Oleh kerana selesema dan flu berkongsi banyak simptom, ia boleh menjadi sukar atau bahkan mustahil untuk menyatakan perbezaan berdasarkan simptom sahaja. Ujian khas yang biasanya perlu dilakukan dalam beberapa hari pertama penyakit boleh menunjukkan jika seseorang mempunyai flu.
Jenis makanan yang memburukkan keadaan flu
Untuk anda yang masih tidak mengetahui mengenai hal ini, terdapat beberapa jenis makanan yang berpotensi memburukkan jangkitan flu yang anda alami. Antara jenis-jenis makanan berikut ialah:
Gula
Menurut Dr. Irvin Sulapas, pensyarah dalam bidang perubatan sukan di Jabatan Perubatan Keluarga & Komuniti, Baylor College of Medicine, pengambilan gula yang tinggi boleh menekan sistem imun tubuh manusia. Menurut Dr. Irvin, peningkatan kadar gula berpotensi merencatkan fungsi sel darah putih yang berfungsi melawan jangkitan. Tambahan lagi, gula meningkatkan bilangan penanda keradangan yang dipanggil cytokine, yang boleh menyebabkan keradangan pada tubuh.
Alkohol
Seperti mana gula, alkohol juga boleh menyebabkan keradangan dan melemahkan sel darah putih. Alkohol juga mempunyai kesan double whammy, iaitu dua kesan buruk yang berlaku dalam satu masa yang boleh menyebabkan dehidrasi. Apabila seseorang individu jatuh sakit, kekal hidrat adalah salah satu kunci untuk cepat sembuh. Ini kerana, ia membantu buah pinggang menapis sisa daripada tubuh badan, dan menyembuhkan tubuh badan dengan lebih cepat. Menurut Dr. Irvin lagi, kekal hidrat juga membantu mengurangkan kesesakan dalam tubuh dengan cara mengelakkan lendir atau mukus daripada menjadi terlalu kering, agar ia mudah dikeluarkan daripada tubuh.
Buah sitrus
Untuk pengetahuan pembaca, buah-buahan sitrus seperti oren, limau gedang dan lemon boleh membuatkan iritasi pada lapisan perut dan memburukkan lagi perut yang sedang kesakitan. Jika anda mengalami mual-mual, elakkan daripada mengambil buah-buahan sitrus ini sehinggalah perut anda kembali normal.
Minuman berkafein
Seperti mana alkohol, minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman bergas boleh membuatkan tubuh anda cepat kehilangan air atau dehidrasi. Kafein boleh mengurangkan tahap air dalam tubuh yang menyebabkan anda lambat sembuh daripada penyakit seperti selesema. Tambahan lagi, kebanyakan minuman berkafein mengandungi gula yang tinggi yang juga menyebabkan keradangan dan menyukarkan melawan jangkitan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen