Bukan sahaja bayi dan kanak-kanak harus minum susu setiap hari, tetapi individu dewasa khususnya wanita juga perlu mengamalkannya. Tetapi apakah kebaikan minum susu untuk wanita?
Ini penjelasan lanjut mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan, sila dapatkannya di sini.
Keperluan kalsium dalam kehidupan wanita
Sumber utama susu adalah kalsium.
Kalsium penting sama ada anda hamil atau tidak. Tetapi untuk bakal ibu, ia sangat penting. Bukan sahaja untuk membina tulang bayi bahkan juga membantu mengekalkan kesihatan rangka anda.
Ini kerana jika bakal ibu tidak mengambil kalsium mencukupi untuk bayi yang sedang membesar, tubuh akan kehabisan kalsium simpanannya.
Keadaan ini sekali gus meletakkan anda dalam risiko tinggi untuk kehilangan tulang dan meningkatkan risiko osteoporosis – masalah tulang rapuh, di kemudian hari.
Penyusuan badan turut menjejaskan tulang ibu. Ia terjadi apabila keperluan bayi meningkat untuk kalsium diambil daripada tulang ibu.
Jumlah kalsium diperlukan ibu bergantung kepada kuantiti susu badan yang dihasilkan serta tempoh penyusuan berlangsung.
Wanita juga mungkin kehilangan jisim tulang semasa menyusu kerana penghasilan hormon yang melindungi tulang – estrogen, berkurangan.
Baca juga:
Kebaikan minum susu untuk wanita
Amnya, wanita lebih berisiko kehilangan jisim dan ketumpatan tulang.
Ini sekali gus membuatkan mereka terdedah kepada osteoporosis dan osteoarthritis kerana melalui peringkat kitaran haid, kehamilan, bersalin dan menopaus.
Berikut antara kelebihan dan kebaikan minum susu untuk wanita:
1. Sumber kalsium dan vitamin D
Wanita mengalami penurunan ketara dalam kadar metabolisme seiring peningkatan usia. Kekuatan tulang juga akan berkurangan dan risiko osteoporosis akan meningkat.
Susu merupakan sumber kalsium dan vitamin D yang baik. Ia berperanan menghalang osteoporosis dan kehilangan tulang.
Kalsium juga baik untuk gigi kerana ia membantu dalam mengawal keasidan oral dan melawan kerosakan gigi.
Wanita lebih terdedah kepada kekurangan kalsium semasa hamil dan haid, justeru pengambilan susu membantu dalam mencegahnya.
Vitamin D penting dalam pengawalan pertumbuhan sel dan melindungi daripada kanser, selain mencegah osteoporosis dan osteoarthritis.
2. Minum susu untuk sumber kalium
Susu berkesan mengawal tekanan darah dan membantu pembekuan darah kerana ia merupakan sumber kalium.
Kalium adalah mineral yang bagus dalam mengurangkan tekanan darah, penyakit jantung, melindungi daripada kehilangan jisim otot, memelihara ketumpatan mineral tulang dan mengurangkan pembentukan batu karang.
Turun naik tekanan darah, kalsium dan protein rendah adalah perkara biasa semasa kehamilan dan fasa menopaus kepada wanita.
Secawan susu dapat membekalkan sekitar 366mg kalium.
Untuk membantu mengekalkan ketumpatan tulang yang baik dan mencegah keretakan pada usia tua, pengambilan susu adalah penting.
3. Kandungan klorin
Klorin adalah nutrien penting untuk menyokong tidur, pergerakan otot dan pembelajaran berkesan serta ingatan yang baik.
Ia juga membantu mengekalkan struktur membran sel, membantu penyerapan lemak, mengurangkan keradangan kronik dan juga membantu dalam penghantaran impuls saraf.
4. Kebaikan minum susu untuk wanita #Membantu menurunkan berat
Pengambilan susu setiap hari boleh menggalakkan penurunan berat badan atau sifat membakar lemak pada wanita.
3 hidangan susu sehari boleh menghasilkan kehilangan lemak lebih banyak untuk jangka masa panjang, khususnya buat mereka yang mengamalkan diet sihat dan rutin senaman berkala.
Jika anda ingin menurunkan atau mengekalkan berat, susu adalah cara mudah dan kaya nutrien yang dapat membantu proses tersebut.
5. Mengekalkan jisim otot
Bagi wanita yang mengamalkan senaman kekuatan, susu adalah bantuan yang anda perlukan.
Ini kerana susu membantu membina otot yang kuat dengan nisbah ideal karbohidrat kepada protein, menjadikannya minuman pilihan yang bagus untuk individu aktif selepas bersenam.
Susu juga kaya asid amino rantai bercabang (branched chain amino acids) – memainkan peranan dalam pertumbuhan/pemulihan otot.
6. Melindungi diri daripada penyakit, antara kebaikan minum susu untuk wanita
Terdapat bukti mencadangkan nutrien yang terkandung dalam lemak susu seperti vitamin A, K2, asid lemak omega-4, juga dapat melindungi diri daripada penyakit seperti diabetes, kanser dan penyakit jantung.
Menukar soda kepada susu juga dapat mengurangkan risiko mendapat diabetes jenis 2.
Sindrom metabolik merangkumi keadaan saling berkait termasuk peningkatan tahap gula darah, kolesterol dan tekanan darah tinggi serta obesiti.
Protein dalam susu boleh mengurangkan disfungsi metabolik ini secara langsung dan tidak langsung.
Protein ini juga boleh mengurangkan bilangan trigliserida dalam darah selepas makan dan menurunkan tekanan darah, selain membantu mengawal selera makanan dan meningkatkan prestasi senaman – dapat menyumbang kepada penurunan berat badan.
7. Kebaikan minum susu untuk wanita #Melindungi kesihatan tulang
Ramai yang menganggap susu hanya penting untuk kanak-kanak kerana ia membantu membina tulang yang kuat, sedangkan susu melindungi kesihatan rangka tanpa mengira usia, khasnya buat wanita.
Walaupun kita sering berfikir tulang tidak berubah apabila mencapai usia dewasa, hakikatnya ia adalah tisu dinamik yang sentiasa dipecahkan dan dibina semula.
Pun begitu, seiring peningkatan usia, kadar tulang yang dipecahkan melebihi kadar pembentukan tulang baharu.
Jika wujud sebarang keraguan sama ada anda sesuai untuk mengambil susu atau mungkin mempunyai alergi seperti alahan laktosa, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan kepastian.
[embed-health-tool-bmr]