backup og meta

Risiko Masalah Jantung MENINGKAT Jika Makan Minyak Ikan, AWAS! Golongan Ini Kena Elak Omega-3

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/01/2022

    Risiko Masalah Jantung MENINGKAT Jika Makan Minyak Ikan, AWAS! Golongan Ini Kena Elak Omega-3

    Sebelum ini kita sering disogok dengan kebaikan minyak ikan omega 3 sebagai makanan untuk kesihatan jantung. Namun tanpa kita ketahui, rupanya ia juga boleh meningkatkan risiko masalah penyakit jantung bagi sesetengah individu.

    Terkejut, bukan?

    Tetapi itu adalah berdasarkan analisis terbaharu yang dijalankan oleh Persatuan Kardiologi Eropah. 

    Hasil daripada kajian menunjukkan suplemen asid lemak omega-3 berkemungkinan mengembangkan fibrilasi atrium (AFib) bagi individu dengan kadar trigliserida yang tinggi.

    Trigliserida adalah sejenis lemak yang terdapat di dalam darah.

    Teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui lebih lanjut!

    Untuk lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, dapatkannya di sini.

    Minyak ikan omega 3 VS masalah penyakit jantung

    Analisis tersebut melibatkan 5 percubaan terkawal secara rawak dan menilai kesan suplemen asid lemak omega-3 pada keputusan kardiovaskular.

    Peserta kajian yang terlibat dalam analisis ini mempunyai tahap trigliserida tinggi.

    Ini bermakna mereka berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kardiovaskular atau sudah pun didiagnosis dengan keadaan tersebut. 

    Lebih daripada 50,000 peserta diberikan minyak ikan omega 3 atau plasebo. Pengambilan dos minyak ikan adalah antara 0.84 gram dan 4 gram sehari.

    Kajian jangka masa panjang ini dilakukan untuk tempoh sehingga 7.4 tahun. Bukan tempoh yang sekejap ya?

    minyak ikan omega 3

    Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan mendapati bahawa suplemen asid lemak omega-3 mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko AFib secara signifikan berbanding plasebo.

    Fibrilasi atrium tingkatkan risiko strok

    Umumnya, fibrilasi atrium adalah aritmia, irama jantung yang tidak normal. Ia dicirikan oleh aktiviti elektrik yang tidak teratur pada ruang atas jantung – atrium kiri.

    Dalam sesetengah kes, penghidapnya mungkin akan berasa jantung berdebar dalam keadaan fibrilasi atrium. Tetapi ada juga yang tidak mengalami sebarang gejala.

    Kebimbangan berkaitan dengan AFib ini adalah risiko untuk mengalami strok atau kejadian tromboemboli lain.

    Ia adalah keadaan di mana berlakunya pembentukan darah beku pada jantung, kemudian pecah (break off) dan bergerak ke otak atau organ lain. 

    Bagi mengurangkan risiko ini, ubat pencair darah (blood thinner) sering dipreskripsi kepada pesakit dengan AFib yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah penyakit jantung seperti angin ahmar.

    Baca juga:

    Kajian mengenai minyak ikan omega 3 dan kesihatan jantung

    Minyak ikan secara meluas telah dianggap sebagai makanan untuk kesihatan jantung sejak berabad lama. 

    Ini kerana ia dipercayai mempunyai sifat antiradang, kesan penipisan darah dan memperbaiki tahap trigliserida.

    Malangnya, banyak bukti berkaitan minyak ikan omega 3 ini telah bercampur-aduk.

    Terdapat juga penyelidikan lepas yang mengkaji jumlah minyak ikan dan jenis plasebo berlainan, contohnya seperti minyak jagung atau minyak mineral.

    Penilaian berkaitan komposisi minyak ikan juga berbeza. 

    Perbezaan ini yang menimbulkan kesukaran untuk membuat perbandingan terhadap kesemua penemuan berkaitan minyak ikan dan kesannya terhadap masalah penyakit jantung.

    Jadi adakah ini bermakna kita perlu menghentikan pengambilan minyak ikan omega-3?

    Keperluan minyak ikan omega 3 untuk kesihatan

    Tidak dinafikan omega-3 adalah lemak penting yang diperlukan badan untuk kekal sihat.

    minyak ikan omega 3

    Oleh sebab sebatian omega-3 ini tidak dihasilkan dalam badan, kita harus mengambilnya bagi mengekalkan keseimbangan tahap kesihatan. 

    Terdapat 3 jenis omega-3:

    • Asid alfa-linolenat (ALA)
    • Asid eicosapentaenoic (EPA)
    • Asid docosahexaenoic (DHA)

    Omega-3 merupakan komposisi bahagian penting membran yang melindungi setiap sel di dalam tubuh. 

    Tahap DHA yang tinggi diperlukan terutamanya pada bahagian mata, otak dan sel sperma. Malah ia juga memainkan peranan penting dalam pelbagai fungsi tubuh. 

    Malah, bagi individu sihat yang mengambil minyak ikan ini sebagai sebahagian daripada diet seperti diet Mediterranean akan mengurangkan risiko masalah kardiovaskular dengan ketara. 

    Pengambilan 4 gram omega-3 yang dipreskripsi dalam sehari boleh menurunkan kadar trigliserida sebanyak 20 hingga 30% bagi kebanyakan individu.

    Tetapi apakah kepentingannya untuk mengurangkan tahap trigliserida ini?

    Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, trigliserida adalah sejenis lemak dalam darah pada tubuh kita. 

    Kadarnya diukur melalui ujian darah yang sama dengan lemak lain seperti HDL – kolesterol baik – dan LDL – kolesterol jahat.

    Baca juga:

    Namun menurut seorang pakar kardiologi, walaupun terdapat hubungan antara kesan trigliserida tinggi dengan penyakit kardiovaskular, tetapi sebab-akibatnya (causality) tidak pernah ada.

    Malahan tahap trigliserida tidak pernah digunakan untuk menilai risiko seseorang individu untuk mengalami strok atau serangan jantung.

    minyak ikan omega 3

    Lebih banyak kajian diperlukan

    Walaupun daripada analisis yang diperolehi menunjukkan wujudnya risiko peningkatan masalah penyakit jantung, namun untuk menghentikan terus pengambilan minyak ikan omega-3 adalah tidak digalakkan.

    Sebelum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menghentikan atau memulakan pengambilan suplemen omega-3, sebaiknya berbincanglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan