Angin medu melibatkan angin kotor berkumpul dalam usus, punca seseorang mengalami gastrik. Jom ketahui cara merawat gastrik angin yang boleh dilakukan di rumah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkan di sini.
Punca angin medu
Gastrik adalah keradangan, kerengsaan atau hakisan lapisan perut. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba (akut) atau secara perlahan-lahan (kronik).
Keadaan ini boleh disebabkan oleh kerengsaan akibat pengambilan alkohol secara berlebihan, muntah kronik, tekanan atau penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti aspirin atau ubat antiradang lain.
- Helicobacter pylori (H. pylori): Bakteria yang hidup pada lapisan lendir perut. Tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan bisul, dan bagi sesetengah individu, mungkin berisiko mengalami barah perut
- Refluks hempedu: Aliran balik hempedu ke dalam perut daripada saluran hempedu – yang menghubungkan hati dan pundi hempedu
- Infeksi mikrob: Keadaan ini biasanya disebabkan oleh bakteria dan virus
Jika tanda sakit gastrik angin ini dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang teruk dan meningkatkan risiko terkena kanser perut.
Jadi apakah cara merawat gastrik angin?
8 cara merawat gastrik angin
Selain pengambilan ubat gastrik terbaik di farmasi seperti antibiotik untuk membunuh H.pylori, penyekat histamin (H-2), perencat pam proton ataupun antasid, terdapat petua hilangkan gastrik cara tradisional.
Pun begitu, seperkara yang perlu diingatkan, tidak semua kaedah ini berkesan untuk setiap individu.
Tetapi tiada salahnya jika anda ingin mencuba untuk mendapatkan cara merawat gastrik angin yang bersesuaian.
1. Ikuti diet antiradang
Gastrik merujuk kepada keradangan lapisan perut, jadi pengambilan makanan yang membantu mengurangkan kerengsaan itu pastinya dapat memberikan kelegaan.
Jika anda kerap diserang angin medu, cara merawat gastrik angin adalah membuat catatan harian bagi mengenal pasti makanan yang boleh mencetuskan gejala.
Kemudian, anda boleh kurangkan pengambilannya atau menghindarinya terus.
Antara makanan yang biasa mencetuskan kerengsaan pada perut adalah:
- Makanan yang telah diproses
- Gluten
- Makanan berasid
- Produk tenusu
- Makanan bergula
- Makanan pedas
- Alkohol
2. Suplemen ekstrak bawang putih
Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa ekstrak bawang putih dapat membantu mengurangkan gejala gastrik.
Jadi salah satu cara merawat gastrik angin yang boleh dicuba adalah dengan menghancurkan bawang putih mentah dan memakannya.
Jika anda tidak suka rasa bawang putih mentah, anda boleh mencincangnya dan memakannya bersama sesudu mentega kacang atau dimakan bersama buah kurma.
Kemanisan mentega kacang atau kurma pastinya dapat membantu menutup rasa bawang putih.
3. Makanan probiotik
Probiotik dapat membantu meningkatkan pencernaan dan mendorong pergerakan usus secara berkala.
Suplemen probiotik memperkenalkan bakteria baik ke saluran pencernaan, sekali gus membantu menghentikan penyebaran H.pylori.
Pengambilan makanan tinggi kandungan probiotik berikut juga dapat mengurangkan gejala gastrik:
- Yogurt
- Kimchi
- Kombucha
- Sauerkraut
- Kefir
Cara merawat gastrik angin #4. Teh hijau bersama madu manuka
Ada kajian menunjukkan pengambilan teh hijau sekali seminggu dapat mengurangkan penularan bakteria H.pylori pada saluran pencernaan.
Madu manuka juga mempunyai manfaat tersendiri. Ini kerana ia mempunyai fungsi antibakteria yang membantu melawan jangkitan.
Ada juga individu merasakan pengambilan air suam sudah cukup untuk menenangkan perut dan membantu pencernaan.
5. Minyak pati
Berdasarkan ujian makmal, minyak pati seperti serai didapati dapat membantu meningkatkan daya tahan diri terhadap H.pylori.
Minyak pati lain seperti pudina, halia dan bunga cengkih dipercayai dapat memberikan kesan positif pada sistem pencernaan.
Jangan tersalah, minyak pati tidak boleh dimakan, okay?
Sebaliknya ia boleh dicairkan (diluted) dengan minyak pembawa untuk disapu pada kulit sebagai cara urutan hilangkan gastrik.
Minyak pati juga boleh digunakan dalam peresap (diffuser) atau anda boleh mendapatkan rundingan doktor tentang cara penggunaan selamat bagi minyak ini untuk membantu melegakan angin medu.
6. Saiz hidangan makanan lebih kecil atasi masalah angin medu
Pengambilan saiz hidangan besar dan karbohidrat berat boleh memberikan tekanan pada sistem pencernaan, sekali gus memburukkan gejala gastrik.
Jadi hidangan lebih kecil yang kerap dapat membantu melancarkan proses pencernaan dan mengurangkan simptom ketidakselesaan yang dialami.
7. Elakkan merokok dan ubat tahan sakit berlebihan
Tabiat merokok dan penggunaan ubat tahan sakit secara berlebihan boleh meningkatkan risiko untuk terkena barah perut.
Pengambilan berlebihan ubat penahan kesakitan yang dibeli di farmasi seperti aspirin atau ibuprofen, boleh merosakkan lapisan perut dan memburukkan lagi masalah gastrik.
#8. Kurangkan tekanan
Tekanan boleh menyebabkan kemunculan gastrik. Jadi, mengurangkan tahap tekanan adalah salah satu cara merawat gastrik angin untuk membantu mengurus gejala.
[embed-health-tool-bmr]