backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Bagaimana Sistem Otot Rangka & Tulang Manusia Berfungsi? Ini Info Lengkap Mengenainya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/09/2022

Bagaimana Sistem Otot Rangka & Tulang Manusia Berfungsi? Ini Info Lengkap Mengenainya

Sistem otot rangka merupakan salah satu sistem di dalam badan manusia yang merangkumi sejumlah organ seperti tulang, otot, tendon, ligamen dan tisu lembut.

Pemahaman berkenaan dengan sistem ini penting memandangkan penyakit dan proses penuaan yang berlaku boleh mempengaruhi keupayaan badan anda untuk bergerak dan berfungsi.

Artikel ini akan menerangkan perihal sistem otot rangka manusia dan maklumat penting yang perlu anda tahu berkenaan dengannya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tulang / Otot, sila dapatkannya di sini.

Apa itu sistem otot rangka?

Sistem otot rangka adalah sekumpulan organ yang merangkumi tulang, rawan, ligamen, tendon dan tisu penghubung di dalam badan.

Susunan tulang membentuk kerangka bagi otot dan tisu lembut bagi menyokong postur, berat badan dan membantu anda untuk bergerak.

Pelbagai jenis penyakit dan masalah kesihatan yang boleh dikaitkan dengan sistem otot rangka manusia.

Apabila ia berkaitan dengan penuaan, kecederaan, penyakit dan kecacatan sejak lahir, ia boleh menyebabkan rasa sakit dan mengehadkan keupayaan seseorang untuk bergerak.

Bagi memastikan fungsi sistem ini kekal optimum, anda digalakkan untuk memberi fokus kepada amalan gaya hidup sihat.

Ini termasuklah memastikan berat badan anda berada pada tahap yang ideal, selalu bersenam dan menghadiri pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Bagaimana sistem otot rangka berfungsi?

sistem otot rangka

Walaupun sistem ini penting dalam pergerakan manusia, namun kawalan terhadap mobiliti secara sukarela dibantu oleh rangkaian sistem saraf manusia.

Ini membolehkan anda untuk melakukan pergerakan minor seperti menekan butang atau aktiviti yang melibatkan fungsi otot major seperti melompat dan sebagainya.

Pergerakan hanya boleh berlaku apabila:

  • Sistem saraf manusia (otak dan rangkaian saraf) menghantar isyarat bagi mengaktifkan otot rangka anda.
  • Berikutan penerimaan isyarat tersebut, serat otot akan mengalami proses kontraksi.
  • Apabila otot sudah mulai aktif, ia akan menarik tendon. Tendon adalah jaringan penyambung yang menghubungkan tulang dan otot.
  • Tendon mula menarik tulang dan menyebabkan pergerakan.
  • Sistem saraf kemudiannya akan menghantar isyarat bagi membolehkan otot untuk mengalami relaksasi (pengenduran). Ia menyahaktifkan fungsi otot.
  • Keadaan ini menyebabkan tulang kembali ke kedudukan asal.
  • Apakah bahagian yang terlibat dalam sistem otot rangka?

    Sistem otot rangka penting buat badan manusia memandangkan ia membantu anda untuk berdiri, duduk, berjalan, berlari dan bergerak.

    Umumnya, badan orang dewasa terdiri daripada 206 tulang dan mempunyai lebih daripada 600 otot yang dihubungkan melalui rangkaian ligamen, tendon dan tisu lembut.

    Antara bahagian yang terlibat dengan sistem otot rangka adalah:

    1. Tulang: Tulang berperanan untuk menyokong badan, melindungi organ, menyimpan kalsium serta lemak dan menghasilkan sel darah. Ia mempunyai permukaan luar yang keras menyaluti kawasan pusat yang lembut.
    2. Rawan: Rawan adalah sejenis tisu penghubung yang menyerap tekanan pada tulang di dalam sendi, sepanjang tulang belakang dan tulang rusuk. Ia menghindarkan tulang daripada bergesel di antara satu sama lain dan rawan merupakan komponen penting dalam struktur hidung, telinga, pelvis dan peparu.
    3. Sendi: Sendi adalah rangkaian yang menghubungkan tulang. Ia memberikan fleksibiliti untuk bergerak.
    4. Otot: Setiap otot diperbuat daripada ribuan serat yang fleksibel. Ia membolehkan anda bergerak, duduk tegak dan mengekalkan posisi anda (jika tidak bergerak). Ada juga otot yang membantu anda untuk mengangkat berat, menari dan berlari. Sebahagian otot mempunyai fungsi dalam pergerakan minor seperti menulis nama dan memasang butang.
    5. Ligamen: Ligamen menghubungkan tulang dengan tulang yang lain. Ia juga boleh memberikan kestabilan kepada sendi.
    6. Tendon: Tendon menghubungkan tulang dengan otot. Ia diperbuat daripada kolagen dan tisu serat.

    Apakah keadaan kesihatan yang boleh mempengaruhi fungsi sistem otot rangka?

    sistem otot rangka

    Beratus jenis keadaan kesihatan boleh mempengaruhi integriti fungsi sistem ini. 

    Ia boleh menyebabkan kecelaruan pada fungsi pergerakan, percakapan dan interaksi dalam kehidupan seharian.

    Antara masalah pergerakan dan keadaan kesihatan yang lazim didiagnosis bagi sistem otot rangka adalah:

    1. Penuaan: Dalam proses penuaan semula jadi, tulang akan hilang ketumpatan. Ini boleh menyebabkan anda lebih berisiko mengalami masalah kesihatan seperti tulang rapuh dan masalah keretakan. Akibat daripada proses penuaan juga, otot anda boleh kehilangan jisimnya dan tisu rawan akan mula haus. Perubahan ini boleh menyebabkan rasa sakit, kaku dan keupayaan pergerakan anda menjadi terhad.
    2. Artritis: Artritis boleh menyebabkan sendi mengalami radang, kaku dan sakit. Orang tua lebih berisiko untuk mendapat masalah osteoartritis disebabkan oleh tisu rawan di dalam sendi mula beransur-ansur rosak. Pun begitu, keadaan kesihatan ini boleh mempengaruhi individu pada semua peringkat usia. Terdapat juga jenis artritis lain seperti artritis reumatoid dan gout.
    3. Masalah belakang: Sakit belakang dan rasa kejang otot belakang boleh berlaku akibat kecederaan otot seperti hernia cakera tulang belakang (herniated disc). Segelintir keadaan kesihatan boleh menyebabkan struktur belakang kelihatan tidak normal seperti stenosis spinal dan skoliosis.
    4. Kanser: Terdapat beberapa jenis kanser yang boleh mempengaruhi sistem otot rangka. Ini termasuklah kanser tulang dan ketumbuhan tisu penghubung (sarkoma) yang boleh menyebabkan masalah pergerakan dan kesakitan.
    5. Kecacatan kongenital: Keadaan ini boleh mempengaruhi rupa, struktur dan fungsi badan. Antara keadaan kesihatan yang lazim didiagnosis dalam kalangan bayi adalah kaki bengkok (turut dikenali sebagai clubfoot). Ia boleh mengakibatkan kaki menjadi kaku dan pergerakan kaki terhad.
    6. Penyakit: Pelbagai jenis penyakit boleh mempengaruhi fungsi tulang, otot dan tisu penghubung. Penyakit seperti displasia serat dan penyakit tulang rapuh boleh menyebabkan tulang mudah retak. Fungsi otot rangka pula boleh dipengaruhi oleh lebih 30 masalah distrofi otot.
    7. Kecederaan: Beratus kecederaan boleh dikaitkan dengan tulang, tisu rawan, otot dan tisu penghubung. Keadaan seperti sindrom Carpal Tunnel, bursitis dan tendinitis boleh berlaku akibat penggunaan sendi secara kerap. Selain itu, kemalangan juga boleh menyebabkan otot, tulang, ligamen dan sebagainya mengalami kekoyakan dan sebagainya.

    Bagaimana cara untuk anda pastikan sistem otot rangka dalam keadaan sihat?

    sistem otot rangka

    Cara terbaik untuk memastikan tahap kesihatan sistem otot rangka adalah dengan mengawasinya secara menyeluruh.

    Tahap kesihatan tulang dan otot boleh terpelihara dengan cara:

    1. Bersenam secara kerap dan memastikan anda menggabungkan aktiviti kardiovaskular dan latihan angkat berat. Peningkatan kekuatan otot boleh menyokong sendi dan memastikan ia rintang kecederaan.
    2. Tidur secukupnya supaya otot dan tulang anda boleh kembali pulih.
    3. Kekalkan berat badan pada paras yang optimum bergantung kepada tinggi anda. Sekiranya anda mengalami kesukaran untuk mengawal berat badan, rujuk doktor atau pakar pemakanan.
    4. Pilih makanan yang berkhasiat termasuklah makanan berserat, protein tanpa lemak dan susu bagi memperkuatkan tulang.
    5. Berhenti merokok dan elakkan produk tembakau. Rokok boleh mengurangkan aliran darah di seluruh badan anda. Tulang, otot dan tisu lembut badan manusia memerlukan aliran darah yang cukup untuk kekal sihat.
    6. Pastikan anda membuat pemeriksaan secara berkala dan dapatkan khidmat doktor untuk melakukan ujian saringan mengikut peringkat umur. Jika usia anda melebihi 65 tahun, buat ujian ketumpatan tulang.

    Konklusi

    Sistem otot rangka adalah sistem penting dalam badan manusia. Ia membantu pergerakan dan fungsi asas yang lain bagi membolehkan kita untuk kekal sihat.

    Jika anda mengalami sebarang simptom penyakit atau kecederaan sehingga mengehadkan kadar pergerakan, pastikan anda membuat pemeriksaan kesihatan untuk pengesahan diagnosis dan rawatan jika perlu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan