Jika salah seorang daripada ahli keluarga anda mendapat jangkitan tersebut, galakkan mereka untuk berehat di dalam bilik. Situasi sosial perlu dielakkan dalam tempoh 2 ke 3 hari dan mereka hanya dibenarkan untuk keluar dari bilik untuk ke tandas.
Begitu juga dalam konteks hubungan suami isteri. Jika suami dijangkiti dengan virus selesema, isteri digalakkan untuk tidur di bilik yang berlainan. Jika anda tidak mengendahkannya dan tidur bersama dengan mereka yang selesema, kebarangkalian anda untuk dijangkiti tinggi. Bantal, cadar dan tilam kebiasaannya menjadi punca jangkitan virus selesema.
Tidur pada awal waktu dan sekurang-kurangnya 7 jam

Secara amnya, tidur penting bagi mengekalkan kesihatan individu pada tahap optimum. Malahan, ketika anda sedang mengalami jangkitan selesema yang berpanjangan, kebiasaannya anda akan digalakkan untuk tidur.
Kajian yang dijalankan oleh Daniel et al pada tahun 2017 menunjukkan bahawa mereka yang mengalami masalah insomnia mempunyai ketahanan imuniti yang rendah berbanding dengan individu yang cukup tidur.
Kajian tersebut mempunyai dapatan yang sama dengan kajian pada tahun 2019 berkaitan dengan keberkesanan vaksin selesema dalam kalangan mereka yang cukup tidur. Ia memberikan keupayaan dua kali ganda kepada antibodi berbanding dengan mereka yang tidak cukup tidur untuk melawan virus.
Ini bermakna, bukan sahaja anda boleh cepat sembuh daripada selesema berpanjangan jika anda mendapatkan tidur yang cukup malahan kebarangkalian anda untuk mendapat jangkitan tersebut rendah.
Elakkan daripada berkongsi peralatan peribadi
Menurut Professor Openshaw, adalah lebih baik jika anda membawa perkakasan seperti pen, kalkulator dan sebagainya ke tempat kerja. Berkongsi barang boleh menjadi punca selesema berjangkit.
Gunakan telefon bimbit anda sendiri, pastikan anda membawa lebih daripada satu pen dan elakkan daripada meminjam peralatan mereka yang sedang sakit. Seperti yang disebutkan, apabila virus selesema dipindahkan pada permukaan barangan, ia boleh hidup sekurang-kurangnya 24 jam.
Ini bermakna peralatan seperti telefon pejabat, mesin air dan tombol pintu boleh menjadi sumber utama dalam proses penyebaran penyakit. Jangan lupa untuk basuh tangan anda secara kerap sebelum makan atau menyentuh muka.
Dapatkan rawatan di hospital, jangan jadi punca orang lain hidap virus selesema
Jika anda mengalami gejala jangkitan selesema yang berpanjangan, dapatkan rawatan kesihatan daripada klinik atau hospital dan berehatlah di rumah. Jika anda khuatir akan impak jangkitan selesema terhadap kualiti hidup anda, dapatkan vaksin influenza daripada klinik swasta berdekatan.