tidur.

Selain itu, pesakit juga boleh alami kegatalan disebabkan komplikasi diabetes. Ubat-ubatan tertentu untuk merawat tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol juga boleh menyebabkan kegatalan.

Pernahkah anda dengar mengenai kitaran garu-gatal-garu? Seperti namanya, kitaran ini menggambarkan situasi yang berlaku ketika anda menggaru. Anda akan rasa gatal, mula garu dan kemudian kegatalan itu akan jadi semakin teruk. Betul kan?

Setiap kali anda menggaru, kulit yang terluka akan menghasilkan sejenis bahan kimia yang menyebabkan kegatalan tersebut menjadi semakin teruk! Sebab itulah, anda perlu mendapatkan rawatan jika alami kegatalan yang luar biasa.

Ia menyebabkan anda lebih terdedah pada jangkitan

kaki gatal diabetes
Pemantauan kadar gula dalam darah.

Berbeza dengan gatal biasa, pesakit diabetes mungkin alami kegatalan yang luar biasa. Malah, mereka juga lebih mudah terkena jangkitan. Menurut kajian, hampir separuh pesakit akan alami jangkitan kulit dalam hidup mereka.

Luka menggaru dan kulit merekah disebabkan kekeringan memudahkan kemasukan bakteria. Oleh sebab itu, pesakit kencing manis lebih berisiko alami jangkitan seperti:

  • karbunkel
  • folikulitis
  • bisul

Bukan itu sahaja, mereka juga lebih terdedah pada jangkitan kulat dan yis!

Oleh sebab itu, pesakit kencing manis perlu melakukan penjagaan tertentu untuk mengelakkan kaki gatal diabetes. Di bawah, kami senaraikan beberapa langkah yang mungkin dapat membantu.

Kaki gatal diabetes – Petua penjagaan kulit untuk elak kegatalan

kaki gatal diabetes
Pemeriksaan kadar gula dalam darah.

Jika anda menghidap diabetes, penjagaan kulit yang betul merupakan komponen yang penting untuk mengelak kaki gatal diabetes.

Malah, cara menghilangkan gatal-gatal akibat diabetes ini juga dapat membantu anda mempunyai kulit yang lembut, mulus dan bebas jangkitan. Antaranya:

  1. Pastikan kadar gula dalam darah pada paras normal. Dengan cara ini, badan anda termasuklah kulit akan mendapat manfaat.
  2. Mandi air suam dan gunakan sabun berpelembap. Kemudian, lap badan seperti biasa, terutamanya di kawasan ketiak dan antara jari kaki.
  3. Gunakan pelembap lembut sebelum tidur. Dapatkan rekomendasi doktor jika anda tidak pasti jenama apa yang sesuai untuk mengelakkan kegatalan.
  4. Kalau boleh, elakkan menggaru. Menggaru bukan sahaja boleh menyebabkan kulit terluka dan berparut, malahan mendatangkan jangkitan.
  5. Basuh luka segera dengan sabun dan air suam. Gunakan krim antibiotik. Jika luka tersebut teruk dan dalam, jumpa doktor serta-merta untuk rawatan. Luka yang tidak dirawat boleh membawa mudarat kepada pesakit diabetes.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. 10 Reasons Your Skin Itches Uncontrollably And How To Get Relief. https://www.aad.org/public/everyday-care/itchy-skin/itch-relief/relieve-uncontrollably-itchy-skin. Accessed on May 31, 2022.
  2. Diabetes Rash & Other Skin Conditions. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/12176-diabetes-skin-conditions. Accessed on May 31, 2022.
  3. Diabetes: The itchy sign that could be signalling the condition – ‘visit your GP’. https://www.express.co.uk/life-style/health/1581987/diabetes-symptoms-itchy-skin-itching-around-penis-vagina-sign. Accessed on May 31, 2022.
  4. Does Diabetes Make You Itch? https://www.diabetesselfmanagement.com/blog/diabetes-make-itch/. Accessed on May 31, 2022.
  5. Itch in diabetes: a common underestimated problem. https://www.termedia.pl/Itch-in-diabetes-a-common-underestimated-problem,7,38584,1,1.html. Accessed on May 31, 2022.
  6. Itchy Skin and Diabetes. https://www.diabetes.co.uk/diabetes-complications/itchy-skin-and-diabetes.html. Accessed on May 31, 2022.

Versi Terbaru

04/06/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Penghidap Diabetes Boleh Dipotong Kaki Kalau Tak Kawal Paras Gula! Ini Sebab Amputasi

Kaki Bengkak Kerana Diabetes? Cuba 5 Petua Ini Untuk Surutkan Bengkak Anda!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 04/06/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan