backup og meta

Musim Hujan Tiba! Ini Tindakan Sebelum, Semasa Dan Selepas Masalah Banjir

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 17/01/2022

    Musim Hujan Tiba! Ini Tindakan Sebelum, Semasa Dan Selepas Masalah Banjir

    Masalah banjir kilat merupakan sejenis bencana alam yang lazim berlaku, namun ia boleh membawa kemusnahan yang sangat besar. 

    Walaupun banjir selalunya terjadi di kawasan yang terletak dekat dengan sungai dan laut, fenomena ini masih boleh berlaku di kawasan yang jauh daripada sebarang punca air.

    Ketika hujan lebat, banjir kilat boleh meneggelamkan kawasan bandar, terutamanya bandar besar seperti Kuala Lumpur. 

    Jika anda tinggal di kawasan yang terdedah kepada banjir, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi malapetaka ini.

    Berikut disenaraikan beberapa perkara yang boleh anda lakukan sebelum, semasa dan selepas banjir agar anda lebih bersedia.

    Perkara yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas masalah banjir

    Sebelum masalah banjir berlaku

    masalah banjir

    1. Sediakan kit kecemasan yang mengandungi (minimum):
  • Peralatan first aid
  • Lampu suluh bersama bateri tambahan
  • Powerbank
  • Dokumen-dokumen penting
  • Makanan yang tidak cepat rosak
  • Air minuman
  • Lilin dan mancis
  • Ubat-ubatan penting
  • Baju, selimut dan beg tidur
  • Wang kecemasan
  • Kit kebersihan diri
  • Baju hujan
  • Tutup semua utiliti rumah seperti gas, elektrik dan air jika dilanda banjir. 
  • Pastikan anda mempunyai pelan evakuasi. Semua ahli keluarga perlu tahu ke mana mereka perlu pergi jika berlakunya banjir. Sebarang keputusan pada minit-minit terakhir hanya akan menyebabkan kekeliruan.
  • Pastikan ahli keluarga atau jiran tahu ke mana arah tuju anda ketika proses evakuasi.
  • Simpan perkakas elektrik seperti pemanas air ketuhar di tempat yang lebih tinggi seperti loteng rumah.
  • Bina penghalang atau penghadang air banjir seperti beam untuk mengelakkan kemasukan air banjir ke dalam rumah.
  • Simpan segala dokumen penting di tempat yang lebih selamat dan jauh daripada aliran air.
  • Ajar anak-anak cara untuk melefon polis dan bomba ketika berlakunya kecemasan.
  • Semasa banjir

    masalah banjir

    1. Dengar pengumuman daripada radio, televisyen, atau mana-mana media sosial berkenaan perkembangan semasa banjir di kawasan anda.
    2. Bersedia untuk sebarang kemungkinan banjir kilat yang akan berlaku. Sekiranya terdapat kemungkinan banjir kilat, terus berpindah ke kawasan yang lebih tinggi tanpa perlu menunggu arahan pihak berkuasa berkaitan.
    3. Perhatikan tahap ketinggian air di sekeliling rumah anda seperti tasik, aliran sungai, longkang, parit besar dan tali air sebagai langkah bersedia.
    4. Tutup semua punca atau bekalan elektrik di rumah anda untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
    5. Jika perlu berpindah, lakukannya serta-merta. Lebih mudah untuk berpindah ketika air masih lagi cetek dan mudah untuk dilalui kenderaan penyelamat.
    6. Ikuti arahan pihak berkuasa untuk berpindah. Jangan berlengah semasa dalam proses pemindahan.
    7. Berpindah ke tempat yang lebih tinggi dan selamat sementara anda masih mempunyai masa untuk bergerak dan berpindah. Jangan sesekali menunggu sehingga air banjir menenggelamkan rumah anda.
    8. Gunakan kenderaan yang lebih selamat untuk berpindah seperti kenderaan pacuan empat roda atau bot dan sampan.
    9. Jangan memandu di kawasan banjir. Kereta kecil boleh dihanyutkan air yang setinggi 1 kaki. Air yang setinggi 2 kaki pula boleh menghanyutkan hampir semua kenderaan.
    10. Jika anda perlu meranduk air, gunakan tongkat untuk mengetahui kedalaman air. Pastikan air tenang dan tidak deras kerana air setinggi 6 inci boleh membuatkan anda jatuh.
    11. Jangan mandi air banjir. Anda mungkin terdedah dengan pelbagai penyakit bawaan air.

    Selepas masalah banjir

    masalah banjir

    1. Elakkan bermain dengan air banjir. Ia mungkin telah tercemar dengan minyak, bahan kimia berbahaya atau limpahan air kumbahan.
    2. Hati-hati di kawasan yang telah terkesan dengan air banjir. Struktur jalan raya mungkin telah lemah dan boleh terjadi runtuhan.
    3. Jauhkan diri anda daripada sebarang kabel yang terjuntai di dalam air atau terputus. Hubungi syarikat bekalan elektrik untuk tindakan lanjut.
    4. Pulang ke kediaman anda hanya setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa.
    5. Baiki semula tangki septik rumah anda untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan dan kerosakan berpanjangan.
    6. Bersihkan rumah anda dengan menggunakan air bersih dan bahan pencuci. Lumpur yang memasuki kediaman mungkin mengandungi sisa kumbahan dan bahan kimia berbahaya.

    Jangan sesekali

    1. Berjalan merentasi air yang sedang mengalir. Jika anda perlu melintasi sesuatu kawasan, cari kawasan dengan air yang tenang dan tidak bergerak. Gunakan kayu untuk memeriksa keadaan tanah di hadapan.
    2. Jangan memandu di kawasan yang mempunyai masalah banjir. Jika air menenggelamkan kenderaan anda, tinggalkan kereta tersebut dan bergerak ke kawasan yang lebih tinggi.

    Kesimpulan

    Masalah banjir kilat merupakan satu bencana alam yang boleh memusnahkan harta benda awam. Jika berlakunya banjir kilat, mangsa banjir pasti memerlukan bantuan yang banyak terutamanya dari segi wang ringgit.

    Jika anda terlibat dengan banjir, atau sedang membantu mangsa banjir, panduan ini boleh membantu anda agar lebih bersedia untuk berdepan masalah banjir yang bakal tiba.

    Jika kawasan rumah atau kediaman anda dianggarkan sebagai salah satu kawasan yang mungkin terjejas akibat banjir, langkah persediaan dan pencegahan adalah lebih utama sebelum bencana banjir melanda.

    Ini bertujuan meminimumkan kerosakan yang berlaku, mengurangkan kos pembaikan, dan yang paling penting adalah keselamatan diri anda sendiri. Ingatlah, sediakan payung sebelum hujan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Aishah Jamaludin · Disemak pada 17/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan