backup og meta

Ini 3 Langkah Awal Untuk Legakan Kaki Yang Kram Lepas Bersukan & Bangun Tidur!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/08/2023

    Ini 3 Langkah Awal Untuk Legakan Kaki Yang Kram Lepas Bersukan & Bangun Tidur!

    Kram kaki adalah kekejangan otot yang lazim dialami oleh kebanyakan individu di seluruh dunia.

    Ia merupakan satu keadaan kesihatan yang berlaku secara tiba-tiba dan kontraksinya yang tidak boleh dikawal secara sedar oleh mana-mana individu.

    Antara bahagian otot yang kerap mengalami masalah kejang adalah pada bahagian belakang kaki bawah, belakang paha dan bahagian hadapan paha.

    Selain itu, kawasan lain yang turut boleh mengalami kram adalah abdomen, lengan, tangan dan kaki.

    Jika anda ingin tahu lebih lanjut berkenaan dengan kram kaki berserta dengan cara mengatasinya, baca artikel ini sehingga habis.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Tulang/Otot, anda boleh klik di sini.

    Punca kram kaki yang anda perlu tahu

    Kram otot boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Lazimnya, ia berpunca daripada penggunaan otot secara berlebihan terutamanya ketika anda bersenam.

    Selain itu, kecederaan otot dan dehidrasi turut boleh menyebabkan masalah kram.

    Dehidrasi adalah keadaan di mana badan kita kehilangan terlalu banyak air sehingga mengganggu proses fisiologi normal di dalam badan.

    kram kaki

    Antara mineral yang sering dikaitkan dengan masalah kram otot adalah seperti berikut:

    • Kalsium
    • Kalium
    • Natrium
    • Magnesium

    Kejang kaki juga boleh berpunca daripada kadar aliran darah yang berkurangan pada kaki. Ia boleh berlaku terutamanya ketika anda berjalan atau menyertai sebarang bentuk aktiviti fizikal.

    Dalam sesetengah kes, kram otot boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang dialami.

    Antara masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan kram otot adalah seperti berikut:

    • Saraf tulang belakang terhimpit
    • Pengambilan alkohol
    • Kehamilan
    • Kegagalan buah pinggang
    • Hipotiroidisme

    Ada juga keadaan di mana punca berlakunya kram otot tidak begitu jelas. Ia merupakan gejala yang sangat lazim dan kadangkala boleh berlaku tanpa amaran.

    Adakah kejang kaki perlu didiagnosis?

    kram kaki

    Bukan semua jenis kram otot merupakan gejala kepada sebarang penyakit. Kadangkala, ia boleh jadi tidak berbahaya dan tidak memerlukan perhatian doktor.

    Walau bagaimanapun, dalam situasi tertentu seperti kram menjadi semakin teruk, ia tidak hilang dengan pergerakan regangan atau kekal dalam satu tempoh masa yang lama, rujukan kepada doktor boleh membantu anda mengenal pasti punca.

    Ia boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang memerlukan rawatan.

    Bagi mengesan punca berlakunya gejala kekejangan otot, doktor akan mengambil sedikit maklumat daripada anda dan mereka akan menjalankan pemeriksaan fizikal.

    Antara soalan yang boleh ditanya adalah seperti berikut:

    1. Berapa kerap masalah kram otot berlaku?
    2. Otot mana yang sering mengalami kram?
    3. Adakah anda mengambil sebarang ubat?
    4. Adakah anda mengambil minuman alkohol?
    5. Adakah anda sering bersenam?
    6. Berapa banyak air kosong yang anda ambil setiap hari?

    Ujian makmal untuk mengetahui paras kalsium dan kalium di dalam badan akan dibuat, begitu juga dengan ujian darah lain untuk memeriksa buah pinggang dan fungsi organ tiroid.

    Jika anda seorang wanita, ujian kehamilan akan dibuat berikutan ia turut menyebabkan masalah kram.

    Doktor anda juga mungkin akan membuat ujian elektromyogram (EMG).

    Ia merupakan ujian yang boleh mengukur aktiviti otot dan memeriksa jika terdapat perkara tidak normal padanya.

    Sekiranya doktor mengesyaki anda menghidap masalah berkaitan dengan saraf tunjang, penggunaan imbasan pengimejan resonans magnet (MRI) boleh memberikan gambaran yang lebih jelas.

    Apa yang anda perlu lakukan?

    kram kaki

    Apabila seseorang itu mengalami situasi ini, terdapat pelbagai cara mencegah kram kaki yang boleh diberikan kepada mereka.

    Antara yang lazim dilihat adalah pergerakan regangan bagi otot yang terkesan untuk menghilangkan kram kaki. 

    Sebagai contoh apabila betis anda mengalami kejang, kaki anda boleh ditarik ke atas menggunakan tangan bagi meregangkan otot betis.

    Jika tidak berkesan, cuba ambil tuala panas atau sejuk dan letakkan pada otot yang mengalami kekejangan.

    Ia bagi melegakan kesakitan yang berpunca daripada kram otot. Berikut merupakan alatan yang boleh digunakan:

    • Tuala panas
    • Pad pemanas
    • Tuala sejuk
    • Ais

    Sekiranya simptom kejang tidak hilang dengan langkah di atas, anda boleh mengambil ubat tanpa preskripsi seperti ibuprofen.

    Ia boleh membantu melegakan kesakitan otot secara perlahan-lahan.

    Kram kaki boleh mengganggu tidur anda. Jika ia sering berlaku semasa anda tidur, anda perlu memaklumkannya kepada doktor yang merawat.

    Mereka boleh memberikan ubat penenang otot sekiranya perlu.

    Anda dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Pastikan diet anda mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi terutamanya kalium dan kalsium.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan