Kita biasa mengalami penyakit selesema, tetapi adakah kita mengetahui punca selesema tersebut? Ini butiran lengkap mengenai penyakit selesema yang anda alami.
Apakah penyakit selesema?
Selesema adalah sejenis penyakit berjangkit disebabkan virus yang menjangkiti sistem pernafasan bahagian atas. Penyakit ini disebabkan oleh lebih daripada 200 virus yang berlainan.
Rhinovirus adalah virus yang paling biasa menyebabkan selesema, iaitu sekitar 10 hingga 40% kes selesema.
Virus selesema biasa yang lain termasuk coronavirus dan virus syncytial pernafasan (RSV), influenza, dan parainfluenza.
Penyakit selesema juga dikenali sebagai rhinopharyngitis virus akut dan coryza akut.
Dengan mengetahui fakta penting mengenai selesema ini, ia boleh membantu menentukan cara rawatan yang tepat untuk anda.
Seberapa kerap penyakit selesema ini berlaku?
Selesema sangat berjangkit dan merupakan penyakit berjangkit yang paling biasa berlaku pada manusia. Tubuh badan manusia tidak dapat membina daya tahan terhadap semua virus penyebab selesema.
Oleh sebab itu, selesema sangat biasa berlaku dan sering berulang.
Secara puratanya, individu dewasa akan mengalami dua hingga empat kali selesema setiap tahun. Manakala, kanak-kanak pula akan mengalami enam hingga 10 kali selesema dalam setahun.
Selesema biasa mungkin penyakit bermusim, tetapi ada kemungkinan untuk mengalaminya pada bila-bila masa.
Tanda dan simptom penyakit selesema
Simptom selesema jarang muncul secara tiba-tiba dan biasanya mengambil masa selama beberapa hari untuk muncul. Antara simptom-simptom selesema ialah:
- Hidung berair atau tersumbat
- Rasa sesak hidung
- Bersin
- Mata berair
- Lendir mengalir daripada hidung ke bahagian kerongkong
- Deria rasa dan bau yang lemah
- Gatal atau sakit tekak
- Batuk
Kadangkala, selesema yang dialami akan disertai dengan demam ringan, lemah badan, sakit kepala, sakit sendi, dan keletihan.
Penyakit selesema jarang sekali menyebabkan masalah kesihatan tambahan.
Ada kalanya selesema disalah anggap sebagai flu, namun perlu diketahui bahawa simptom flu adalah jauh lebih teruk daripada selesema. biasa.
Punca selesema berlaku
Selesema boleh disebarkan melalui titisan udara yang dipindahkan daripada batuk dan bersin. Ia juga boleh tersebar melalui kontak dengan permukaan yang dijangkiti.
Ia boleh berjangkit kepada anda dalam tempoh 1 hingga 2 hari sebelum gejala mula muncul.
Selain itu, punca selesema juga boleh berlaku di persekitaran anda. Virus boleh hidup di atas mana-mana permukaan selama beberapa hari.
Sekiranya seseorang pembawa virus menyentuh papan kekunci komputer, pemegang pintu, atau sudu, individu lain yang menyentuh kawasan tersebut juga akan dijangkiti virus terbabit.
Pastikan anda mencuci tangan sekiranya tersentuh permukaan terdedah seperti ini kerana ia juga adalah salah satu punca selesema.
Faktor risiko penyakit selesema
Terdapat beberapa keadaan tertentu yang dapat meningkatkan peluang anda mengalami selesema. Ini termasuklah:
- Sesetengah waktu atau musim – Penyakit selesema boleh berlaku sepanjang tahun, tetapi lebih kerap berlaku semasa musim hujan atau sejuk
- Umur – Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun cenderung menghidap selesema. Risiko adalah lebih tinggi sekiranya mereka berada di sekolah dan selalu berinteraksi dengan kanak-kanak lain
- Persekitaran – Kontak rapat dengan orang ramai, seperti ketika menaiki bas, kereta api, kapal terbang atau menghadiri konsert. Kesemua ini akan meningkatkan risiko mendapat jangkitan virus
- Sistem imun yang lemah – Penyakit kronik boleh menjadikan seseorang individu lebih mudah dijangkiti virus selesema
- Merokok – Individu yang merokok mempunyai risiko dijangkiti selesema dan cenderung mendapat gejala yang lebih teruk berbanding individu yang tidak merokok
Bagaimana penyakit selesema didiagnosis dan dirawat?
Oleh sebab selesema adalah perkara biasa dengan gejala yang mudah dikenali, diagnosis selesema adalah mudah tanpa perlu berjumpa doktor.
Diagnosis yang lebih terperinci mungkin diperlukan jika gejala berlanjutan setelah seminggu, kerana ini mungkin menunjukkan keadaan kesihatan yang lain.
Tidak ada penawar untuk jangkitan selesema, tetapi ada pelbagai cara untuk menghilangkan simptom selesema.
Antaranya ialah:
- Cuba ubat titis atau semburan hidung untuk melancarkan hidung tersumbat
- Ambil paracetamol, ibuprofen, atau aspirin untuk mengatasi kesakitan dan demam
Ubat-ubatan selesema yang boleh didapati di farmasi termasuklah dekongestan, antihistamin, dan ubat penahan sakit.
Baca label dengan teliti terlebih dahulu untuk mengelakkan komplikasi kesihatan. Individu yang mempunyai tekanan darah tinggi mungkin memerlukan bimbingan doktor semasa mengambil ubat selesema.
Apakah perubahan gaya hidup dan remedi di rumah yang boleh membantu mengawal jangkitan selesema?
Antara perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan jangkitan selesema ialah:
- Cucilah tangan dengan kerap, terutamanya ketika menyentuh seseorang yang mempunyai selesema – hubungan fizikal dengan seseorang yang mempunyai selesema atau objek yang mungkin mempunyai virus boleh menyebabkan jangkitan. Pembersih tangan dengan kandungan alkohol 60% boleh digunakan apabila sabun dan air tidak tersedia
- Jauhkan tangan daripada hidung dan mata untuk mengelakkan kemasukan virus ke dalam tubuh dengan mudah
- Tutup hidung dan mulut dengan tisu ketika batuk atau bersin – batuk dan bersin ke tisu atau ke siku, bukan tangan anda. Ini untuk mengelakkan penyemburan kuman ke persekitaran anda. Buang tisu dan basuh tangan tangan anda selepas itu
- Elakkan hubungan rapat dengan individu yang demam
- Cuci permukaan yang sering disentuh seperti barang permainan kanak-kanak, tombol pintu, telefon bimbit, dan alat kawalan jauh
- Minum banyak air. Pengambilan cecair yang mencukupi akan menjadikan lapisan hidung dan tekak tidak kering. Dengan itu, lendir hingus akan tetap lembap dan mudah dibersihkan daripada hidung
- Elakkan minuman berkafein seperti kopi, teh, atau soda, serta minuman beralkohol – ini kerana kafein dan alkohol menyebabkan dehidrasi
- Berhenti merokok. Tabiat merokok menyumbang kepada risiko terkena selesema yang lebih tinggi
- Jaga usus anda. Makan makanan kaya bakteria seperti yoghurt, atau ambil suplemen probiotik setiap hari
- Mencegah penyebaran jangkitan. Jauhkan diri atau membatasi hubungan rapat dengan individu yang mudah dijangkiti, seperti mereka yang menghidap asma atau penyakit paru-paru kronik yang lain.
Terdapat juga beberapa remedi di rumah untuk mengurangkan gejala selesema. Antaranya ialah:
- Rehat. Rehat selama 1 atau 2 hari dapat menolong melegakan rasa lesu yang dialami
- Kekal hidrat. Minum banyak air untuk kekal hidrat. Minuman hangat juga dapat melegakan sakit tekak anda
- Makanan. Sesetengah individu kehilangan selera makan ketika mereka demam tetapi makanan akan meningkatkan tenaga dan menyediakan nutrien dan cecair yang diperlukan untuk memerangi virus
- Kumur air garam. Berkumur dengan air garam yang hangat dapat membuat sakit tekak terasa lebih baik. Semburan hidung bergaram juga dapat membantu membersihkan hidung tersumbat
- Mandi air suam. Ia dapat membantu mengurangkan demam dan meredakan kesakitan yang biasa berlaku akibat selesema
- Herba, mineral dan produk lain. Echinacea, kayu putih, bawang putih, madu, lemon, mentol, zink, dan vitamin C juga merupakan antara remedi selesema yang boleh digunakan
Kesimpulan
Selesema bukanlah penyakit yang berbahaya dan akan sembuh tanpa kesan sampingan lain. Malah, simptomnya juga amat mudah untuk dikenal pasti.
Namun, jika ia berlaku dalam tempoh yang lama sehingga menyebabkan komplikasi kesihatan lain, anda perlu berjumpa doktor dengan segera.