Mengekalkan postur badan yang sihat amat penting untuk kesihatan kita. Malah, cara duduk yang betul sama pentingnya dengan diet yang sihat dan juga senaman.
Tanpa postur badan yang betul, kita lebih berisiko untuk mengalami sakit otot dan sakit belakang.
Tetapi, apakah maksud sebenar postur badan? Postur badan bermaksud posisi badan ketika berdiri, duduk ataupun berbaring.
Untuk mendapatkan postur badan yang sihat, kita perlu melatih diri untuk berdiri, duduk atau berbaring dengan cara yang betul supaya otot atau ligamen badan tidak terbeban.
Pada zaman ini, lebih ramai yang bekerja sepenuh masa di hadapan skrin komputer. Oleh sebab itu, sakit badan merupakan sesuatu yang biasa dan kerap dialami.
Malah, disebabkan teknologi yang semakin berkembang, kita kini menghabiskan terlalu banyak masa dalam keadaan duduk.
Walaupun nampak remeh, ada satu perkara yang anda boleh lakukan untuk kesihatan yang lebih baik pada masa yang akan datang iaitu duduk dengan betul.
Untuk mengelakkan kesan buruk akibat duduk dengan postur badan yang salah, anda perlulah ketahui cara duduk yang terbaik supaya anda tidak perlu membazirkan wang untuk rawatan pada masa hadapan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan otot dan tulang, anda boleh klik di sini.
Mengapa kita perlu duduk dengan cara yang betul?
Postur badan yang betul amat penting untuk kesihatan kita secara am. Dengan menjaga postur badan, tekanan ke atas kawasan otot dan juga ligamen dapat dibahagikan secara sama rata.
Selain itu, ia juga dapat membantu mengekalkan bahagian badan di tempat yang betul dengan tekanan yang paling rendah.
Selain itu, postur tubuh yang baik juga dapat:
- Membolehkan otot digunakan dengan lebih efisien. Postur badan yang baik membolehkan kita bekerja dalam masa yang lebih lama tanpa rasa sakit atau lenguh.
- Memastikan sendi tulang belakang berada di tempat yang betul.
- Dapat mengelakkan sakit belakang dan sakit otot.
- Memastikan permukaan sendi seperti di kawasan lutut tidak menjadi haus untuk mengelakkan penyakit seperti arthritis.
[embed-health-tool-heart-rate]
Cara duduk dengan betul
Mempunyai postur badan yang betul bukanlah sesuatu yang sukar. Anda perlulah mengikut beberapa langkah mudah setiap kali duduk untuk memastikan postur badan anda betul.
Jom ikuti tip di bawah untuk memastikan badan anda berada dalam postur yang baik setiap kali duduk.
1. Pastikan belakang badan mempunyai sokongan
Jika anda mempunyai wang lebih, tiada salahnya jika anda ingin berbelanja untuk tempat duduk ergonomik.
Tempat duduk ini direka untuk menyokong badan dan mengurangkan tekanan pada tulang dan otot ketika anda sedang duduk.
Tetapi, jika anda tidak mempunyai tempat duduk ergonomik, tidak mengapa. Apa yang anda perlu lakukan adalah letakkan bantal kecil di belakang badan anda.
Bantal ini dapat membantu anda mengekalkan postur duduk yang baik ketika bekerja. Walau bagaimanapun, jika ia terlalu besar, bantal ini mungkin akan menyebabkan sakit belakang yang lebih serius.
2. Betulkan kerusi supaya boleh duduk dengan betul
Jika kerusi anda boleh diselaraskan, cuba betulkan ketinggian kerusi tersebut supaya kaki dan tangan anda boleh berada dalam keadaan yang lurus dan selesa.
Kaki anda hendaklah menjejak lantai. Jika tidak, gunakan bangku atau bantal kecil untuk memastikan kaki anda terletak dengan baik.
Selain itu, pastikan tangan anda berada dalam bentuk L. Elakkan bekerja dengan keadaan tangan yang terlalu jauh daripada badan untuk mengelakkan tekanan yang berlebihan pada otot di bahagian bahu.
3. Letakkan kaki di atas lantai
Tapak kaki anda sepatutnya terletak rata pada lantai. Jika anda memakai kasut tumit tinggi, tanggalkannya jika anda perlu bekerja untuk tempoh masa yang lama.
Selain itu, pastikan lutut anda boleh membengkok dalam keadaan 90 darjah. Jika tidak, anda perlu selaraskan kerusi ataupun cari kerusi lain yang lebih sesuai dengan ketinggian anda.
4. Cara duduk yang betul: pastikan skrin komputer sama paras dengan mata
Setelah anda duduk dengan baik, cuba selaraskan pula skrin komputer anda. Pastikan ia berada sama paras dengan mata.
Jika anda menggunakan komputer riba, tidak salah jika anda menghabiskan sedikit wang untuk membeli adjustable stand. Skrin komputer yang terlalu rendah atau terlalu tinggi boleh menyebabkan leher anda sakit.
5. Cara duduk yang betul: pastikan tetikus dekat dengan badan
Gunakan tetikus atau mouse sedekat mungkin dengan badan untuk mengelakkan pergelangan tangan anda sakit.
Selain itu, jika anda tidak menggunakan papan kekunci, ketepikannya buat seketika dan bawa tetikus dekat dengan badan anda.
6. Jangan lupa rehat secukupnya
Jika anda bekerja di hadapan komputer untuk jangka masa yang lama, jangan lupa untuk tukar postur badan sekerap mungkin.
Rehat sebentar untuk pastikan belakang badan dan otot anda tidak ‘overwork’. Selain itu, cuba berdiri dan lakukan regangan untuk elakkan diri anda daripada duduk terlalu lama.
Postur badan cara duduk yang baik amat penting untuk kesihatan badan yang sempurna.
Jika anda kerap rasa sakit badan, jangan sesekali lambat-lambatkan janji temu bersama doktor. Kadangkala, sakit belakang yang kronik boleh berlaku disebabkan penyakit yang dikenali dengan nama slipped disc.
Oleh itu, sayangilah diri anda. Mulai hari ini, marilah kita cuba amalkan cara duduk dengan betul dan mengamalkan postur badan yang sihat ketika bekerja.