Tidak dinafikan, kini rakyat Malaysia semakin peka terhadap kesihatan masing-masing. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika semakin ramai yang ingin mencuba suplemen Coenzyme Q10 (CoQ10) kerana dikatakan fungsi CoQ10 yang baik dalam menurunkan tekanan darah tinggi.
Walaupun anda mengambil suplemen CoQ10 terbaik, ia tetap tidak boleh diambil secara semberono.
Jika anda mempunyai sebarang penyakit, pastikan anda rujuk dengan doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pembelian.
Untuk makluman anda, penyakit seperti sakit jantung, penyakit otak, diabetes dan kanser dikatakan mempunyai kaitan dengan penurunan CoQ10.
Tetapi, apakah keistimewaan CoQ10 hingga ia dikatakan boleh menjadi ubat tekanan darah tinggi? Mari kita baca kupasannya di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Fungsi CoQ10 dan kesannya terhadap tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi merupakan penyakit yang lazim berlaku kepada rakyat Malaysia.
Mereka yang menghidap penyakit ini mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit jantung, strok dan juga penyakit buah pinggang.
Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Ho, Li dan Wright pada tahun 2016, pemberian Coenzyme Q10 mungkin dapat membantu menurunkan tekanan darah pesakit.
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk mengetahui keberkesanan sebenar ubat ini.
Pakar mengesyaki pesakit hipertensi mungkin mempunyai tahap CoQ10 yang rendah di dalam badan.
Malah, ada juga kajian yang menunjukkan pengambilan suplemen CoQ10 terbaik dapat memberikan kesan positif terhadap tubuh seawal 12 minggu.
Bukan itu sahaja, fungsi CoQ10 juga didapati dapat mengurangkan simptom penyakit kegagalan jantung.
Walaupun dapatan kajian sedikit bercampur, CoQ10 mungkin dapat menurunkan tekanan darah pesakit.
Malah, menurut Mayo Clinic, terdapat juga kajian yang mencadangkan pengambilan suplemen CoQ10 terbaik bersama nutrisi lain untuk membantu kesembuhan pesakit yang menghidap pembedahan injap jantung.
Fungsi CoQ10 lain selain sebagai ubat tekanan darah tinggi
Bukan tekanan darah tinggi sahaja, terdapat kebaikan CoQ10 untuk lelaki dan perempuan yang lain seperti:
- Diabetes. Banyak kajian yang mencadangkan pengambilan CoQ10 untuk mengurangkan kolesterol LDL di dalam darah pesakit diabetes. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian perlu dijalankan.
- Migrain. Mereka yang mengambil suplemen CoQ10 dikatakan kurang mengalami migrain.
- Prestasi fizikal. Disebabkan CoQ10 membantu penghasilan tenaga, suplemen ini dipercayai dapat meningkatkan prestasi fizikal pengamalnya. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk menyokong kenyataan ini.
- Membantu kesuburan. Terdapat juga kebaikan CoQ10 untuk kesuburan wanita dan lelaki
- Kesihatan kulit. Mengaplikasikan CoQ10 terus kepada kulit dikatakan dapat mengurangkan kerosakan yang berlaku disebabkan sinaran UV dan mengurangkan kedutan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan kenyataan di atas masih memerlukan lebih banyak kajian yang mendalam.
Fungsi CoQ10: Fahami kesan sampingannya
Dari segi keselamatan pula, suplemen CoQ10 terbaik selamat untuk dimakan sebagai ubat darah tinggi.
Walaupun begitu, ia mungkin datang dengan beberapa kesan makan CoQ10 seperti:
- Sakit perut bahagian atas
- Hilang selera makan
- Loya dan muntah-muntah
- Cirit-birit
Selain itu, mereka yang mengamalkan ubat CoQ10 juga mungkin mengalami:
- Pening kepala
- Insomnia
- Keletihan
- Ruam kulit
- Rasa cepat marah
Untuk wanita mengandung dan sedang menyusukan anak pula, elakkan mengambil suplemen CoQ10 tanpa kebenaran doktor.
Boleh didapati di dalam makanan
Anda mungkin tidak memerlukan suplemen untuk mendapatkan fungsi CoQ10.
Kompaun ini juga boleh didapati di dalam makanan seperti tuna, salmon, organ haiwan seperti hati dan juga bijirin penuh.
Walaupun diet dapat membekalkan kita dengan CoQ10, mereka yang berumur 50 tahun ke atas digalakkan untuk mengambil suplemen ini, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai masalah jantung dan darah tinggi.
Suplemen ini boleh didapati di farmasi berdekatan dalam bentuk pil keras dan juga gel lembut.
Mereka yang ingin mengambil ubat ini untuk masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan untuk memilih produk dengan dos sebanyak 30 hingga 200 mg sehari.
Jika anda masih ragu-ragu, anda boleh bertanya pada ahli farmasi yang bertugas. Mereka dapat membantu anda untuk memilih suplemen CoQ10 terbaik yang sesuai dengan umur serta kondisi kesihatan anda.
Kesimpulan
Tidak ada salahnya jika anda ingin mengambil suplemen tambahan untuk merawat kondisi atau penyakit yang anda alami.
Walau bagaimanapun, kepada mereka yang telah menerima ubat-ubatan daripada doktor, pastikan anda bertanyakan doktor sebelum mengambil apa-apa jenis suplemen. Ingat ya, fungsi CoQ10 tidaklah berkesan 100% untuk merawat tekanan darah tinggi.
Suplemen bukanlah ubat ajaib untuk merawat penyakit yang anda alami. Jika anda mempunyai penyakit tekanan darah tinggi, pastikan anda mengambil ubat seperti saranan doktor.
[embed-health-tool-heart-rate]