backup og meta

FAKTA, Orang Yang Selalu Marah Paling Cepat Dapat Sakit Jantung! Ini Cara Nak Kawal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/05/2021

    FAKTA, Orang Yang Selalu Marah Paling Cepat Dapat Sakit Jantung! Ini Cara Nak Kawal

    Adegan sakit jantung semasa marah atau terkejut sememangnya babak yang sering dipertontonkan dalam filem dan drama tempatan.

    Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah ia fakta atau auta?

    Kajian sains menunjukkan terdapat kaitan antara episod serangan jantung dan emosi ekstrem yang dialami oleh pesakit.

    Secara mudahnya, apa yang cuba disampaikan oleh filem berkenaan dengan pencetus serangan jantung agak tepat.

    Cuma apa yang tidak tepat adalah secepat mana keadaan pesakit menjadi teruk apabila mendapat serangan jantung.

    Sebagai contoh, jarak masa di antara simptom dan kematian agak singkat di dalam filem sedangkan proses patologinya tidaklah secepat itu.

    Dalam artikel ini, kita akan membincangkan hubungan di antara emosi marah dan sejauh mana ia boleh menyebabkan masalah jantung.

    Risiko penyakit jantung dan emosi marah

    emosi marah

    Emosi manusia boleh menyebabkan pelbagai jenis perubahan proses biologi di dalam badan.

    Sebagai contoh, ketika anda sedang marah, hormon stres seperti adrenalin boleh dirembeskan oleh badan untuk meningkatkan kadar degupan jantung dan tekanan darah.

    Kajian menunjukkan dalam tempoh 2 jam anda mengalami rasa marah, risiko untuk mendapat masalah kesihatan seperti sakit dada angina, serangan jantung, strok dan aritmia meningkat.

    Lebih teruk lagi jika anda mempunyai masalah berkaitan dengan plak kolesterol yang menyebabkan salur darah anda menjadi sempit.

    Darah anda mudah membeku apabila mengalami perubahan fisiologi sebegitu dan ketulan darah tersebut boleh tersekat menyebabkan aliran darah terganggu.

    Menurut Fakulti Kesihatan Awam Universiti Harvard, risiko serangan jantung bagi satu episod marah sebulan tidaklah begitu tinggi.

    Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang faktor risiko masalah jantung, 1 episod serangan jantung ekstra boleh diramal dalam kalangan 10,000 individu setiap tahun.

    Risiko individu yang mempunyai faktor risiko pula boleh mencecah setinggi 4 episod serangan jantung ekstra dalam kalangan 10,000 individu.

    Apa yang anda perlu tahu berkaitan dengan risiko ini, ia boleh dikumulatifkan bergantung kepada jumlah episod marah dalam masa sebulan.

    Ini bermakna, risiko bagi mereka yang kerap marah adalah lebih tinggi daripada apa yang dinyatakan di atas.

    Sebagai contoh, mereka yang marah 5 kali sehari mempunyai risiko 158 episod serangan jantung ekstra dalam kalangan 10,000 individu setiap tahun.

    Itu jika anda dikelaskan sebagai mereka yang mempunyai faktor risiko serangan jantung yang rendah.

    Sekiranya risiko anda tinggi, nilai tersebut boleh memuncak sehingga 657 episod serangan jantung ekstra per 10,000 individu.

    Kenapa ada individu yang lebih baran berbanding dengan yang lain?

    emosi marah

    Jika anda sedar, setiap manusia mempunyai tahap capai kemarahan yang berbeza.

    Ada yang rendah dan ada juga yang tinggi.

    Mereka yang mempunyai tahap capai kemarahan yang rendah mudah untuk melenting manakala jika tinggi, mereka lebih mudah menahan marah.

    Ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mudah marah.

    Salah satu daripadanya adalah ia merupakan pengaruh genetik dan proses fisiologi di dalam badan.

    Terdapat kajian yang menunjukkan ada kanak-kanak yang mudah meragam, mudah marah dan mempunyai emosi yang sangat sensitif.

    Perkara ini telah wujud semenjak awal usia mereka dan ia bukan sesuatu yang boleh dibentuk dengan mudah.

    Selain itu, faktor sosiobudaya juga turut memainkan peranan.

    Emosi marah dianggap sebagai satu emosi yang negatif. Kita kebiasaannya diajar untuk menyimpan kemarahan dan tidak meluahkannya.

    Akibat daripada pengaruh tersebut, kebanyakan individu sukar untuk mengawal atau menyalurkan kemarahan mereka dengan betul.

    Kawal marah untuk rendahkan risiko penyakit jantung

    emosi marah

    Terdapat beberapa strategi kawal marah yang boleh diamalkan oleh setiap individu.

    Antaranya adalah:

    1. Relaksasi – Terdapat beberapa teknik yang boleh diamalkan bagi membantu anda mengawal emosi marah. Antaranya adalah teknik bernafas dalam, mengulang ayat “bertenang” berkali-kali, menggunakan kaedah imaginasi visual dan melakukan senaman yoga
    2. Penstrukturan kognitif – Ini merupakan teknik yang melibatkan perubahan cara kita berfikir. Kebiasaannya, apabila seseorang itu marah, mereka cenderung untuk mengeluarkan kata kesat bagi meluahkan perasaan mereka. Teknik ini boleh membantu individu tersebut untuk berfikiran secara rasional walaupun dalam keadaan mereka sedang beremosi.
    3. Selesaikan masalah – Kadangkala, kita berasa marah kerana menemui jalan buntu dalam proses untuk menyelesaikan masalah. Pastikan anda cuba untuk menyelesaikannya namun jangan menaruh harapan untuk menemui jawapan kepada persoalan anda dalam sekelip mata. Beri tumpuan kepada bagaimana anda menguruskan masalah yang sedang anda hadapi. 
    4. Perbaiki cara anda berkomunikasi. Ketika marah, kita cenderung untuk membalas jeritan dengan jeritan. Namun, itu bukanlah sesuatu yang ideal mahupun produktif. Lebih baik jika anda latih diri untuk mendengar kepada isi mereka yang meluahkan kemarahan dan cuba untuk bersabar.
    5. Gunakan lawak jenaka. Bukan semua situasi sesuai untuk anda guna lawak jenaka sebagai bahan untuk meredakan kemarahan. Namun, ia boleh membantu anda mengawal kemarahan di samping memberikan perspektif yang lebih seimbang.
    6. Ubah keadaan persekitaran anda. Cuba untuk dapatkan masa bersendirian supaya perasaan marah boleh reda dan anda berupaya untuk mengawal saki baki kemarahan yang ada selepas itu.

    Konklusi

    Emosi marah bukan sahaja boleh meruntuhkan institusi logik akal dan mengaburkan perspektif, ia juga boleh menyebabkan masalah jantung.

    Jika anda merupakan seorang yang mudah marah, anda boleh mendapatkan bantuan daripada golongan profesional.

    Mereka akan mengajarkan teknik dan memberikan beberapa tip bagi membantu anda untuk kekal rasional walaupun anda sedang dalam keadaan marah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan