backup og meta

Kenali Tanda Diabetes Jenis 2, Jika Muncul Simptom Ini, Jangan Berlengah Jumpa Doktor

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/07/2022

    Kenali Tanda Diabetes Jenis 2, Jika Muncul Simptom Ini, Jangan Berlengah Jumpa Doktor

    Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, di Malaysia, 1 daripada 5 individu disahkan menghidap diabetes (anggaran 3.9 juta orang) di seluruh negara. Ini satu angka yang besar, jadi setiap individu perlu tahu apakah simptom kencing manis. 

    Apabila anda menghidap kencing manis, tubuh badan anda tidak berkemampuan untuk menggunakan kandungan glukosa dalam darah.

    Dalam tempoh jangka masa yang lama, kadar gula darah yang tidak terkawal boleh menyebabkan kerosakan saraf, kerosakan buah pinggang, penyakit jantung bahkan kebutaan. 

    Tambahan pula, adakalanya tanda2 kencing manis ini tidak disedari oleh ramai orang.

    Namun, sekiranya anda berasakan yang anda mempunyai tanda tanda kencing manis, segeralah berhubung dengan doktor untuk mendapatkan pengesahan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini

    Simptom kencing manis jenis 2

    simptom kencing manis

    Bagi anda yang ingin mengetahui apakah tanda-tanda kencing manis atau diabetes jenis 2, di bawah ini disediakan beberapa simptom kencing manis yang perlu diperhatikan.

    Setiap simptom yang berlaku mungkin berbeza untuk setiap individu. Oleh itu, perhatikan tanda-tanda ini sekiranya anda ada mengalaminya.

    #1. Simptom kencing manis: Rasa dahaga yang melampau

    Sekiranya anda berasa dahaga yang teramat sangat atau kerap berasa dahaga tidak seperti biasa, ia merupakan antara simptom kencing manis jenis 2 yang paling awal. 

    Keadaan ini disebabkan oleh tahap gula darah yang tinggi yang kemudiannya menyebabkan anda berasa dahaga. 

    Buah pinggang anda tidak dapat memproses glukosa dengan kadar yang banyak dan menyingkirkannya melalui pembuangan air kecil.

    Anda akan bertambah dahaga sekiranya kerap membuang air kecil yang mengurangkan lagi jumlah air dalam tubuh badan anda. 

    Otak anda mungkin akan memberikan isyarat untuk meminum lebih banyak air.  

    Namun, kebiasaannya dengan meminum air yang banyak tidak akan membuatkan rasa dahaga tersebut hilang malah menyebabkan anda lebih kerap ingin membuang air kecil. 

    #2. Kerap berasa letih atau tidak bertenaga

    simptom kencing manis

    Paras gula darah yang tinggi hanya akan memperlahankan aliran darah dalam tubuh lalu menyebabkan oksigen dan nutrien tidak sampai ke sel tubuh. 

    Apabila ini terjadi, sel tidak dapat menggunakan sumber glukosa daripada darah untuk menghasilkan tenaga bagi kegunaan tubuh badan. 

    Selain itu, paras gula darah yang tinggi turut boleh menyebabkan salur darah anda mengalami keradangan sekali gus membuatkan anda keletihan. 

    Menurut kajian, apabila salur darah mengalami keradangan, sel imun yang dipanggil sebagai ‘monocytes’ akan sampai ke bahagian otak lalu menyebabkan keletihan pada tubuh. 

    Oleh itu, jika anda kerap berasa letih atau cepat kehilangan tenaga tidak seperti biasa, ada kemungkinan ia juga merupakan salah satu tanda-tanda kencing manis jenis 2.

    #3. Kerap membuang air kecil

    Apabila gula dalam darah anda berada pada paras yang tinggi, ia juga akan memaksa buah pinggang untuk bekerja dengan lebih keras bagi memproses kandungan gula. 

    Apabila buah pinggang anda tidak lagi berkemampuan untuk memproses gula tersebut, ia akan dibuang daripada tubuh melalui air kencing anda. 

    Jika hal ini berlaku, ia bukan hanya menyingkirkan kandungan gula daripada tubuh, tetapi juga akan membuang segala cecair yang mungkin diperlukan oleh badan anda. 

    Oleh sebab itu, mereka yang menghidap diabetes jenis 2 berkemungkinan untuk kerap kencing selain mengalami dehidrasi. 

    Pada peringkat awal, anda mungkin tidak begitu perasan yang anda kerap membuang air kecil tidak seperti biasa. 

    Namun, ia merupakan salah satu tanda tanda kencing manis jika anda kerap terbangun pada waktu malam semata-mata untuk membuang air kecil.

    Ia bukan hanya mengeluarkan air kencing daripada tubuh badan anda, tetapi juga secara tidak langsung mengurangkan tenaga badan. 

    Jika anda kerap mengalami tanda tanda kencing manis seperti yang dinyatakan ini, anda mungkin sedang menghidap diabetes jenis 2 tanpa anda sedari.

    #4. Simptom kencing manis: Kehilangan berat badan

    Antara salah satu simptom kencing manis yang mungkin sedang dialami ialah kehilangan berat badan tanpa sebab yang jelas. 

    Bagi penghidap diabetes jenis 2, insulin yang tidak mencukupi atau tidak berfungsi dengan baik akan menghalang tubuh badan daripada menggunakan glukosa dalam darah. 

    Kemudiannya, sel tubuh tidak dapat memproses glukosa tersebut untuk dijadikan sebagai sumber tenaga bagi tubuh anda. Apabila ini berlaku, tubuh anda terpaksa mencari sumber tenaga yang lain selain daripada glukosa. 

    Tubuh badan anda akan mula membakar simpanan lemak yang ada selain otot untuk mendapatkan tenaga. Jika ini berlaku, berat badan anda akan mula menyusut tanpa disedari. 

    Selain itu, anda juga akan mengalami kehilangan berat badan disebabkan kerap membuang air kecil. 

    Anda akan kehilangan banyak kandungan air dan juga kalori daripada tubuh anda lalu menyebabkan penurunan berat badan. 

    Kehilangan berat badan tanpa sebab yang jelas lebih mudah dilihat dalam kalangan mereka yang mempunyai diabetes jenis 1. Namun, ia juga boleh berlaku kepada penghidap diabetes jenis 2. 

    #5. Mulut kering

    Sesiapa sahaja boleh mengalami kekeringan pada mulut disebabkan oleh beberapa faktor. Namun, kekeringan pada mulut merupakan antara simptom kencing manis yang paling kerap berlaku. 

    Paras gula darah yang tinggi akan menyebabkan anda kerap membuang air kecil. Apabila sering membuang air, badan anda akan kehilangan lebih banyak bendalir tubuh lalu menyebabkan dehidrasi. 

    Kesannya, mulut anda akan mula mengalami kekeringan selain kerap berasa dahaga. Jika anda perasan mulut atau bibir anda kering, ia mungkin petanda bahawa anda sedang mengalami diabetes jenis 2. 

    #6. Memiliki penglihatan yang kabur

    simptom kencing manis

    Lensa mata adalah sejenis membran yang digantung oleh otot yang mengubah bentuk lensa untuk memfokuskan mata. Jika anda memiliki diabetes jenis 2, kebolehan lensa mata ini untuk membengkok akan diubah. 

    Lensa mata anda tidak akan mengalami kerosakan, namun otot mata perlu untuk lebih bekerja keras supaya mata dapat fokus.

    Penglihatan yang kabur berlaku apabila ada perubahan yang mendadak pada paras gula darah sehingga menyebabkan otot mata anda tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak tersebut. 

    Ini merupakan antara salah satu simptom kencing manis yang mungkin boleh berlaku kepada anda. 

    Jika anda terus mempunyai paras gula darah yang tinggi, maka anda lebih berisiko untuk mengalami keadaan kesihatan yang lebih serius sehingga boleh menyebabkan kebutaan.

    #7. Kulit berasa gatal-gatal

    Individu yang mempunyai diabetes jenis 2 lebih cenderung untuk mengalami kegatalan pada kulit berbanding mereka yang tidak mempunyai diabetes. 

    Kulit yang mengalami kegatalan biasanya menunjukkan bahawa anda mengalami polineuropati diabetes

    Ia adalah satu keadaan yang berlaku apabila diabetes yang dihidapi mula merosakkan bahagian saraf tubuh. 

    Sesetengah masalah kulit yang berpunca daripada penyakit diabetes ini akan membuat kulit anda kerap berasa gatal. Jika anda mengalami kegatalan pada kulit, jangan sesekali mengabaikannya. 

    Ini kerana, jika anda kerap menggarunya, kulit anda akan bercalar bahkan terjadinya luka yang boleh menyebabkan kesakitan dan jangkitan bakteria.

    Individu penghidap diabetes sepatutnya perlu mengelak daripada mendapat sebarang jangkitan kerana sistem imun mereka sudah semakin lemah dan tidak begitu berupaya untuk melawan jangkitan tersebut. 

    Akibatnya, jangkitan luka akan menjadi lebih lambat untuk kembali sembuh seperti sediakala. 

    Simptom antara individu tidak sama

    Setiap individu tidak akan mengalami kesemua tanda tanda kencing manis jenis 2 seperti yang dinyatakan ini. 

    Perlu diingat, ada individu yang mengalami simptom yang berbeza dengan individu yang lain walaupun kedua-duanya menghidap diabetes jenis 2. 

    Ada juga individu yang mungkin mengalami beberapa simptom atau tanda yang tidak dinyatakan sebelum ini. Malah, ada juga penghidap diabetes yang mungkin tidak mengalami sebarang simptom sehinggalah mereka melakukan ujian darah. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan