Di seluruh pelosok dunia, terdapat pelbagai jenis minuman teh yang wujud sama ada yang berasaskan daun, bunga bahkan sejenis kulat seperti teh kombucha. Pernahkah anda dengar mengenai khasiat kombucha sebelum ini? Di Malaysia, ia juga dikenali sebagai teh cendawan Mekah.
Ingin tahu dengan lebih lanjut berkenaan teh ini? Sila baca artikel di bawah ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan teh kombucha?
Teh kombucha adalah minuman hasil penapaian larutan teh dengan gula yang kemudiannya ditambahkan lagi dengan kehadiran beberapa jenis mikrob iaitu bakteria Acetobacter xylinum dan ragi, Saccharomyces cerevisiae, Zygosaccharomyces bailii, dan Candida sp.
Hasil daripada proses penapaian tersebut, teh yang dihasilkan ini mengandungi beberapa zat seperti asid asetat, folat, asid amino penting, vitamin B, vitamin C dan juga alkohol.
Artikel berkaitan:
Ramai juga yang menyebut teh ini sebagai teh cendawan kerana kulat atau cendawan di dalamnya dibiarkan tumbuh terlebih dahulu dalam proses penghasilannya.
Waktu yang diperlukan bagi menapai teh ini adalah sekitar 8 hingga 12 hari pada suhu antara 18 hingga 2 darjah Celcius. Jika suhu persekitaran semakin tinggi, maka proses penapaian akan menjadi lebih pantas.
Tempoh penapaian akan mempengaruhi kualiti, kandungan dan rasa teh yang dihasilkan.
Setiap 400 ml teh ini pula mengandungi jumlah tenaga sebanyak 60 kalori.
Khasiat kombucha yang anda pasti ingin tahu
Ada pelbagai pendapat menyatakan teh cendawan Mekah ini mempunyai pelbagai manfaat.
Antara khasiat kombucha – untuk kebaikan pencernaan tubuh, merendahkan risiko aterosklerosis selain membantu mengeluarkan racun daripada tubuh.
Sebahagian besar khasiat kombucha yang dinyatakan ini adalah hasil daripada kajian yang telah dilakukan kepada haiwan.
Hasil kajian tersebut turut memperlihatkan teh ini mempunyai pelbagai khasiat lain seperti antioksidan, antibakteria, memperbaiki mikroflora usus dan juga meningkatkan ketahanan tubuh serta menurunkan tekanan darah.
Beberapa kumpulan yang meminum teh cendawan Mekah secara kerap mengakui minuman ini mempunyai beberapa kesan baik terhadap kesihatan tubuh.
Antara khasiat yang diperkatakan adalah dapat meningkatkan sistem pertahanan tubuh, mencegah kanser selain meningkatkan fungsi sistem pencernaan dan juga hati.
Teh ini juga mempunyai kandungan bakteria probiotik yang merupakan sejenis bakteria baik yang berperanan meningkatkan pertahanan tubuh.
[embed-health-tool-bmi]
Memang ada manfaat, tapi ada juga kesan negatif teh kombucha
Walaupun ramai yang mengatakan mengenai manfaat dan khasiat kombucha, namun pengambilan minuman ini juga boleh memberikan beberapa kesan negatif kepada tubuh.
Ini termasuklah rasa sakit perut setelah meminumnya, berlakunya jangkitan dan juga alahan pada tubuh.
Artikel berkaitan:
Bakteria yang terdapat dalam teh ini dapat menyebabkan jangkitan pada individu yang mempunyai sistem imun yang rendah.
Bagi individu yang sihat pula, pengambilan teh ini boleh menyebabkan sakit perut, jangkitan akibat bakteria yang ada dalam teh tersebut, alahan, permukaan kulit yang menjadi kuning, mual, muntah-muntah dan juga sakit kepala.
Terdapat satu laporan yang pernah diterbitkan sebelum ini berkenaan 20 orang yang mendapat penyakit anthrax setelah meminum teh cendawan Mekah ini.
Tambahan lagi, pada tahun 1995, Center for Disease Control (CDC) membuat satu pernyataan, teh ini adalah penyebab kepada asidosis metabolik yang berlaku kepada kumpulan peminum di Iran.
Asidosis metabolik adalah keadaan darah mempunyai terlalu banyak asid. Ini disebabkan oleh pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan asid seperti teh kombucha.
Bagi individu yang mempunyai penyakit tertentu seperti diabetes dan sindrom iritasi usus, pengambilan teh ini perlulah diperhatikan dan dikawal.
Bagi penghidap diabetes, pengambilan minuman seperti ini boleh mempengaruhi gula darah sehingga boleh menyebabkan penurunan kadar gula darah dalam tubuh (hipoglisemia).
Artikel berkaitan:
- Hipoglisemia Diabetes
- Jangan Ambil Mudah Jika Bacaan Gula Dalam Darah Terlalu Tinggi Atau Terlalu Rendah
Bagi individu yang sedang mengalami cirit-birit atau mempunyai irritable bowel syndrome, teh ini tidak sesuai untuk diminum memandangkan ia mempunyai kandungan kafein yang cukup tinggi yang boleh memperburukkan lagi gejala yang sedang berlaku.
Bagaimana untuk meminum teh kombucha dengan selamat?
Walaupun terdapat pendapat yang menyatakan mengenai khasiat kombucha pada tubuh, kebersihan dan kualiti teh masih perlu dijaga agar ia tidak memberikan kesan yang buruk kepada diri anda seperti keracunan atau jangkitan daripada bakteria.
Pastikan teh cendawan Mekah menjalani proses pempasteuran atau pemanasan terlebih dahulu bagi menyingkirkan bakteria jahat yang terkandung dalam teh tersebut.
Selain itu, masih banyak kajian ilmiah diperlukan bagi membuktikan khasiat kombucha dan manfaat meminumnya pada tubuh.