backup og meta

Buat Penjaga Pesakit Diabetes, 6 Cara Ini Bantu Anda Atasi Stres Dan Burn-Out!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/07/2022

    Buat Penjaga Pesakit Diabetes, 6 Cara Ini Bantu Anda Atasi Stres Dan Burn-Out!

    Individu yang banyak menghabiskan masa untuk jaga orang sakit kronik seperti diabetes terdedah kepada pelbagai bentuk stres dan tekanan. Namun, ada banyak cara yang boleh penjaga lakukan untuk mengatasinya.

    Punca alami stres ketika jaga orang sakit

    Menurut kajian, stres yang berlaku ketika jaga orang sakit adalah disebabkan rasa terbeban dengan semua tanggungjawab yang berada di atas bahu mereka.

    Bukan mudah untuk jaga orang sakit kronik seperti diabetes. Penjaga perlu melakukan pelbagai pengorbanan dari segi fizikal dan juga emosi.

    Tambah lagi, mereka juga perlu sentiasa fokus dan peka tentang keadaan pesakit. Kadar gula dalam darah pesakit perlu sentiasa dipantau dan ubat-ubatan perlu diberi mengikut masa tertentu.

    orang sakit

    Penjaga juga perlu memastikan pesakit tidak menunjukkan apa-apa gejala hiperglisemia atau hipoglisemia.

    Malah, stres yang berlaku dalam kalangan penjaga juga merupakan sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang remeh.

    Banyak kajian yang telah dijalankan ke atas penjaga orang sakit diabetes dan kebanyakannya memfokuskan tentang stres dan kesannya terhadap kesihatan mental mereka.

    Tekanan perasaan yang dialami akan jadi semakin teruk jika penjaga seorang warga emas. 

    Sukar untuk mereka memandikan, memakaikan baju dan juga memberi makan pesakit jika mereka sendiri tidak berupaya dari segi tenaga.

    Stres dalam kalangan penjaga boleh diuruskan. Namun, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan supaya kesan negatif terhadap kesihatan mental penjaga boleh dikurangkan.

    Cara 1: Jangan berhenti belajar

    Apabila penjaga mendengar perkataan-perkataan yang kompleks seperti terapi insulin, tahap gula dalam darah ataupun hipoglisemia, ramai yang jadi panik dan mula rasa rendah diri.

    Mereka akan rasa tidak yakin dan tidak layak untuk jaga orang sakit diabetes. Walau bagaimanapun, penjaga boleh atasi perkara ini jika mereka sanggup untuk belajar lebih lanjut mengenai penyakit tersebut.

    Semua orang boleh belajar perkara baharu tidak kiralah berapa pun usia mereka. Sebarang informasi mengenai diabetes dapat membantu penjaga untuk:

    1. Lebih yakin ketika menjaga pesakit.
    2. Faham bahawa penjaga tidak perlu lakukan semua perkara untuk pesakit. Ada beberapa aktiviti yang masih boleh diuruskan sendiri.
    3. Memilih produk yang boleh membantu penjaga untuk menguruskan pesakit dengan lebih baik.

    orang sakit

    Cara 2: Nak jaga orang sakit, kena pastikan diri kekal sihat

    Menjadi penjaga kepada pesakit diabetes bukan bermaksud anda perlu korbankan seluruh hidup anda untuk mereka. Sebaliknya, anda juga perlu menjaga kesihatan anda sendiri.

    Pastikan anda tidur dengan cukup, amalkan diet yang seimbang dan kekal hidrat. 

    Selain itu, anda juga boleh tentukan goal atau sasaran tertentu setiap hari supaya anda tidak lupa tentang kesihatan diri.

    Sebagai contoh, anda boleh cuba untuk tidur pada masa yang sama setiap malam ataupun gunakan aplikasi pada telefon bimbit untuk pastikan anda minum air dengan cukup.

    Walaupun nampak kecil, semua ini dapat membantu penjaga untuk mengurangkan stres yang dialami.

    Cara 3: Lakukan yang penting untuk jaga pesakit

    Ramai penjaga yang rasa bersalah jika tidak dapat melakukan segalanya ketika menjaga pesakit.

    Walau bagaimanapun, menurut pakar, itulah realiti sebenar sebagai seorang penjaga – tiada siapapun dapat lakukan semua perkara dalam satu-satu masa.

    Oleh sebab itu, kekalkan fokus anda dan cuba lakukan cara ini untuk mengatasi stres:

    1. Pecahkan tugasan besar kepada sesuatu yang lebih kecil.
    2. Susun tugas harian mengikut kepentingan.
    3. Lakukan tugas yang penting dahulu.

    Cara 4: Minta bantuan

    Jangan segan untuk minta pertolongan daripada orang lain jika anda perlukannya.

    Jika pesakit merupakan seorang ahli keluarga, cuba minta tolong ahli keluarga yang lain untuk membantu. Lebih baik jika anda boleh bahagikan tugas antara ahli keluarga anda.

    Jika anda bekerja sebagai seorang penjaga, jelaskan pada majikan mengapa anda mungkin perlukan bantuan tambahan. 

    Menjaga pesakit diabetes merupakan satu tugasan berkumpulan dan mungkin sukar dilakukan secara berseorangan.

    Bantuan yang diperlukan seperti:

    1. Menetapkan tarikh untuk janji temu bersama doktor.
    2. Beli barang-barang keperluan harian.
    3. Bayar bil.
    4. Sediakan makanan.

    orang sakit

    Cara 5: Jangan lupa berehat

    Rehat yang cukup amat penting untuk kesihatan mental penjaga.

    Mungkin anda akan rasa bersalah, tapi rehat yang dilakukan secara berkala walaupun hanya selama 30 minit boleh membuatkan anda rasa lebih baik.

    Cuba amalkan tip ini:

    1. Rehat merupakan satu keperluan. Jika anda mendapat rehat yang mencukupi, anda boleh menjaga pesakit dengan lebih baik.
    2. Pastikan anda mempunyai masa bersendirian sekurang-kurangnya 1 atau 2 jam sehari.
    3. Lakukan kerja dan berehat selama 30 minit sebelum melakukan tugas seterusnya jika anda sibuk pada hari tersebut.
    4. Jika pesakit sedang meluangkan masa bersama orang lain, ambil masa tersebut untuk berehat dan relaks.

    Cara 6: Elakkan burn-out

    Terus memaksa diri untuk bekerja walaupun anda penat merupakan satu amalan yang tidak baik untuk kesihatan.  

    Tambah lagi, penjaga yang tidak mempunyai rehat yang mencukupi lebih berkemungkinan untuk melakukan kesalahan semasa menjaga pesakit diabetes.

    Pastikan anda sentiasa peka dengan simptom burn-out. Antaranya ialah:

    1. Mudah kecewa dengan perkara kecil.
    2. Sukar untuk rasa gembira.
    3. Rasa amat penat.
    4. Sukar untuk fokus.
    5. Tidak ada selera makan.

    Kesimpulannya, usah biarkan jika anda masih rasa tertekan, segera dapatkan konsultasi daripada pakar.

    #WorldDiabetesDay #NoTimeLikeNow #HelloDoktor

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan