backup og meta

Selalu Sakit Sendi, Anda Patut Elak Makan 10 Makanan Berangin Ini

Selalu Sakit Sendi, Anda Patut Elak Makan 10 Makanan Berangin Ini

Sakit sendi adalah keadaan di mana terdapat keradangan pada kawasan sendi. Keadaan ini sering dikaitkan dengan penyakit arthritis. Apatah lagi, ia boleh muncul sekiranya anda mengambil beberapa jenis makanan penyebab nyeri sendi seperti sayur yang berangin dan sebagainya.

Keradangan yang menjadi punca sakit sendi boleh berlaku di sekitar sendi, tendon, ligamen, tulang rawan dan otot 1 , dan ia boleh berlaku atas beberapa faktor termasuklah sejarah keluarga, faktor umur,  jantina, sejarah sakit sendi lampau serta masalah obesiti 2 .

Selain mengurangkan beberapa jenis makanan yang boleh mencetuskan sakit sendi, sesetengah individu yang kerap mengalami sakit ini juga akan mengambil ubat tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan. Namun, ubat tersebut perlulah mendapat kebenaran daripada doktor atau mendapatkannya dari farmasi berdekatan.

Sememangnya, apa yang diambil oleh kita seharian boleh menyumbang kepada perkembangan tubuh badan. Sesetengah jenis makanan boleh merangsang keradangan dalam tubuh dan untuk mengurangkan keradangan tersebut, adalah penting untuk anda mengehadkan pengambilannya.

Nyeri sendi tidak boleh makan apa?

Di sini kami lampirkan beberapa cadangan bagaimana untuk mengurangkan keradangan atau sakit sendi melalui jenis makanan penyebab nyeri sendi yang perlu dielakkan, seperti di bawah 3 :

10 Makanan Penyebab Nyeri Sendi Yang Perlu Dielak

1. Gluten dan gandum

makanan penyebab nyeri sendi
Gluten dan gandum boleh sebabkan sakit sendi.

Nyeri sendi tidak boleh makan apa?

Kedua-dua makanan kategori ini menghasilkan tindak balas keradangan terutamanya bagi mereka yang mempunyai alahan kepada gluten atau gandum. Tahukah anda, terdapat banyak kajian yang mengaitkan keadaan usus bocor dengan sakit sendi?

Usus bocor adalah keadaan di mana aliran darah dimasuki oleh toksin dan kotoran melalui usus. Apabila tubuh memberi amaran dan memulakan tindak balas imun, ini sekaligus mencetuskan keradangan yang menjejaskan bahagian sendi. 

Bagi individu yang alah pada gluten atau gandum, pengambilan makanan jenis ini akan membuatkan sistem imun tubuh bertindak dan mengakibatkan keradangan. Ia boleh menjejaskan organ tubuh dan tisu lembut 4 .

Keradangan yang berlaku mungkin tidak dapat dikesan dengan gejala seperti kemerahan atau bengkak, tetapi ia boleh dirasai dengan simptom sakit sendi 4 .

2. Keju dan produk makanan berasaskan tenusu tinggi lemak

Keju, mentega, krim keju, marjerin serta mayonis merupakan antara produk berasaskan tenusu yang tinggi kandungan lemak tepu dan advanced glycation end products (AGEs) – yang diketahui sebagai pencetus keradangan paling besar dan perlu dihadkan pengambilannya 3 .

Tetapi jika anda mahu mengambil produk tenusu, yogurt Greek merupakan pilihan terbaik. Berdasarkan kajian, produk tenusu fermentasi ini dikatakan sebagai produk antiradang buat individu yang tidak mempunyai alahan kepada susu lembu 3

3. Makanan penyebab sakit urat: karbohidrat ditapis

Produk yang dihasilkan dengan tepung putih seperti:

  • roti putih
  • pasta
  • kraker

dianggap sebagai karbohidrat ditapis atau halus. Pengambilannya boleh melonjakkan tahap glukosa dalam darah dan terbukti meningkatkan keradangan pada tubuh 3

Jadi, ia merupakan antara makanan penyebab nyeri sendi yang harus dielak oleh individu dengan masalah sakit sendi.

4. Makanan diproses dan bergoreng

Terdapat pelbagai makanan diproses seperti ayam goreng, nuget, patty daging dan surimi makanan laut yang menjadi kegemaran masyakat di Malaysia. Semua produk makanan yang diproses ini mengandungi garam, lemak dan bahan pengawet yang boleh menyebabkan keradangan dan mungkin menjejaskan individu yang mengalami sakit sendi 3 .  

Kortikosteroid yang digunakan untuk merawat arthritis rheumatoid menyebabkan badan menyimpan lebih banyak garam, yang boleh didapati daripada makanan dalam tin dan makanan segera

Makanan penyebab nyeri sendi 5: Sayur yang berangin, solanaceae

Sayur yang berangin atau solanaceae seperti terung, lada, tomato dan kentang sayur yang berangin mengandungi solanin; glycoalkaloid yang berkaitan dengan tumbuhan tertentu yang bertindak sebagai mekanisme pertahanan semula jadi terhadap binatang herbivor, serangga dan penyakit. 

Kompaun solanin dalam sayur yang berangin ini boleh menghasilkan reaksi bagi penghidap arthritis dengan merosakkan tindak balas fisiologi mereka serta menyebabkan keradangan 5 .

6. Gula makanan penyebab nyeri sendi 

Tahukah anda, gula yang diproses menghasilkan cytokins iaitu sekumpulan glikoprotein, peptida dan protein yang berfungsi merangsang, mengawal keradangan, imuniti dan hematopoiesis badan?

Gula terdiri daripada pelbagai jenis, namun masyakat hanya tahu gula adalah istilah biasa yang sering digunakan dalam masakan sahaja. Antara pelbagai jenis bahan-bahan yang termasuk dalam kumpulan “gula” adalah seperti fruktosa, glukosa, sukrosa, laktosa, maltosa dan lain-lain. 

makanan penyebab nyeri sendi
Antara kaedah untuk kurangkan pengambilan gula harian.

Baca label dengan berhati-hati sebelum anda memutuskan untuk membeli sebarang produk. Ia bagi memastikan anda mengambil produk makanan yang kurang gula supaya dapat mengurangkan keradangan di bahagian sendi. 

7. Makanan penyebab sakit urat: alkohol

Alkohol juga boleh menyebabkan beberapa jenis masalah kesihatan termasuk keradangan 6 .Menurut Karen Costenbader, seorang pakar reumatologi di Brigham and Women’s Hospital, Boston jumlah penggunaan alkohol yang terhad dapat mengurangkan biomarker keradangan. 

Minum terlalu banyak alkohol juga boleh meningkatkan tahap protein C-reaktif (CRP) dalam badan dan CRP dikenali sebagai isyarat yang kuat bagi keradangan 6 .

8. Daging merah

Daging merah mengandungi tahap lemak tepu tinggi yang jelas menyumbang kepada obesiti dan meningkatkan keradangan3 . Ia juga mengandungi asid lemak omega-6 yang boleh menjejaskan sendi sekiranya pengambilan daging merah tidak dikawal

Sesetengah individu dengan arthritis rheumatoid mendakwa mereka berasa lebih baik apabila tidak memasukkan daging merah sebagai sebahagian daripada makanan mereka.

9. Makanan penyebab nyeri sendi – Lemak dan minyak

makanan penyebab nyeri sendi
Lemak juga boleh memicu sakit sendi.

Tidak semua lemak dikategorikan sebagai lemak yang tidak baik kerana sesetengah lemak diperlukan oleh tubuh untuk mengimbangi diet. Tetapi untuk mengurangkan keradangan dan sakit sendi, anda perlu mengehad atau mengelakkan sesetengah lemak seperti lemak tepu, asid lemak omega-6 dan lemak trans 7 .

Lemak tepu adalah lemak yang tetap padat pada suhu bilik dan boleh didapati dalam makanan seperti mentega, keju dan daging.

Bagi individu yang menderita sakit sendi, mereka perlu melihat tahap kolesterol dengan mengurangkan pengambilan lemak tepu kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

10. Makanan penyebab nyeri sendi – Aspartame

Aspartame adalah pemanis tiruan yang menggantikan gula dalam kebanyakan minuman berkarbonat dan makanan ringan serta boleh didapati dalam lebih daripada 4,000 produk di seluruh dunia. 

Aspartame adalah 200 kali lebih manis daripada gula halus; menjadikannya faktor utama mengapa ia digunakan secara meluas dalam industri makanan untuk menggantikan gula. 

Ia diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), tetapi jika imun anda bertindak balas terhadapnya sebagai bahan asing, sistem imun akan mencetuskan tindak balas keradangan 8 .

Kini, anda sudah mengetahui beberapa makanan penyebab nyeri sendi seperti sayur yang berangin,kan? 

Jadi, adalah disarankan untuk anda mula mengehadkan pengambilan makanan-makanan ini dalam menu seharian. Sakit sendi yang tidak terlalu kerap berlaku boleh diatasi melalui pelbagai cara.

Selain daripada mengelakkan makanan penyebab nyeri sendi, anda juga boleh mengurangkan risiko untuk mengalami keradangan dengan melakukan senaman secara berkala bagi mengekalkan kelenturan sendi 2 .

Penggunaan ubat tahan sakit atau ubat antiradang non steroid (NSAID) juga dapat membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan 2 . 

Kesimpulan


Jika sakit sendi yang dialami anda berlanjutan dengan terlalu lama, anda digalakkan untuk mendapat nasihat dan pemeriksaan doktor.

Jangan merana dalam diam. Semoga perkongsian ini berguna buat anda! 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sakit sendi (2019), https://www.mayoclinic.org/symptoms/joint-pain/basics/definition/sym-20050668. Diakses pada Disember 15, 2020. 

Cari Cara Kurangkan Gula Tambahan? Ini Caranya. https://www.eatright.org/health/wellness/healthful-habits/looking-to-reduce-your-familys-added-sugar-intake-heres-how. Diakses pada Disember 15, 2020.

Alkohol dan Arthritis, https://www.arthritis.org/health-wellness/healthy-living/nutrition/foods-to-limit/alcohol. Diakses pada Disember 15, 2020.   

Makanan yang Perlu Dielakkan Dengan Arthritis, https://creakyjoints.org/education/arthritis-diet/foods-to-avoid/. Diakses pada Disember 15, 2020.   

Cara Mengurangkan Gula dalam Makanan Anda, https://www.heart.org/en/healthy-living/healthy-eating/eat-smart/sugar/tips-for-cutting-down-on-sugar. Diakses pada Disember 15, 2020.  

Versi Terbaru

06/09/2024

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Siti Fatihah


Artikel Berkaitan

Selalu Sakit Sendi, Anda Patut Elak Makan 10 Makanan Berangin Ini

Bergetar Tulang Rusuk Apa Maksudnya? Ini Fungsi Tulang Rusuk Pada Lelaki Dan Wanita!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/09/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan