backup og meta

Nak Tahu Cara CEPAT Turunkan Tekanan Darah? Jom Periksa Apa Yang Boleh & Tak Boleh Dimakan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 04/01/2023

    Nak Tahu Cara CEPAT Turunkan Tekanan Darah? Jom Periksa Apa Yang Boleh & Tak Boleh Dimakan!

    Runsing tentang cara kawal tekanan darah tinggi paling cepat? Jangan risau! Tahukah anda, pengambilan makanan yang betul boleh memberikan impak yang besar terhadap masalah hipertensi yang anda alami?

    Perubahan gaya hidup seperti diet yang betul memainkan peranan yang penting untuk merawat tekanan darah tinggi. 

    Jika anda dapat mengawal hipertensi dengan gaya hidup yang sihat, tidak mustahil anda tidak perlu lagi mengambil ubat-ubatan pada masa akan datang.

    Tidak dinafikan, mengekalkan berat badan yang normal, berhenti merokok dan mengawal stres sama penting dengan diet yang sihat.

    Namun, bagaimana jika anda inginkan kelegaan yang segera terhadap masalah hipertensi yang anda alami? Boleh ataupun tidak?

    Sempena Hari Hipertensi Sedunia ini, mari ikuti kupasan kami di bawah.

    Turunkan darah tinggi dengan segera

    cara kawal tekanan darah tinggi

    Apa yang perlu dilakukan jika anda mengalami masalah tekanan darah tinggi? Cara yang pertama untuk kawal darah tinggi adalah bertenang.

    Perlahan-lahan, cuba tarik nafas sedalam mungkin. Teknik ini boleh mengurangkan stres yang anda alami dan menurunkan tekanan darah anda.

    Jika simptom tekanan darah tinggi ini selalu mengganggu, cuba ubah gaya hidup anda ke arah yang lebih sihat. Senaman dan diet dapat membantu walaupun kesannya mungkin memakan masa.

    Walau bagaimanapun, jika anda mengalami komplikasi tekanan darah tinggi seperti strok atau serangan jantung, pastikan anda berhubung dengan doktor secepat mungkin. Jangan sesekali cuba merawat keadaan ini di rumah.

    Pesakit yang alami serangan jantung dan strok perlukan rawatan serta-merta. Jika tidak, organ mereka berisiko untuk mengalami kecederaan kekal.

    Ubat-ubatan adalah pilihan utama dalam merawat tekanan darah tinggi.

    Malah, ubat ini juga merupakan keperluan untuk pesakit yang tidak mampu menurunkan tekanan darah diri masing-masing dengan cara diet dan perubahan gaya hidup.

    Cara kawal tekanan darah tinggi

    Perubahan dari segi diet juga boleh menurunkan tekanan darah tinggi seseorang. Malah, pengambilan makanan atau diet yang betul juga merupakan cara kawal tekanan darah tinggi dalam jangka masa yang panjang.

    Tetapi, makanan jenis apakah yang perlu diambil dan dielakkan oleh penghidap hipertensi?

    1. Cara kawal tekanan darah tinggi – Makan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh

    Kesemua makanan yang disebutkan di atas boleh menurunkan tekanan darah anda sehingga 11 mm Hg jika anda mengalami hipertensi.

    Pelan makanan ini turut dikenali dengan diet DASH atau Dietary Approaches to Stop Hypertension.

    Kami faham, bukan mudah untuk mengubah gaya pemakanan. Walau bagaimanapun, usaha ini akan membuahkan hasil jika anda kekal disiplin dan menjaga pemakanan.

    Selain itu, lebihkan makanan yang mengandungi kalium. Untuk pengetahuan anda, kalium dapat mengurangkan kesan garam pada tekanan darah.

    Walau bagaimanapun, elakkan mengambil suplemen. Cuba dapatkan sumber kalium daripada makanan seperti sayur-sayuran hijau dan buah-buahan.

    2. Jangan makan garam berlebihan!

    cara kawal tekanan darah tinggi

    Semua orang tahu, garam dan tekanan darah tinggi tidak dapat dipisahkan. Tetapi, tahukah anda, pengurangan garam dalam makanan walaupun sedikit boleh menurunkan tekanan darah anda?

    Orang dewasa digalakkan agar mengambil garam kurang daripada 1500 mg sehari. Untuk mencapai target ini, pastikan anda kurangkan pengambilan makanan segera dan makanan yang diproses.

    Kalau anda suka memasak, inilah masanya untuk kurangkan garam dalam masakan untuk kesihatan keluarga yang lebih terjamin!

    Jadi, cara kawal tekanan darah tinggi ini pasti akan berkesan!

    3. Kurangkan minum alkohol untuk kawal tekanan darah tinggi

    Alkohol mempunyai kesan yang buruk terhadap kesihatan diri. Individu yang kerap minum arak didapati mempunyai tekanan darah yang lebih tinggi berbanding orang lain.

    Malah, ia juga boleh mengurangkan kesan ubat-ubatan tekanan darah tinggi yang anda ambil!

    4. Kurangkan tekanan darah, kurangkan juga kopi

    Walaupun kesan kafein terhadap tekanan darah masih lagi hangat diperdebatkan, ada kajian yang menunjukkan kafein dapat meningkatkan tekanan darah sebanyak 10 mmg Hg dalam kalangan mereka yang jarang menikmatinya.

    Tetapi, kesan ini tidak dapat dilihat pada individu yang sering minum kopi. Walaupun kesan jangka panjang minum kopi tidak dapat dipastikan, namun elakkan mengambil sebarang minuman secara keterlaluan.

    Sentiasalah bersederhana dalam segalanya ya!

    Sudah tahu cara kawal tekanan darah tinggi, kan? Ayuh kita lihat pula apakah sokongan yang boleh diberikan kepada pesakit.

    Berikan sokongan kepada pesakit tekanan darah tinggi

    cara kawal tekanan darah tinggi

    Walaupun makanan merupakan faktor yang penting dalam penjagaan tekanan darah, namun sokongan ahli keluarga juga dapat membantu pesakit untuk lebih bersemangat dalam menjaga kesihatan masing-masing.

    Jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap tekanan darah tinggi, jangan lupa beri mereka sokongan untuk melakukan perubahan dari segi gaya hidup.

    Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit hipertensi juga boleh memantau tekanan darah sendiri di rumah. Dengan cara ini, pesakit dapat kawal tekanan diri dengan lebih baik.

    Akhir sekali, jangan lupa berjumpa dengan doktor jika anda mempunyai sebarang persoalan.

    Jika anda berjaya melakukan perubahan dari segi gaya hidup dan makan dengan lebih sihat, tidak mustahil anda boleh bebas ubat pada masa yang akan datang!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 04/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan