Berdepan masalah tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kerisauan. Tetapi jangan risau, Hello Doktor ada tips menurunkan tekanan darah tinggi secara semula jadi yang boleh anda cuba!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Masalah tekanan darah tinggi
Sebelum mengetahui tips menurunkan tekanan darah tinggi, anda harus sedar bahawa hipertensi adalah keadaan berbahaya yang boleh merosakkan jantung. Jika tidak dikawal, ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
Berita baiknya, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menurunkannya secara semula jadi tanpa ubat.
Sudah tentu, perubahan gaya hidup memainkan peranan penting untuk membantu merawat dan mengatasi masalah hipertensi anda.
7 tips menurunkan tekanan darah tinggi secara semula jadi
Berikut adalah perubahan gaya hidup yang boleh dicuba:
1. Kurangkan berat badan
Hipertensi meningkat seiring peningkatan berat badan. Berat yang berlebihan ini juga menyebabkan gangguan pernafasan semasa tidur (sleep apnea), sekali gus menjadi punca masalah tekanan darah tinggi.
Penurunan berat walaupun sedikit bagi individu obesiti dapat membantu mengurangkan tekanan darah.
Jaga-jaga dengan ukuran pinggang!
- Lelaki berisiko jika ukuran pinggang melebihi 40 inci (102 cm)
- Wanita berisiko jika ukuran pinggang melebihi 35 inci (89 cm)
Tips menurunkan tekanan darah tinggi #2. Bersenam secara berkala
Aktiviti fizikal yang kerap dan konsisten – 150 minit seminggu atau sekitar 30 minit hampir setiap hari seminggu – dapat menurunkan kadar tekanan darah.
Beberapa contoh senaman seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal, berenang atau menari dapat membantu mengurangkan masalah tekanan darah tinggi.
Anda juga disarankan untuk melakukan senaman kekuatan sekurang-kurangnya 2x dalam seminggu.
3. Diet seimbang
Ambil makanan tinggi kandungan bijirin, buah-buahan, sayuran dan produk tenusu rendah lemak. Manakala kurangkan pengambilan lemak tepu dan kolesterol untuk membantu menurunkan tahap tekanan darah anda.
Amalan diet Dietary Approaches to Stop Hypertension atau DASH boleh membantu mengurangkan tekanan darah hingga 11 mm Hg.
4. Kurangkan garam
Pengurangan jumlah garam walaupun sedikit dalam makanan dapat menambahbaikan kesihatan jantung dan mengurangkan tekanan darah tinggi.
Kurangkan pengambilan makanan diproses dan pilihlah untuk menggunakan rempah dan herba sebagai bahan perasa.
Tips menurunkan tekanan darah tinggi #5. Berhenti merokok
Setiap puntung rokok yang dihisap boleh menjadi punca masalah tekanan darah tinggi.
Berhenti merokok dapat mengembalikan kadar tekanan darah ke tahap normal, sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.
6. Kurangkan stres
Tekanan kronik boleh menyumbang kepada hipertensi. Berdepan tekanan sekali-sekala juga boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi jika anda bertindak balas mengambil makanan tidak sihat, minum alkohol dan merokok.
Luangkan masa untuk memikirkan punca yang menyebabkan anda tertekan, seperti pekerjaan, keluarga, kewangan atau penyakit.
Setelah mengetahui faktor yang menjadi puncanya, pertimbangkan cara untuk anda dapat menghilangkan atau mengurangkan tekanan.
Walaupun anda mungkin tidak dapat menghilangkan semua tekanan yang dialami, anda boleh cuba mengatasinya dengan cara lebih sihat.
Antara tips mengurangkan tekanan darah tinggi yang boleh dicuba adalah:
-
Ubah jangkaan anda
Elakkan daripada melakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa dan belajar untuk mengatakan tidak.
Mungkin terdapat perkara yang tidak boleh diubah atau dikawal, tetapi sekurang-kurangnya anda boleh fokuskan kepada cara untuk bertindak balas.
-
Fokus kepada masalah yang boleh dikawal
Tumpukan kepada perkara yang boleh anda kawal dan rancang cara untuk menyelesaikannya.
Jika berdepan masalah di tempat kerja, cuba berbincang dengan pengurus atau pihak atasan. Sekiranya konflik tersebut melibatkan pasangan atau anak-anak, ambil langkah untuk menyelesaikannya.
-
Elakkan pencetus tekanan
Hindari perkara yang boleh mencetuskan tekanan. Sebagai contoh, elakkan kesesakan lalu lintas dalam perjalanan ke tempat kerja dengan bergerak lebih awal atau menaiki pengangkutan awam.
Jika punca stres adalah individu tertentu, elakkan diri daripada mereka sekiranya boleh.
-
Luangkan masa berehat
Tips menurunkan tekanan darah tinggi yang seterusnya adalah ambil masa untuk merehatkan diri dan melakukan aktiviti yang digemari. Sebaiknya, pastikan anda mempunyai masa setiap hari untuk duduk dengan tenang.
-
Sentiasa bersyukur
Bersyukur dengan apa yang dimiliki juga dapat membantu mengurangkan tekanan. Jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada individu yang membantu mengurangkan tekanan anda.
7. Tidur lena dan nyenyak
Tekanan darah biasanya akan turun ketika anda sedang tidur. Jika anda tidak dapat tidur lena, ia boleh mempengaruhi kadar tekanan darah.
Individu yang kurang tidur terutamanya jika mereka di usia pertengahan, mempunyai risiko peningkatan tekanan darah tinggi.
Bagi sesetengah individu, tidur nyenyak adalah perkara yang sukar dilakukan namun ada cara untuk mengatasinya.
Antara cara yang boleh dicuba adalah dengan mengaturkan jadual tidur, habiskan waktu malam dengan bersantai, bersenam di siang hari dan elakkan tidur siang serta pastikan bilik tidur dalam keadaan selesa.
Semoga perkongsian daripada Hello Doktor mengenai tips turunkan tekanan darah tinggi secara semula jadi ini mendatangkan manfaat kepada anda, selamat mencuba!
[embed-health-tool-heart-rate]