Mengalami selesema perut atau jangkitan pada usus boleh menyebabkan individu sakit perut. Ini cara merawat masalah perut sakit mengikut peringkat usia yang boleh dicuba!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Jangkitan pada usus
Selesema perut (viral enteritis) merupakan jangkitan pada usus. Ia mempunyai masa inkubasi antara 1 hingga 3 hari – tiada gejala akan dialami.
Namun sebaik sahaja simptom muncul, ia akan berlangsung selama 1 hingga 2 hari. Pun begitu, gejalanya mungkin berlanjutan selama 10 hari.
Antara simptomnya:
- Cirit-birit
- Muntah
- Kejang perut
- Hilang selera makan
- Demam ringan (dalam beberapa kes)
Dalam kebanyakan kes, muntah kesan jangkitan ini boleh berhenti dalam 1 atau 2 hari, tetapi cirit-birit yang dialami akan bertahan lebih lama.
Masalah selesema perut ini bukan keadaan serius bagi mereka dengan sistem imun yang sihat.
Sebaliknya ia boleh menjadi berbahaya bagi bayi, kanak-kanak dan individu dewasa berusia jika ia menyebabkan dehidrasi dan tidak dirawat.
Jadi adalah penting untuk mengetahui cara merawat masalah perut sakit disebabkan jangkitan ini.
Beza selesema perut, keracunan makanan & selesema bermusim
Selesema perut tidak sama dengan keracunan makanan yang berkembang dalam tempoh beberapa jam setelah mengambil makanan tercemar.
Walaupun mempunyai simptom yang sama, namun keracunan makanan biasanya berlangsung selama 1 hingga 2 hari.
Selesema perut juga tidak sama dengan selesema bermusim – gejala selesema berlanjutan antara 1 atau 2 minggu.
Tempoh jangkitan
Sebelum penulis kongsi cara merawat masalah perut sakit disebabkan selesema virus, berikut adalah sebab mengapa jangkitan ini berbahaya.
Seperti namanya viral enteritis, ia boleh menular.
Norovirus adalah punca jangkitan pada usus paling kerap. Ia mudah berjangkit sebaik sahaja gejala mula dirasai dan terus berjangkit selama beberapa hari selepas itu.
Virus ini juga boleh bertahan dalam najis selama 2 minggu atau lebih.
Rotavirus pula penyebab utama jangkitan saluran usus bagi bayi dan kanak-kanak. Virus ini boleh menular semasa tempoh inkubasi.
Mereka yang dijangkiti virus ini akan terus menularkan jangkitan sehingga 2 minggu setelah sembuh.
Bahaya, bukan?
Baca juga:
Cara merawat masalah perut sakit
Tip terbaik untuk merawat jangkitan ini adalah dengan berehat dan mengambil cecair secukupnya.
Jika anda tidak dapat minum air, menghisap ketul ais, aiskrim atau menghirup sejumlah kecil cecair sudah cukup untuk membantu mencegah dehidrasi.
Cara merawat masalah perut sakit untuk bayi & kanak-kanak
Bagi kanak-kanak, penggunaan larutan oral rehidrasi (ORS) boleh membantu merawat dehidrasi. Cuba berikan 1 hingga 2 sudu teh ORS setiap 5 minit.
Jika menyusu badan, teruskan penyusuan. Begitu juga bagi bayi yang diberikan susu formula.
Tetapi jika bayi muntah, tidak kiralah jika diberikan susu ibu atau susu formula, berikan sejumlah kecil ORS melalui botol susu, 15 hingga 20 minit selepas muntah.
Jangan berikan ubat anti cirit-birit kepada bayi atau kanak-kanak melainkan atas saranan doktor.
Cara merawat masalah perut sakit bagi individu dewasa dan remaja
Biasanya individu dalam kategori ini akan kurang selera makan semasa mengalami jangkitan pada usus.
Walaupun terasa lapar, elakkan daripada makan terutamanya ketika masih muntah dengan kerap.
Setelah berasa lebih baik dan loya serta muntah berhenti, pilihlah makanan yang mudah dicerna bagi mengelakkan kerengsaan perut tambahan.
Pilihan diet pemakanan seperti diet BRAT, pilihan terbaik semasa tempoh pemulihan.
Makanan berkanji rendah serat dalam diet ini seperti pisang, nasi dan roti bakar dalam membantu mengeraskan najis dan mengurangkan cirit-birit.
Elakkan makanan yang boleh menjejaskan perut atau mencetuskan mual atau cirit-birit, seperti:
Bila perlu berjumpa doktor jika cara merawat masalah perut sakit di rumah tidak berkesan?
Selesema perut biasanya hilang dengan sendiri. Pun begitu ada kalanya ia memerlukan rawatan doktor.
Bayi dan kanak-kanak dengan jangkitan pada usus perlu berjumpa doktor jika mengalami demam atau muntah berpanjangan selama beberapa jam.
Jika bayi mengalami gejala dehidrasi seperti di bawah, lakukan pemeriksaan doktor segera!
- Mata tenggelam
- Kekerapan lampin basah berkurangan dalam masa 6 jam
- Sedikit atau tiada air mata semasa menangis
- Ubun-ubun (fontanel) tenggelam
- Kulit kering
Kanak-kanak dengan gejala berikut juga perlu dibawa berjumpa doktor segera:
- Perut buncit
- Sakit perut
- Cirit-birit teruk
- Muntah teruk
- Demam yang tidak surut, lebih 24 jam atau suhu melebihi 39.4°C
- Dehidrasi atau kurang kencing
- Muntah atau berak berdarah
Remaja, individu dewasa dan mereka yang lebih berusia perlu mendapatkan rawatan perubatan jika gejala kesan jangkitan pada usus semakin teruk dan berlanjutan lebih daripada 3 hari.
Mengalami muntah atau najis berdarah juga memerlukan rawatan doktor.
Perhatikan tanda dehidrasi seperti:
- Tidak berpeluh dan kulit kering
- Sedikit atau tiada air kencing
- Air kencing gelap
- Mata tenggelam
- Kekeliruan
- Degupan jantung atau pernafasan cepat
Dapatkan bantuan perubatan segera jika mengalami simptom seperti di atas!
[embed-health-tool-bmr]