backup og meta

Ingin Jantung Yang Lebih Sihat? Amalkan SESUDU Minyak Zaitun Setiap Hari!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/11/2022

    Ingin Jantung Yang Lebih Sihat? Amalkan SESUDU Minyak Zaitun Setiap Hari!

    Pernahkah anda mendengar tentang amalan makan sesudu minyak zaitun setiap hari? Sebenarnya, ada banyak khasiat minyak zaitun kepada tubuh badan kita.

    Nak tahu? Jom ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Khasiat minyak zaitun: Rendahkan kolesterol dalam darah, punca panjang umur

    Minyak zaitun merupakan antara makanan yang tidak diragui khasiatnya. Kaya dengan asid lemak mono tidak tepu (monounsaturated fatty acid), minyak zaitun telah terbukti berupaya merendahkan risiko penyakit kardiovaskular.

    Pengambilan minyak zaitun dalam kalangan rakyat Malaysia juga sudah tidak asing lagi pada zaman sekarang. Ada di antara kita yang mengamalkan pengambilan sesudu minyak zaitun sehari untuk tujuan kesihatan jantung.

    Dimakan bersama-sama Habbatus Sauda dan kadangkala madu asli, namun adakah khasiat minyak zaitun sama seperti apa yang digembar-gemburkan?

    Sebenarnya, bahan utama dalam Diet Mediterranean ini bukan sahaja baik untuk jantung, malah mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah.

    Selain itu, tahap kolesterol ‘jahat’ seperti LDL (low-density lipoprotein) dalam badan juga dapat dikurangkan.

    Dalam Diet Mediterranean, minyak zaitun selalunya dimakan bersama sayur-sayuran dan buah-buahan. Kombinasi inilah yang membuatkan pengamalnya menjadi lebih sihat dan panjang umur.

    Sebagai bukti, rakyat Sepanyol yang mengamalkan Diet Mediterranean merupakan penduduk Eropah yang mempunyai jangka hayat terpanjang iaitu selama 82.2 tahun.

    Ini hampir 8 tahun lebih panjang daripada rakyat Malaysia yang mencatatkan jangka hayat selama 74.5 tahun.

    khasiat minyak zaitun

    Ganti lemak haiwan dengan kebaikan minyak zaitun

    Merujuk kepada sebuah kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, individu yang mengamalkan sesudu minyak zaitun sehari mempunyai 15% risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit kardiovaskular.

    Selain itu, kajian selama 24 tahun ini juga mendapati mereka mempunyai 21% kurang risiko untuk menghidap sakit jantung jika dibandingkan dengan individu yang langsung tidak mengamalkan minyak zaitun dalam diet harian mereka.

    Gantikan marjerin, mentega, mayonis dan lemak haiwan dengan minyak zaitun, dan risiko untuk menghidap penyakit kardiovaskular termasuk jantung dapat direndahkan lagi.

    Menurut Guasch-Ferre, saintis daripada Harvard T.H. Chan School of Public Health, minyak sayuran lain mempunyai khasiat yang lebih kurang sama seperti minyak zaitun.

    Oleh itu, tidak semestinya anda perlu menggantikan penggunaan lemak haiwan terhad kepada minyak zaitun sahaja.

    Anda juga boleh jadi kreatif dan guna minyak lain seperti minyak jagung, minyak kanola ataupun minyak kacang soya dalam masakan anda.

    khasiat minyak zaitun

    Khasiat minyak zaitun: Makan sesudu sehari, tapi masih sakit?

    Penting untuk kita faham bahawa minyak zaitun bukanlah satu ubat ajaib yang boleh menyembuhkan semua jenis penyakit.

    Tidak guna juga jika anda makan sesudu minyak zaitun sehari, tetapi masih mengamalkan gaya pemakanan yang tidak sihat.

    Walaupun kajian di atas menunjukkan tindak balas positif terhadap pengambilan sesudu minyak zaitun setiap hari, peserta kajian tersebut mungkin secara tidak sedar telah membuat perubahan dari segi gaya hidup mereka.

    Oleh itu, anda perlu menukar gaya hidup anda ke arah yang lebih sihat jika mahu lihat sebarang perubahan pada kesihatan anda.

    Selain itu, kurangkan juga pengambilan lemak daripada sumber haiwan dan cuba ganti dengan lemak sayuran yang lebih sihat serta berkhasiat.

    Baca juga:

    Gunakan extra virgin olive oil (EVOO) untuk khasiat minyak zaitun yang lebih sihat

    Extra virgin olive oil ataupun EVOO merupakan minyak zaitun yang mempunyai kualiti tertinggi dalam pasaran.

    Istimewanya, minyak ini mengandungi pelbagai antioksidan dan juga sumber asid lemak yang terbaik.

    Berbeza dengan minyak zaitun biasa, EVOO melalui proses ekstraksi secara semula jadi yang mampu mengekalkan nutrisi asal daripada buah zaitun sebanyak mungkin.

    Selain itu, kebaikan minyak zaitun extra virgin juga lebih berperisa dan sesuai digunakan dalam masakan.

    khasiat minyak zaitun

    Namun, minyak zaitun tidak patut digunakan bagi tujuan menggoreng atau deep fry. Penggunaan minyak zaitun pada suhu yang tinggi akan menyebabkan kebaikan minyak zaitun hilang.

    Oleh itu, minyak zaitun lebih sesuai digunakan untuk memasak sayur-sayuran seperti brokoli pada suhu yang lebih rendah.

    Malah, ada kajian yang mengatakan penggunaan minyak zaitun untuk memasak sayur bukan sahaja lebih baik untuk kesihatan, malah, nutrisi yang terkandung di dalam sayur juga dapat dikekalkan ketika memasak.

    Kesimpulan

    Amalan memakan sesudu minyak zaitun tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Malah, amalan ini turut mendapat tempat di dalam hati individu yang lebih berusia kerana khasiat minyak zaitun yang luar biasa.

    Tidak salah untuk anda mengamalkan pengambilan minyak zaitun setiap hari. Tetapi, tabiat ini haruslah disertai juga dengan amalan lain seperti menjaga pemakanan dan juga mengamalkan senaman.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan