Semestinya batuk serta bersin juga berpotensi menyebarkan virus ini.
Berapa lama harus anda kuarantin?
Mata yang sakit akan mulai berjangkit apabila gejala muncul, dan keadaannya tetap menular selagi berlaku kontak dengan objek atau orang.
Sekiranya anda mengalami konjunktivitis, anda dinasihatkan agar kuarantin diri di rumah dan tidak pergi ke tempat sesak sehingga gejala mulai reda.
Sekiranya didapati pulih, anda boleh kembali tetapi anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga, seperti mencuci tangan dengan bersih setelah menyentuh mata anda.
Simptom-simptom konjunktivitis
Tanda pertama masalah ini adalah perubahan pada warna bahagian putih mata anda, yang dikenali sebagai sclera- lapisan luar yang melindungi iris dan seluruh mata.
Meliputi bahagian sclera adalah konjunktiva, selaput nipis yang menjadi radang apabila anda mendapat masalah sakit mata.
Ia menjadi penyebab kepada mata yang kelihatan kemerahan atau merah jambu kerana saluran darah di konjunktiva meradang, menjadikannya lebih kelihatan daripada kebiasaan.
Konjunktivitis sebenarnya juga cenderung mempunyai gejala-gejala lain, termasuk:
- Kegatalan
- Pengeluaran cecair yang boleh membentuk kerak di kelopak mata anda semasa tidur
- Berasa seperti ada kotoran atau sesuatu yang menjengkelkan mata anda
- Mata yang berair
- Sensitif terhadap cahaya yang terang
Masalah ini boleh terbentuk pada satu atau kedua-dua mata. Sekiranya anda memakai kanta lekap, anda harus mengelakkan daripada memakainya ketika mengalami simptom.
Dalam kes yang serius, konjunktivitis boleh menyebabkan beberapa pembengkakan di kelenjar limfa atau turut dikenali sebagai kelenjar getah bening berhampiran telinga anda.
Ia juga mungkin terasa seakan gumpalan kecil. Kelenjar getah bening ini membantu tubuh melawan jangkitan. Setelah jangkitan virus atau bakteria dibersihkan, kelenjar ini akan menyusut.
Bagaimanakah konjunktivitis dirawat?

Kes-kes konjunktivitis yang ringan selalunya tidak memerlukan rawatan. Anda mungkin hanya memerlukan pek sejuk untuk melegakan masalah ketidakselesaan radang mata.
Konjunktivitis virus juga mungkin tidak memerlukan perawatan.
Namun jika disebabkan oleh virus seperti herpes simplex atau virus varicella zoster (herpes zoster), ubat antivirus mungkin akan diberikan oleh doktor.
Di samping itu, masalah mata yang sakit berpunca daripada kehadiran bakteria boleh dirawat dengan titisan atau ubat mata antibiotik.
Antibiotik akan dapat bantu mengurangkan masa anda mengalami gejala dan mengurangkan risiko anda menjangkitkan ia kepada orang lain.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa antibiotik tidak berkesan dalam merawat virus.
Secara umumnya, anda tidak boleh menyentuh mata dengan tangan, terutamanya jika anda belum mencuci tangan dengan sabun sebelum memegangnya.
Amalkan mencuci tangan sebelum atau selepas anda menyentuh mata, cara ini akan membantu mengelakkan masalah sakit mata daripada berlaku.