backup og meta

Tiada Simptom, Kenali Penyakit Tekanan Darah Tinggi Sebelum Terlambat!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/12/2021

    Tiada Simptom, Kenali Penyakit Tekanan Darah Tinggi Sebelum Terlambat!

    Hipertensi merupakan penyakit yang menyerang dengan senyap tanpa sebarang simptom tekanan darah tinggi. Pada tahun 2020, didapati hampir 6.4 juta rakyat Malaysia mengalami hipertensi.

    Malah, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019, 30% daripada orang dewasa di Malaysia mengalami hipertensi.

    Namun, daripada bilangan tersebut, hampir separuh (14.1%) tidak tahu mereka menghidap tekanan darah tinggi.

    Tambahan lagi, lebih daripada 1 bilion manusia di seluruh dunia menderita dengan hipertensi, salah satu punca utama penyakit kardiovaskular dan juga kematian pramatang di dunia.

    Sempena Hari Hipertensi Sedunia yang bakal kita sambut pada 17 Mei nanti, marilah kita bersama-sama berkenalan dengan penyakit yang menghantui kebanyakan rakyat Malaysia ini.

    Dengan tema ‘Ukur Tekanan Darah Dengan Betul, Kawalnya dan Hidup Lebih Panjang’, kami dari Hello Doktor berharap agar lebih ramai yang mempunyai kesedaran mengenai tekanan darah tinggi masing-masing pada masa akan datang.

    Tanda tekanan darah tinggi

    simptom hipertensi

    Hipertensi tidak digelar ‘pembunuh senyap’ tanpa sebab. Kebanyakan individu yang menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi selalunya tidak akan mengalami sebarang tanda ataupun simptom.

    Oleh sebab itu, jangan sesekali fikir anda tidak menghidap hipertensi kerana tidak mengalami sebarang gejala.

    Salah satu cara untuk mengesan sama ada anda menghidap tekanan darah tinggi ataupun tidak adalah dengan melakukan pemeriksaan yang kerap.

    Sebenarnya, sukar untuk mengenal pasti tanda tekanan darah tinggi. Ada individu yang mengalami sakit kepala, hidung berdarah atau sesak nafas.

    Walau bagaimanapun, simptom ini bersifat am dan boleh menyerupai pelbagai penyakit lain.

    Selalunya, simptom yang teruk hanya muncul selepas tekanan darah telah mencapai tahap yang serius dan boleh mengancam nyawa.

    Mereka yang menghidap hipertensi mungkin akan rasa normal dan boleh meneruskan hidup seperti biasa tanpa sebarang simptom.

    Walau bagaimanapun, kesan jangka panjang tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kerosakan pada organ jantung dan menyebabkan penyakit seperti aritmia, serangan jantung dan juga strok.

    Bolehkah tekanan darah tinggi dielakkan?

    simptom tekanan darah tinggi

    Perubahan dari segi gaya hidup amat penting untuk mengawal dan mengelakkan tekanan darah tinggi. Sebagai contoh, anda boleh:

    1. Makan makanan yang sihat

    Anda boleh mencuba diet DASH yang direka khas untuk mereka yang menghidap hipertensi.

    Selain itu, tambahkan makanan yang mengandungi kalium ke dalam diet harian anda untuk membantu mengawal dan mengelakkan tekanan darah tinggi.

    2. Kurangkan garam dalam makanan

    Pengambilan garam berlebihan boleh menyebabkan hipertensi. Malah, ia juga akan membuatkan saluran darah menjadi sempit dan keras. 

    Sebagai langkah berjaga-jaga, rendahkan pengambilan garam kepada 1500 mg sehari atau kurang.

    3. Pastikan berat badan sihat

    Tekanan darah tinggi dapat dikawal jika anda mempunyai berat badan yang sihat.

    Malah, mereka yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan juga amat digalakkan untuk cuba menguruskan badan sebagai salah satu langkah mengawal hipertensi.

    Secara am, tekanan darah tinggi boleh dikurangkan sebanyak 1 mm Hg setiap kilogram berat yang anda berjaya turunkan.

    4. Bersenam dengan lebih kerap

    Senaman yang kerap bukan sahaja dapat membantu mengawal tekanan darah tinggi, ia juga dapat membantu anda mengurangkan stres, mengekalkan berat badan yang sihat dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

    Lakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman aerobik berintensiti sederhana dalam seminggu. Anda boleh mulakan dengan senaman ringan seperti berjalan selama 30 minit setiap hari.

    Jangan lupa periksa tekanan darah!

    simptom hipertensi

    Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda menghidap hipertensi ataupun tidak adalah dengan cara menguji tekanan darah tinggi anda di hospital, klinik atau farmasi berdekatan.

    Semua orang dewasa yang berusia 40 tahun ke atas digalakkan untuk memeriksa tekanan darah masing-masing sekurang-kurangnya sekali dalam masa 5 tahun.

    Ujian tekanan darah tinggi merupakan sesuatu yang mudah dan tidak memakan masa yang lama untuk dilakukan. Malah, ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda.

    Jika anda ingin lakukan pemeriksaan kendiri di rumah, pastikan anda menggunakan alat yang mempunyai pengesahan. Selain itu, pastikan kaf tekanan darahnya muat dan ketat.

    Untuk pengetahuan anda, alat tekanan darah tinggi yang digunakan pada kawasan pergelangan tangan dan hujung jari tidak digalakkan kerana keputusannya tidak tepat.

    Kesimpulan

    Masih belum terlambat untuk anda melakukan perubahan dari segi gaya hidup seperti mengurangkan garam dalam masakan, berhenti merokok dan bersenam dengan kerap untuk mengelakkan tekanan darah tinggi.

    Selain itu, pastikan anda melakukan pemeriksaan darah tinggi secara berkala. Jika anda mempunyai duit lebih, tidak salah jika anda menggunakannya untuk membeli alat pengukur tekanan darah untuk kegunaan sendiri.

    Bukan mudah untuk memastikan tekanan darah tinggi sentiasa berada dalam lingkungan yang sihat. Ingatlah, mengawal tekanan darah merupakan sesuatu yang kita perlu lakukan seumur hidup.

    Malah, kesan buruk akibat tekanan darah yang terlalu tinggi juga tidak dapat dikesan sehinggalah organ anda mengalami kerosakan yang serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 10/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan