backup og meta

Kerap Alami Sakit Perut Melampau, Mungkin Anda Hidap Kanser Perut!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/10/2022

    Kerap Alami Sakit Perut Melampau, Mungkin Anda Hidap Kanser Perut!

    Meskipun teknologi perubatan melibatkan rawatan dan prognosis bagi penyakit kanser perut semakin baik saban tahun, namun polisi terbaik dalam menghadapi arus peningkatan insiden barah adalah cara menghilangkan sakit perut akibat barah yang berkesan.

    Apatah lagi, insiden barah perut mempunyai kaitan yang kuat dengan gaya hidup. 

    Oleh itu, beberapa langkah perubahan boleh diambil bagi memastikan kesihatan golongan berisiko berada pada tahap optimum.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Perut, sila dapatkannya di sini.

    Cara menghilangkan sakit perut – Rawatan dan Pencegahan Kanser Perut

    1. Diet, nutrisi, berat badan dan aktiviti fizikal

    Cara menghilangkan sakit perut

    Oleh sebab masalah berat badan berlebihan merupakan faktor risiko bagi kanser perut, jadi kawalan berat badan adalah penting untuk cegah barah. 

    Persatuan Kanser Amerika (ACS) menyarankan supaya setiap individu mengamalkan gaya pemakanan sihat bagi menurunkan insiden kanser.

    Antara cara menghilangkan sakit perut adalah seperti berikut:

    1. Ambil makanan yang tinggi serat seperti sayur, buah dan makanan bijirin.
    2. Elakkan dari mengambil daging merah 
    3. Kurangkan pengambilan minuman bergula
    4. Elakkan daripada mengambil makanan yang diproses seperti sosej 
    5. Kurangkan pengambilan minuman beralkohol

    Kajian berkenaan dengan topik pemakanan khususnya pengambilan suplemen untuk mencegah kanser perut mempunyai banyak pencanggahan.

    Sebagai contoh, mereka yang mengambil suplemen antioksidan seperti vitamin A, C dan E mempunyai risiko rendah untuk mendapat kanser perut berbanding dengan individu lain.

    Dapatan ini diperoleh daripada banyak kajian, namun, ada juga kajian yang menunjukkan pengambilan suplemen tersebut tidak memberikan apa-apa kebaikan kesihatan.

    Begitu juga dengan kajian yang menunjukkan pengambilan teh boleh membantu menghindarkan kanser perut. Tapi kebanyakan kajian berskala besar tidak menemui kaitan yang sama.

    Walau bagaimanapun, konsultasi dengan pakar pemakanan boleh membantu merangka pelan makanan yang seimbang mengikut kesesuaian dengan aktiviti harian anda.

    Gaya hidup sihat merupakan satu langkah dan cara yang amat efektif untuk menghilangkan atau mengurangkan rasa sakit dalam kalangan pesakit kanser perut.

    Selain daripada itu, aktiviti fizikal juga memainkan peranan penting dalam menurunkan risiko untuk mendapat kanser perut. Sekurang-kurangnya setiap individu melakukan aktiviti senaman berintensiti sederhana selama 150 minit seminggu.

    2. Elak menggunakan produk tembakau

    Jika merokok, risiko anda untuk mendapat kanser perut terutamanya pada bahagian kardia (struktur berdekatan dengan esofagus) adalah sangat tinggi.

    Produk tembakau bukan sahaja boleh meningkatkan insiden pelbagai jenis kanser, ia juga berupaya untuk meningkatkan risiko kematian akibat kanser.

    3. Rawat jangkitan Helicobacter pylori

    Kebanyakan individu yang mengalami jangkitan H pylori tidak didiagnosis dengan kanser perut.

    Keputusan untuk memberikan antibiotik kepada mereka yang positif H pylori namun tidak menunjukkan simptom masih menjadi topik perdebatan akademik sehingga ke hari ini.

    Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan antibiotik boleh menurunkan kadar perubahan pra kanser dan risiko kanser perut.

    Walau bagaimanapun, bukan semua kajian menunjukkan keputusan yang sama.

    Kajian lanjut perlu dijalankan bagi mengkaji langkah pencegahan yang berkesan untuk menghindarkan kanser perut dalam kalangan penghidap jangkitan H pylori.

    Terdapat beberapa cara untuk mengetahui status jangkitan H pylori. Antaranya:

    1. Ujian darah bagi mengesan antibodi yang dihasilkan untuk melawan H pylori.
    2. Prosedur endoskopi untuk mengambil sampel biopsi pada lapisan perut.
    3. Ujian nafas yang memerlukan anda untuk mengambil minuman yang mengandungi urea. 

    4. Cara menghilangkan sakit perut – Penggunaan aspirin

    Cara menghilangkan sakit perut

    Banyak kajian yang membuktikan ubat anti radang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen atau naproxen boleh menurunkan risiko kanser perut. 

    Walau bagaimanapun, penggunaan ubat tersebut boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pendarahan dalaman dan masalah kesihatan yang lain.

    Secara amnya, doktor tidak akan memberikan ubat tersebut semata-mata untuk menurunkan risiko kanser.

    Setakat ini, masih tiada lagi kajian yang melihat kepada kebaikan menggunakan NSAID untuk menghindarkan kanser perut.

    Cara menghilangkan sakit perut / merawat kanser perut

    Rawatan kanser perut berbeza mengikut tahap barah yang dialami oleh pesakit. 

    Terdapat beberapa kaedah atau cara menghilangkan sakit perut yang boleh diguna pakai oleh doktor bagi merawat dan menghilangkan simptom penghidap sakit kanser perut.

    Antaranya adalah:

    1. Pembedahan
    2. Pembedahan paliatif
    3. Terapi kemo
    4. Terapi sasar
    5. Terapi imun
    6. Terapi radio

    Cara merawat kanser perut dan cara menghilangkan sakit perut melalui pembedahan

    Pengeksisian endoskopi

    Pemotongan lapisan kanser melalui prosedur endoskopi hanya boleh dibuat pada penghidap yang mengalami kanser perut tahap awal.

    Jika sel kanser sudah merebak ke kelenjar limfa, prosedur lain perlu dipertimbangkan.

    Prosedur ini popular di negara yang mempunyai kadar diagnosis peringkat awal yang tinggi seperti Jepun.

    Gastrektomi separa total

    Jika ketumbuhan berlaku di bahagian bawah perut, prosedur pembuangan perut separa total sesuai dilakukan.

    Kadangkala, pembuangan kanser tersebut dibuat beserta dengan sebahagian esofagus dan bahagian awal usus kecil, duodenum.

    Perut yang tinggal akan disambung dan organ berdekatan seperti limpa dan kelenjar limfa turut dibuang.

    Mereka yang dibuang perut separa, kebanyakannya tidak mengalami masalah ketika makan.

    Gastrektomi total

    Apabila kanser meliputi keseluruhan perut, prosedur pembuangan perut secara total akan dijalankan.

    Pakar bedah akan membuang keseluruhan perut, kelenjar limfa berdekatan, lapisan lemak abdomen (omentum).

    Jika ada keperluan organ lain seperti limpa, sebahagian esofagus, pankreas, usus kecil (bahagian awal) dan organ berdekatan turut dibuang sekali.

    Individu yang menjalani prosedur ini hanya boleh makan sedikit pada satu masa.

    Oleh sebab itulah, mereka perlu makan secara kerap bagi mencapai jumlah kalori saranan harian.

    Penempatan tiub pemakanan

    Terdapat sebilangan pesakit yang mengalami masalah untuk mendapatkan zat yang mencukupi selepas pembedahan perut.

    Kaedah rawatan lain seperti terapi kemo dan radio boleh menyebabkan masalah ini menjadi bertambah teruk.

    Bagi menyelesaikan masalah ini, tiub makanan boleh dipasang pada usus kecil semasa prosedur gastrektomi.

    Hujung tiub yang turut dikenali sebagai tiub J, akan dipasang pada bukaan kulit di abdomen supaya makanan (dalam bentuk cecair) boleh diberikan secara terus untuk menghindarkan masalah malnutrisi.

    Prosedur pembuangan kelenjar limfa

    Dalam prosedur gastrektomi separa total dan total, kelenjar limfa berdekatan dengan organ perut akan dibuang bagi memastikan prosedur pembedahan berjaya dan kanser tidak berlaku semula.

    Di Amerika Syarikat, saranan buat pakar bedah adalah untuk membuang sekurang-kurangnya 15 kelenjar limfa setelah prosedur gastrektomi selesai.

    Jumlah kelenjar limfa minimum tersebut berbeza mengikut faktor seperti kemampuan pakar bedah, pengalaman dan sebagainya.

    Di Jepun sebagai contoh, jumlah kelenjar limfa yang perlu dibuang oleh pakar bedah jauh lebih banyak berbanding apa yang menjadi saranan di Amerika Syarikat.

    Pembedahan paliatif bagi kanser yang tidak boleh dibuang

    Cara menghilangkan sakit perut

    Apabila kanser perut sudah mencapai tahap lewat, kemungkinan untuk kanser perut tidak boleh dibuang melalui prosedur pembedahan meningkat.

    Meskipun begitu, terdapat prosedur pembedahan yang boleh dijalankan bagi mengawal kanser atau melegakan simptom dan komplikasi barah.

    Antaranya adalah:

    1. Gastrektomi separa total – Prosedur ini boleh membantu merawat komplikasi seperti pendarahan, sakit atau perut tersumbat kesan daripada peningkatan saiz ketumbuhan.
    2. Pintasan gastrik (gastrojejunostomi) – Jika ketumbuhan pada bahagian bawah organ perut sudah menghalang pengaliran makanan ke dalam usus kecil, bahagian atas perut boleh dipintaskan secara terus ke bahagian tengah usus kecil (jejunum).
    3. Ablasi endoskopi – Jika pesakit tidak kuat untuk mengharungi proses pembedahan, endoskop boleh digunakan untuk menghala pancaran laser bagi merawat ketumbuhan. 
    4. Penempatan sten – Salah satu daripada cara untuk merawat ketumbuhan yang menghalang bukaan perut adalah dengan menempatkan sten (tiub besi). 
    5. Penempatan tiub pemakanan – Jika penghidap mengalami kesukaran untuk mendapatkan khasiat makanan yang mencukupi, penempatan tiub makanan menerusi abdomen ke dalam perut boleh dilakukan. Makanan berbentuk cecair boleh dimasukkan secara terus.

    Terapi kemo

    Terdapat beberapa kaedah terapi kemo yang boleh digunakan bagi merawat kanser perut:

    1. Rawatan neoadjuvant. Terapi kemo diberikan sebelum pembedahan untuk mengecutkan ketumbuhan dan proses pembedahan jadi mudah.
    2. Rawatan adjuvant. Terapi kemo diberikan selepas pembedahan untuk membasmi sel kanser yang masih tertinggal. Prosedur disertakan dengan terapi radio.
    3. Rawatan utama terapi kemo boleh diberikan kepada penghidap kanser perut yang sudah mengalami metastasis. 

    Penghidap boleh mengalami kesan sampingan seperti loya, muntah, kurang selera makan, keguguran rambut, cirit-birit dan ulser mulut. Namun, ia hanya sementara. 

    Terapi sasar

    Apabila terapi kemo tidak berkesan, penggunaan ubat seperti trastuzumab dan ramucirumab boleh membantu membasmi sel kanser yang kenal rawatan kemo. Cara rawatan ini juga dapat mengurangakan dan menghilangkan sakit yang dialami pesakit kanser perut.

    Trastuzumab

    Trastuzumab adalah antibodi monoklonal yang berupaya untuk membasmi protein reseptor yang terdapat pada permukaan sel kanser dikenali sebagai HER2.

    Penggunaan ubat ini bersama dengan terapi kemo boleh memberikan kebaikan yang optimum kepada jangka hayat pesakit kanser.

    Ramucirumab

    Apabila kanser membesar, ia akan mencipta salur darah baharu untuk mendapatkan bekalan darah dan nutrien tambahan.

    Salah satu daripada protein yang menyokong proses patologi ini dikenali sebagai VEGF.

    Ia akan melekat pada reseptor pada permukaan sel untuk memulakan proses penciptaan salur darah baharu.

    Ubat ramucirumab akan melekat pada protein VEGF, seterusnya menghalang fungsi fisiologi.

    Terapi imun

    Terapi imun boleh digunakan bagi merangsang sistem pertahanan badan untuk melawan sel kanser.

    Oleh sebab sistem imun manusia telah diprogramkan untuk menyerang sel sendiri, Ia tidak berpotensi untuk melawan sel kanser.

    Terapi imun boleh mengembalikan semula keupayaan sel pertahanan badan untuk menyerang sel kanser namun boleh menyebabkan kesan sampingan. 

    Terapi radio

    Terapi radio menggunakan pancaran berkuasa tinggi untuk membunuh sel kanser pada kawasan tertentu dalam tubuh badan.

    Ia boleh digunakan dengan cara:

    1. Bersama dengan terapi kemo untuk mengecutkan tumor dan memudahkan pembedahan.
    2. Selepas pembedahan untuk membunuh sisa sel kanser yang sukar untuk dilihat semasa pembedahan.
    3. Mengurangkan kadar pertumbuhan kanser bagi penghidap kanser perut tahap lewat.

    Konklusi

    Walaupun prinsip rawatan kanser perut lebih tertumpu kepada prosedur pembedahan, masih terdapat cara menghilangkan sakit perut dan kaedah lain yang boleh digunakan.

    Perkara ini penting bagi individu yang tidak sesuai menjalani pembedahan atas faktor usia, penyakit kronik dan sebagainya.

    Ada pelbagai cara untuk merawat dan menghilangkan sakit kanser perut. Oleh itu, jika anda mengalami simptom kanser perut, sila buat pemeriksaan dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan