11 Punca Penyakit Jantung Di Malaysia, Juga Ambil Tahu Rawatan Selain Dari Pembedahan

    11 Punca Penyakit Jantung Di Malaysia, Juga Ambil Tahu Rawatan Selain Dari Pembedahan

    Penyakit jantung merupakan punca kematian utama di Malaysia. Persoalannya, apakah kaedah dan cara merawat penyakit jantung terbaik yang boleh dilakukan untuk mengelakkan perkara ini jadi lebih teruk?

    Jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini untuk tahu tentang cara merawat penyakit jantung dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Penyakit jantung, penyebab kematian utama di Malaysia

    Pada setiap tahun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati statistik penghidap penyakit jantung semakin meningkat.

    Menurut mereka, anggaran penyakit ini adalah kira-kira 40,000 kes baru setiap tahun bagi 28 juta penduduk di negara kita.

    Apa yang lebih membimbangkan, kadar kematian akibat penyakit ini adalah sekitar 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kanser.

    Persoalannya, apa itu penyakit jantung dan mengapa ia berlaku?

    Apa itu penyakit jantung?

    Untuk pengetahuan anda, penyakit ini merangkumi pelbagai kondisi kesihatan yang boleh berlaku kepada organ jantung manusia.

    cara merawat penyakit jantung

    Antara penyakit yang tergolong dalam kategori ini adalah seperti berikut:

    • Penyakit koronari arteri
    • Penyakit salur darah
    • Penyakit masalah degupan jantung
    • Penyakit jantung kongenital

    Terma penyakit jantung juga sering kali disebut sebagai penyakit kardiovaskular yang merujuk kepada penyakit berkaitan penyempitan atau penyumbatan salur darah yang akan mengakibatkan serangan jantung, angina dan strok.

    Selain itu juga, segala kondisi yang menjejaskan otot, injap dan ritma jantung turut tergolong dalam kategori penyakit ini.
    Dalam erti kata yang lebih mudah, penyakit ini merangkumi pelbagai jenis kondisi terhadap organ jantung.
    Jika wujud sebarang petanda yang menunjukkan anda mungkin terkena penyakiti ni, segera berjumpa doktor ya.
    Baca juga:

    Apa punca penyakit jantung?

    Seperti mana yang kita semua sudah tahu, terdapat pelbagai jenis penyakit berkaitan organ penting ini.

    Disebabkan itu, punca-punca ia berlaku juga adalah berbeza bergantung kepada kondisi dan individu itu sendiri.

    Pun begitu, terdapat beberapa faktor risiko yang boleh mengakibatkan penyakit-penyakit berkaitan jantung berlaku kepada anda, termasuklah:

    • Usia – Peningkatan usia akan meningkatkan risiko penyakit ini berlaku kepada anda
    • Jantina – Lelaki adalah lebih berisiko berbanding wanita
    • Sejarah keluarga – Sesiapa yang ada ahli keluarga dengan kondisi ini, anda adalah lebih berisiko
    • Menghisap rokok – Nikotin akan menjejaskan dan merosakkan salur darah anda
    • Meminum alkohol – Sama seperti rokok, ia juga akan meningkatkan risiko penyakit ini
    • Diet tidak seimbang – Diet tinggi lemak, garam, gula dan kolesterol adalah tidak bagus untuk jantung
    • Tekanan darah tinggi – Tekanan darah yang tidak terkawal boleh menyebabkan arteri terjejas
    • Kadar kolesterol tinggi – Kadar kolesterol yang tidak terkawal boleh membentuk plak dan atherosclerosis
    • Fizikal tidak aktif – Kurang melakukan senaman boleh meningkatkan risiko penyakit ini
    • Kondisi kesihatan tertentu – Kondisi seperti obesiti, diabetes dan stres juga adalah faktor risiko
    • Pengambilan ubatan tertentu – Ubatan kimoterapi juga boleh jadi punca penyakit kardiovaskular

    cara merawat penyakit jantung

    Cara merawat penyakit jantung

    Kebanyakan penyakit berkaitan jantung memerlukan pembedahan terbuka untuk merawatnya.

    Sebagai contoh, penyakit arteri tersumbat boleh dirawat dengan menjalani prosedur angioplasty (pintasan jantung atau bypass) untuk membetulkan semula penyumbatan ini.

    Begitu juga dengan pelbagai lagi penyakit berkaitan organ ini kerana mungkin tidak wujud cara lain untuk membetulkan kelainan pada jantung.

    Pun begitu, ia adalah satu kenyataan yang boleh disangkal kerana ada cara lain selain daripada pembedahan!

    Ada cara lain selain daripada pembedahan?

    Ya, memang wujud cara merawat penyakit jantung selain daripada pembedahan. Akan tetapi ia masih perlu dirujuk kepada doktor terlebih dahulu termasuklah:

    #1. Cara merawat penyakit jantung – Mengambil ubatan

    Pertama sekali, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubatan dengan preskripsi doktor yang boleh membantu masalah jantung.

    Berikut adalah antara jenis ubatan yang mungkin akan dicadangkan oleh doktor:

    • Aspirin atau ubatan antiplatelet lain seperti clopidogrel atau prasugrel bagi mengelak darah beku
    • Beta-blockers dan angiotensin-converting enzyme (ACE) untuk merawat masalah tekanan darah tinggi
    • Statins untuk merawat masalah kadar kolesterol tinggi lantas mengelak arteri tersumbat
    • Nitroglycerin atau nitrates untuk melegakan kesakitan pada jantung dan melancarkan aliran darah jantung

    Pun begitu, harus diingatkan untuk anda mengikut segala saranan doktor bagi mengelakkan kesilapan mengambil ubatan ya!

    cara merawat penyakit jantung

    #2. Menjalani gaya hidup sihat

    Cara merawat penyakit jantung yang seterusnya adalah menjalani gaya hidup sihat dan elakkan kehidupan sedentari bagi menyihatkan lagi jantung anda.

    Cara merawat penyakit jantung ini adalah dengan berhenti menghisap rokok, elakkan mengambil alkohol, pengambilan diet seimbang, kerap bersenam dan lain-lain.

    Atau lebih tepat lagi, sila kurangkan segala faktor risiko yang mungkin wujud pada diri anda untuk elak penyakit ini daripada terjadi kepada anda.

    Akhir kata, ia tidak boleh dipandang ringan ya? Segera dapatkan bantuan dan rawatan penyakit jantung dari doktor pakar untuk mengelak komplikasi yang lebih teruk kelak!

    #UseHeartForEveryHeart #WorldHeartDay #HelloDoktor

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Sumber Rujukan
    1. Nonsurgical Treatment Options for Heart Attack. https://www.urmc.rochester.edu/encyclopedia/content.aspx?contenttypeid=56&contentid=19686, Accessed on Jan 12, 2022
    2. Cardiac bypass surgery superior to non-surgical procedure for adults with diabetes and heart disease. https://www.nih.gov/news-events/news-releases/cardiac-bypass-surgery-superior-non-surgical-procedure-adults-diabetes-heart-disease, Accessed on Jan 12, 2022
    3. Warning signs when an artery is blocked, and how to fix it. https://utswmed.org/medblog/blocked-artery/, Accessed on Jan 12, 2022
    4. Heart Conditions & Treatments. https://columbiasurgery.org/heart/conditions-and-treatments, Accessed on Jan 12, 2022
    5. Heart disease. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-disease/symptoms-causes/syc-20353118, Accessed on Jan 12, 2022
    6. Heart disease. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-disease/diagnosis-treatment/drc-20353124, Accessed on Jan 12, 2022
    Gambar penulisbadge
    Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 19/10/2022
    Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim