Siapa yang suka makan buah laici? Tahukah anda, ada banyak khasiat buah laici terhadap kesihatan?
Laici bukan hanya sedap dimakan begitu sahaja, malahan ia juga merupakan sejenis buah yang versatil dan boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Anda boleh campur laici di dalam teh, jadikannya pencuci mulut atau kisar sebagai jus!
Menurut laman sesawang USDA, laici mengandungi pelbagai jenis nutrisi penting untuk badan seperti vitamin C, vitamin B niasin, riboflavin, folat, kuprum, potassium, fosforus, magnesium dan mangan. Malah, ia juga merupakan sumber serat yang bagus untuk kesihatan perut.
Bukan itu sahaja, buah kegemaran ramai ini juga mempunyai banyak lagi manfaat terhadap kesihatan. Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut, mari ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Fakta nutrisi buah laici
Secara amnya, laici terdiri daripada air dan juga karbohidrat. 100 gram laici segar mengandungi banyak nutrisi, antaranya:
- Kalori: 66 gram
- Protein: 0.8 gram
- Karbohidrat: 16.5 gram
- Gula: 15.2 gram
- Serat: 1.3 gram
- Lemak: 0.4 gram
[embed-health-tool-bmr]
Malah, laici juga kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral. Antaranya:
- Vitamin C. Laici sangat kaya dengan vitamin C. Sebiji laici mengandungi hampir 9% keperluan vitamin C harian manusia.
- Tembaga (kuprum). Individu yang tidak mendapat kuprum yang mencukupi melalui diet harian lebih berisiko mengalami penyakit jantung.
- Potasium (kalium). Nutrien ini amat penting terhadap kesihatan jantung.
Baca juga:
- Selalu Penat Dan Kejang Kaki? Ini Antara 8 Simptom Anda Kekurangan Kalium Dalam Badan!
- Ini 6 Makanan Kaya Vitamin C Agar Kulit Cantik Persis Artis Korea!
5 khasiat buah laici untuk kesihatan
Laici sangat terkenal dengan keupayaannya untuk mencerahkan kulit dan membuatkan rona wajah lebih sekata. Walau bagaimanapun, buah ini mempunyai banyak lagi manfaat lain, antaranya adalah dapat merawat masalah pencernaan, peredaran darah dan banyak lagi.
Sebagai penggemar laici, pasti anda ingin tahu mengenai kebaikannya terhadap kesihatan. Di bawah, kami senaraikan beberapa kebaikan buah ini untuk rujukan anda.
1. Baik untuk sistem pencernaan
Laici mengandungi banyak serat, sama seperti buah-buahan dan sayur-sayuran lain. Serat merupakan satu komponen yang amat penting untuk kesihatan perut anda. Ia dapat memudahkan pergerakan tinja dan mengurangkan kesakitan semasa membuang air besar.
Bukan itu sahaja, menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Functional Foods, laici juga dapat mengurangkan masalah perut buncit! Jadi, jika anda di luar sana yang inginkan perut yang lebih ramping, cuba tambahkan laici dalam diet seharian!
2. Dapat menguatkan sistem imun badan
Satu hidangan laici mengandungi lebih 100% daripada keperluan vitamin C harian badan. Seperti ramai yang sudah sedia maklum, vitamin C amat penting untuk sistem imun badan kita.
Malah, vitamin C juga dapat merangsang aktiviti sel darah putih, barisan pertahanan utama badan daripada sebarang penyakit dan membuatkannya berfungsi dengan lebih baik.
3. Dapat mengawal tekanan darah
Laici kaya dengan potassium, sejenis garam yang dapat membantu badan mengekalkan keseimbangan cecair badan. Keseimbangan cecair badan bukan sahaja penting untuk memastikan fungsi metabolik berjalan dengan lancar, ia juga mempunyai fungsi tersendiri dalam mengawal tekanan darah.
Malah, laici juga dikatakan mempunyai peranan sebagai vasodilator, sejenis bahan yang dapat membuka semula saluran darah. Ia dapat mengurangkan penyempitan saluran darah dan mengurangkan stres pada sistem kardiovaskular.
Jika anda ingin mengambil laici sebagai satu langkah untuk menurunkan tekanan darah, cubalah laici kering! Laici kering mengandungi 3 kali ganda potassium berbanding laici segar.
[embed-health-tool-heart-rate]
4. Buah laici mungkin mempunyai sifat antikanser
Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh National Key Laboratory of Biotherapy, China, laici mengandungi bahan polifenolik yang mampu melawan kanser hati. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk menyokong dapatan ini.
Namun, laici mengandungi banyak komponen organik yang sangat bermanfaat untuk kesihatan. Oleh sebab itu, pengambilannya sangat efektif untuk melawan pelbagai jenis kanser.
5. Mungkin dapat meningkatkan fungsi kognitif
Menurut kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Nutrients, laici mengandungi banyak bahan yang bermanfaat untuk kesihatan saraf. Malah, khasiat laici juga dikatakan dapat mengurangkan risiko kerosakan saraf.
Malah, kajian yang dilakukan ke atas tikus makmal ini juga mendapati bahawa komponen dalam laici dapat mengurangkan kerosakan saraf disebabkan penyakit Alzhemier.
Kini anda sudah tahu khasiat buah laici, jadi sesekali masukkan laici dalam diet anda, ya!