backup og meta

Masalah Jantung Jejaskan Hubungan Seks Anda? 7 Tip Ini Dapat Membantu, Barulah 'Syiok'!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/02/2022

    Masalah Jantung Jejaskan Hubungan Seks Anda? 7 Tip Ini Dapat Membantu, Barulah 'Syiok'!

    Masalah jantung gagal berfungsi atau kegagalan jantung sememangnya boleh menjejaskan semua aspek dalam kehidupan kita. Ini termasuklah hubungan seksual suami isteri. 

    Jom ketahui cara untuk mengatasi keadaan ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Masalah jantung gagal berfungsi

    Hubungan seksual suami isteri adalah sebahagian daripada kehidupan sihat dan seimbang serta mempengaruhi kualiti hidup seseorang individu.

    Kekal aktif secara seksual sangat penting dalam menjaga kesejahteraan hubungan anda dengan pasangan selain daripada mengekalkan kualiti kehidupan yang sihat.

    Namun bolehkah mereka yang mengalami isu kesihatan berkaitan jantung seperti masalah jantung gagal berfungsi (heart failure) meneruskan hubungan seksual secara aktif?

    Umumnya, kebanyakan individu berdepan isu kegagalan jantung masih boleh menjalani kehidupan seks yang aktif.

    Malah menurut Persatuan Jantung Amerika, seks jarang menyebabkan serangan jantung

    Pun begitu ia adalah idea yang baik untuk menghentikan hubungan seks sehingga doktor menyatakan keadaan jantung anda stabil.

    Berbincang dengan doktor sekiranya terdapat kebimbangan mengenai hubungan seksual suami isteri.

    Sekiranya anda mengalami kegagalan jantung ringan, doktor mungkin akan memberitahu bahawa hubungan seks adalah selamat untuk jantung. 

    Bagi individu dengan masalah jantung gagal berfungsi yang lebih teruk, doktor akan melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan hubungan seks selamat untuk dilakukan.

    jantung gagal berfungsi

    Walaupun hubungan seksual mungkin tidak selamat dibuat dengan keadaan kesihatan jantung anda, tetapi ia tidak bermakna ciuman dan sentuhan juga harus dilupakan.

    Masih ada cara ya untuk berkasih sayang dengan pasangan.

    Penjagaan jantung gagal berfungsi

    Paling penting anda harus mengambil semua ubat seperti yang diarahkan dan jangan melambatkan waktu pengambilan ubat hanya kerana bimbang wujud kesan sampingan seksual.

    Melewatkan waktu makan ubat kerana tidak mahu menjejaskan dorongan atau fungsi seks boleh meningkatkan gejala kardiovaskular, Kesihatan jantung harus diutamakan! 

    Maklumkan juga kepada doktor sekiranya anda mengalami sebarang simptom seperti kesukaran bernafas apabila melakukan hubungan seksual suami isteri.

    Anda juga diingatkan untuk tidak mencuba sebarang ramuan atau suplemen bebas untuk meningkatkan keinginan seks, bahaya!

    Dapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk mencuba sebarang ubat penambah ereksi.

    Sekiranya anda mengambil ubat nitrat, jangan mengambil ubat seperti sildenafil (Viagra), tadalafil atau vardenafil. 

    Ini kerana gabungan ubat-ubatan ini boleh menyebabkan penurunan tekanan darah yang boleh mengancam nyawa!

    Baca juga:

    Hubungan suami isteri yang selamat

    Melakukan seks adalah seperti menjalani aktiviti yang membuatkan jantung anda bekerja lebih keras. 

    Jumlah tenaga yang diperlukan bagi melakukan hubungan seksual adalah hampir sama dengan menaiki 1 -2 tangga kapal terbang atau berjalan kaki pantas untuk jarak setengah batu.

    Bagi individu dengan keadaan jantung gagal berfungsi, sekiranya anda tidak dapat melakukan aktiviti di atas tanpa berasa letih atau sesak nafas, disarankan untuk berbincang bersama doktor terlebih dahulu sebelum melakukan seks.

    Bagi mereka dengan masalah kegagalan jantung ringan, saranan terbaik adalah untuk mencuba dan melakukan perkara yang menjadikan seks tidak berat untuk jantung anda.

    Antara tip yang boleh dicuba buat individu dengan keadaan jantung gagal berfungsi adalah:

    jantung gagal berfungsi

    1. Mendapatkan rehat secukupnya sebelum melakukan seks.

    2. Elakkan aktiviti seksual apabila:

    • Cuaca sangat panas atau lembap di luar
    • Anda berada dalam keadaan tertekan
    • Selepas makan

    3. Hindari pengambilan minuman alkohol sekurang-kurangnya 3 jam sebelum melakukan hubungan seks suami isteri.

    4. Hentikan seks dan berehat jika anda mengalami masalah pernafasan.

    5. Hentikan seks jika berasa kepala pening, mengalami sakit dada atau tekanan, berdebar-debar ataupun degupan jantung yang pantas.

    6. Mencuba cara lain untuk menjadi intim dengan pasangan tanpa membuatkan jantung bekerja keras. Ini termasuklah berpelukan dan berciuman.

    7. Lakukan hubungan seks apabila anda berasa selesa secara fizikal. 

    Anda harus sedia maklum, ubat yang diambil untuk masalah jantung boleh mempengaruhi rangsangan dan kemampuan untuk melakukan persetubuhan.

    Selalunya, mereka dengan kegagalan jantung boleh mengambil ubat yang diperlukan untuk disfungsi ereksi

    Namun anda harus berbincang dengan doktor terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaiannya, okay?

    Bagi wanita dengan masalah jantung gagal berfungsi yang terfikir untuk memulakan kawalan kelahiran atau hamil, anda juga dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor dahulu.

    Hubungan seksual suami isteri adalah melibatkan fizikal dan emosi. 

    Bercakaplah secara terbuka dengan pasangan anda mengenai perasaan dan tetapkan harapan serta jangkaan realistik.

    Terdapat pelbagai cara lain untuk mempamerkan kasih sayang. Perkara paling mustahak adalah untuk kedua-dua pasangan bersikap jujur dan berkomunikasi. 

    jantung gagal berfungsi

    Usah malu bertanya

    Malangnya, ramai individu yang mengalami kegagalan jantung juga mempunyai masalah seksual.

    Keinginan seks mungkin menurun jika mengalami sesak nafas mahupun gejala lain yang membataskan kemampuan anda untuk melakukan hubungan intim. 

    Lelaki mungkin mengalami masalah ereksi dan wanita juga tidak terkecuali untuk berdepan masalah seksual.

    Jika anda mempunyai masalah seksual disebabkan keadaan kesihatan seperti jantung gagal berfungsi, jangan malu untuk bercakap dengan doktor bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan