Masalah ini secara dasarnya didapati mempengaruhi pesakit yang lebih berusia.
AMD telah memberi kesan kepada kira-kira 1.8 juta orang dan merupakan penyebab utama kebutaan pada individu yang berusia lebih daripada 50 tahun.
Kebanyakannya menggunakan aspirin untuk melegakan sakit arthritis atau mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
AMD basah (neovaskular) dikatakan bertanggungjawab terhadap punca sakit mata dan kehilangan penglihatan yang paling ‘dramatik’ dalam kalangan pesakit.
Pun begitu, ia jarang terjadi dan hanya berlaku kepada kira-kira 10% individu yang menghidap AMD.
AMD basah berlaku apabila aliran darah yang rapuh dan tidak normal tumbuh di belakang mata, salur darah bocor, makular yang pecah/ berubah tempat menyebabkan penglihatan menjadi herot.
Ulas Pakar Bedah Mata, Dr. Rishi Singh, kondisi ini mengakibatkan saluran darah bocor ke bahagian retina, menyebabkan kerosakan dan gangguan penglihatan.
Akhirnya, jika tisu parut terbentuk, ia berisiko menyekat penglihatan pusat secara kekal!
AMD kering pula sebaliknya lebih kerap berlaku, namun ia terbentuk dengan perlahan dan tidak menyebabkan kehilangan penglihatan secara mengejut. Ia berlaku apabila deposit kuning terbentuk di tengah retina (makula).
Sekiranya deposit ini terbentuk dengan banyak, penglihatan pesakit akan mula terjejas dan akan dapat dikesan saat melakukan aktiviti tertentu, seperti membaca.
Maka, jika kondisi ini meningkat dengan berterusan, dalam kes yang teruk, ia mampu menyebabkan kehilangan penglihatan pusat.
Aspirin & penglihatan, apa dapatan kajian?

Menariknya, kajian mengenai topik ini menghasilkan keputusan yang berbeza dan pelbagai.
Beberapa kajian menunjukkan kemungkinan berlakunya kemerosotan AMD, manakala ada juga yang menekankan kemungkinan manfaat untuk AMD.
1 kajian dilakukan baru-baru ini pula tidak menemukan kaitan yang signifikan antara penggunaan aspirin dan pembentukan AMD yang lewat.
Tambah lagi, manfaat penggunaan aspirin untuk mengurangkan risiko masalah jantung juga telah ‘menenggelam’ jauh risiko AMD.
Kajian lain pula mendapati, pengguna tetap aspirin mempunyai risiko 2 kali ganda untuk mengalami AMD basah dalam jangka masa panjang berbanding mereka yang tidak mengambilnya secara kerap.
Walau bagaimanapun, perbezaannya berkurang ketika memfaktorkan mereka yang tidak mempunyai sebarang penyakit kardiovaskular.
Di samping itu, 1 kajian berskala besar mendapati, penggunaan aspirin dalam dos yang rendah sebenarnya dapat mengurangkan risiko AMD dalam skala kecil.
Tambah Dr. Singh, apabila para penyelidik mempertimbangkan kesemuanya, termasuk risiko AMD dan faedahnya dalam mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular, aspirin jelas bermanfaat!
Ya, ia mungkin meningkatkan risiko AMD sedikit sebanyak, tapi secara dramatiknya ia mengurangkan risiko terhadap kondisi yang mengancam nyawa!
Jika mahu diikutkan, pengguna tetap aspirin ternyata mempunyai kadar strok lebih rendah sebanyak 32% dan kemungkinan 15% lebih sedikit untuk mengalami serangan jantung berbanding mereka yang tidak menggunakan ubat ini secara berkala, menurut laporan American Society of Retina Specialists.
Seperti yang dikatakan oleh Dr. Singh, aspirin mungkin menyumbang kepada punca sakit mata seperti AMD, tapi risiko kecil ini masih tidak dapat mengalahkan kesan positifnya terhadap jantung.
Sekiranya anda kerap mengambil ubat tahan sakit aspirin untuk faedah kesihatannya yang lain, kalian disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala.