Kajian terbaru menunjukkan kekuatan otot mampu mempengaruhi kecekapan sistem imun badan untuk menangani penyakit.
Keadaan ini boleh memberikan kebaikan terutamanya kepada mereka yang menghidap masalah kesihatan kronik.
Seperti yang anda sedia maklum, penyakit seperti kencing manis dan autoimun boleh mempengaruhi tindak balas badan terhadap jangkitan kuman.
Apabila masalah kesihatan tersebut berada dalam keadaan tidak terkawal untuk satu tempoh masa yang lama, ia boleh menyebabkan sistem imun penghidap menjadi lemah.
Saintis telah mengkaji pelbagai alternatif untuk menguatkan sistem pertahanan badan bagi mereka yang terkesan dan terdapat kajian yang mengaitkan kekuatan otot dengan kecekapan sistem tersebut.
Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Cachexia dan sumbangan kekuatan otot terhadapnya
Kajian yang mengaitkan kekuatan sistem imun dan kekuatan otot telah dijalankan oleh sekumpulan saintis di Pusat Kajian Kanser Jerman yang terletak di Heidelberg.
Mereka menggunakan tikus makmal sebagai subjek bagi memahami peranan otot dalam mempengaruhi kekuatan sistem imun.
Maklumat yang diberikan melalui dapatan kajian ini dianggap sangat berharga memandangkan ia boleh menyumbang kepada saranan rawatan bagi pesakit yang menghidap masalah kesihatan kronik.
Menurut pengkaji, peratusan otot rangka bukan sahaja (yang menjadi parameter ukuran kekuatan otot) boleh menentukan tahap kecekapan sistem imun.
Ia juga boleh meramal tahap kerintangan seseorang terhadap proses kehilangan otot sehingga menyebabkan masalah cachexia.
Lazimnya, cachexia (hilang otot dan lemak badan) dialami oleh mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik serius seperti kanser.
Ia merupakan punca kematian bagi 1 per 3 populasi yang menghidap masalah kanser.
Keadaan kesihatan lain seperti penyakit buah pinggang kronik dan kegagalan jantung juga boleh dikaitkan dengan masalah cachexia.
Menurut pakar, ia boleh berlaku berikutan tindakan terdesak badan untuk mendapatkan sumber tenaga daripada otot dan lemak untuk melawan masalah kesihatan yang dialami.
Bagaimana ia berlaku? Secara jelasnya, masih menjadi tanda tanya. Oleh sebab masih banyak persoalan berkaitan dengan masalah otot tersebut, saintis masih belum menemui terapi berkesan untuk merawatnya.
Pun begitu, jika kunci rawatan terletak pada kekuatan otot pesakit, maka terapi fizikal mungkin boleh membantu pesakit untuk kekal sihat sepanjang tempoh mereka menghidap masalah kesihatan kronik.
Peranan sel T penting dalam fungsi sistem pertahanan badan
Walaupun saintis tahu akan penglibatan sel T (salah satu sel imun badan) dalam proses kehilangan otot rangka, peranan otot tersebut terhadap sel T masih lagi menjadi tanda tanya.
Sel T adalah sel imun yang sangat penting dalam sistem imun badan untuk melawan penyakit dan saintis telah menemui kaitannya dengan proses kehilangan otot, cachexia.
Melalui kajian tikus tersebut, mereka telah menyuntik masuk virus bagi penyakit meningitis dan memeriksa otot rangka bagi mengesan jika terdapat sebarang perubahan yang berlaku.
Apa yang mereka sedari adalah jangkitan kronik tersebut menyebabkan otot tikus menghasilkan lebih banyak protein pengutus interleukin-15.
Ia berupaya untuk menarik sel T prekursor (sel belum matang) ke dalam otot rangka sebagai skuad simpanan untuk melawan penyakit kronik dalam satu tempoh masa yang panjang.
Sekiranya skuad utama sel T hilang fungsi mereka untuk melawan jangkitan, sel T prekursor akan bermigrasi dari otot ke lokasi jangkitan dan mengalami proses kematangan untuk membentuk sel T.
Keadaan ini membolehkan seseorang itu untuk beradaptasi dengan proses patologi penyakit kronik.
Kajian tersebut turut menunjukkan kaitan di antara kekuatan otot dan jumlah sel T.
Apabila seseorang itu mengalami proses yang menyebabkan otot hilang secara progresif, jumlah sel T juga akan berkurangan.
Tikus makmal dengan kekuatan otot yang tinggi mempunyai keupayaan yang lebih hebat untuk melawan jangkitan kronik berbanding dengan subjek dengan otot yang lemah.
Dapatan tersebut memberi harapan kepada mereka yang mengalami jangkitan kronik dan potensi rawatan bagi keadaan kesihatan tersebut.
Konklusi
Kajian lanjut perlu dilakukan bagi mengetahui jika ada persamaan atau kaitan di antara kekuatan otot dan jumlah sel T untuk melawan jangkitan kronik.
Selain daripada sel otot, sel lemak juga perlu ditambah masuk ke dalam kajian memandangkan ia juga terkesan dalam proses patologi cachexia.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan dengan masalah cachexia, rujuk doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.