backup og meta

Hidup Dengan Kanser Hati: Dari Sudut Emosi, Fizikal & Sosial Yang Harus Anda Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/04/2021

    Hidup Dengan Kanser Hati: Dari Sudut Emosi, Fizikal & Sosial Yang Harus Anda Tahu

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Hati, sila dapatkannya di sini.

    Bukan mudah untuk kita atau orang tersayang terima diagnosis kanser hati.

    Berita berkaitan dengan diagnosis kanser boleh mempengaruhi pelbagai aspek dalam kehidupan termasuklah fizikal, emosi dan mental.

    Sukar untuk kita merancang masa hadapan sesudah menerima diagnosis sedemikian.

    Oleh itu, penting untuk kita berbicara mengenai cara untuk mengatasi masalah yang bakal dihadapi oleh penerima kanser.

    Strategi awal boleh membantu menguruskan rutin harian anda atau orang yang tersayang semasa dalam proses adaptasi selepas menerima diagnosis kanser hati.

    Hidup Dengan kanser hati – Ini yang anda akan lalui 

    Hidup dengan kanser – Aspek emosi

    Emosi merupakan aspek terawal yang bakal mengalami perubahan selepas menerima diagnosis kanser.

    Takut, gementar, marah, sedih, rasa tidak terdaya dan kecewa, semuanya bercampur aduk menyukarkan mereka yang mengalaminya untuk kekal relevan.

    Kanser bukan sahaja penyakit, ia merupakan faktor perubahan major pada pesakit didiagnosis dengannya.

    Bayangkan, anda bukan sahaja dalam usaha untuk memahami berkenaan dengan penyakit yang dihidapi dan prospek yang hadir bersamanya, malah anda juga dalam keadaan beremosi dan sukar untuk menjalani kehidupan seperti sedia kala.

    Ada yang menganggap kehidupan mereka tidak lagi sama selepas disahkan dengan kanser hati.

    Oleh sebab itulah, pada waktu ini, sokongan sosial merupakan aspek terpenting dalam mengharungi cabaran selepas didiagnosis.

    Lazimnya, masalah emosi turut dialami oleh pasangan memandangkan mereka perlu membuat perubahan major pada corak kehidupan harian mereka.

    Justeru, pesakit dan pasangan/penjaga mudah untuk mendapat masalah mental yang boleh merundumkan lagi kualiti hidup.

    Kebanyakan pesakit disokong oleh keluarga mereka sendiri. Walau bagaimanapun, ada juga yang mendapat sokongan daripada doktor dan jururawat.

    Apa yang menjadi kebimbangan adalah kecenderungan untuk pesakit kanser terlebih fikir sehingga menimbulkan kerisauan yang berlebihan.

    Keadaan ini boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah tidur, makan, memberikan tumpuan dan sebagainya.

    Pada waktu itu, anda perlu meluahkan segala rasa atau kebimbangan yang terbuku di hati kepada pasangan atau penjaga anda.

    Keadaan boleh menjadi lebih teruk sekiranya anda mula:

    1. Panik atau sedih sehingga tidak patuh dengan pelan rawatan
    2. Rasa berputus asa atau seperti tiada harapan lagi
    3. Cepat marah dan beremosi
    4. Rasa tidak berguna dan timbul idea bunuh diri

    Walau bagaimanapun, usah risau berikutan ada terapi dan rawatan ubat atau tanpa ubat untuk mengatasi masalah ini.

    Hidup dengan kanser – Aspek Fizikal

    Bukan semua individu mengalami simptom kanser hati.

    Namun begitu, tidak dinafikan, rawatan kanser boleh memberikan kesan fizikal sehingga mampu mempengaruhi kesanggupan untuk melawan kanser.

    Antaranya adalah seperti berikut.

    Sakit akibat simptom atau rawatan kanser hati

    Isu utama berkaitan dengan aspek fizikal bagi penghidap kanser adalah sakit.

    Rasa sakit tersebut boleh dialami akibat daripada simptom ataupun rawatan yang diambil.

    Keadaan ini boleh menyusutkan semangat juang bagi melawan kanser sehingga boleh meningkatkan kecenderungan untuk berputus asa.

    Bayangkan jika anda mengalami sakit perut kronik sehingga menjejaskan keupayaan anda untuk melakukan aktiviti harian atau bersosial.

    Apa yang lebih parah lagi, anda perlu berhati-hati dalam memilih ubat tahan sakit untuk diambil. Lebih baik ambil jika dipreskripkan oleh doktor.

    Hal ini disebabkan oleh kebanyakan ubat tahan sakit dikumuhkan di organ hati.

    Ia boleh menyebabkan kerosakan hati menjadi bertambah teruk.

    Jika kesakitan tersebut kronik dan serius sehingga menghalang anda daripada melakukan aktiviti rutin, jadi rujuk pada doktor yang merawat anda.

    Kelesuan yang berpanjangan

    hidup dengan kanser

    Kelesuan yang dialami boleh berlaku disebabkan oleh simptom kanser hati itu sendiri ataupun ia terjadi akibat kesan sampingan rawatan.

    Jika ia mengganggu aktiviti harian anda, perubahan pada strategi melawan kelesuan kanser perlu dibuat.

    Sebagai contoh, anda mungkin perlu mengubah corak tidur anda sepanjang hari. 

    Ambil peluang untuk tidur sekejap pada waktu tengah hari atau petang sekiranya penat.

    Jika anda merupakan pasangan kepada penghidap kanser, tolong uruskan urusan harian pasangan bagi mengurangkan beban fizikal mereka.

    Ini sedikit sebanyak boleh membantu mengatasi masalah penat kronik yang lazim dialami oleh pesakit kanser.

    Selain daripada itu, pengambilan makanan berkhasiat dan senaman secara berkala juga boleh membantu melawan kelesuan kanser.

    Pastikan anda rujuk kepada doktor atau pakar pemakanan bagi mendapatkan maklumat berkenaan dengan perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat.

    Kesan sampingan rawatan

    Anda perlu memahami maklumat dan kesan sampingan bagi setiap rawatan yang akan diterima kelak. Ia boleh membantu anda untuk membuat perubahan pada corak aktiviti harian. 

    Lazimnya, mereka yang menjalani prosedur pemindahan hati ataupun pembuangan kanser mudah untuk berasa letih.

    Walau bagaimanapun, masalah tersebut akan beransur-ansur pulih setelah anda mencapai kesembuhan penuh.

    Anda perlu patuh kepada arahan doktor dan ambil perhatian sekiranya mula mengalami kesan sampingan serius.

    Antara simptom yang perlu dipantau selepas menerima rawatan adalah:

    1. Demam
    2. Kemerah-merahan atau keluar bendalir daripada luka bedah
    3. Wujud gejala kegagalan hati seperti jaundis

    Jika anda faham akan kesan sampingan yang dialami, anda boleh mencari alternatif bagi meredakan kesan tersebut.

    Sebagai contoh, terdapat ubat kanser yang boleh menyebabkan kulit mengelupas pada tangan dan kaki.

    Dalam situasi ini, anda boleh menyapu pelembap sebelum dan selepas rawatan diberikan.

    Jika anda ingin mengambil ubat bagi kesan sampingan seperti demam, pastikan anda mendapatkan pengesahan daripada doktor terlebih dahulu.

    Hidup dengan kanser – Aspek sosial

    Walaupun sesiapa sahaja boleh memberikan sokongan kepada pesakit kanser, namun mereka lebih selesa dan mudah percaya kepada nasihat daripada pesakit yang berjaya melawan kanser. Ia merupakan inspirasi untuk terus kuat berjuang melawan kanser.

    Oleh itu, ada kebaikan bagi mereka yang baru sahaja didiagnosis dengan kanser hati untuk berjumpa dan meminta pandangan daripada pesakit yang sedang atau berjaya melawan kanser.

    Didiagnosis dengan kanser tidak bermakna anda tidak boleh menjalin hubungan sosial seperti orang lain.

    Anda boleh keluar berdua-duaan dengan pasangan atau dengan rakan-rakan.

    Aspek sosial penting kerana ia boleh mempengaruhi tahap kesihatan mental penghidap kanser hati.

    Aspek Praktikal

    Oleh sebab kanser kebiasaannya didiagnosis lewat, sukar bagi mereka yang terlibat untuk membuat keputusan berkaitan dengan pelan penjagaan kanser yang bakal diterima.

    Masalah ini kebiasaannya berpunca daripada ketidakstabilan emosi dan kekurangan maklumat berkenaan dengan kanser yang dihidapi.

    Oleh sebab itu, jika anda memerlukan masa, jangan takut atau malu untuk minta penangguhan sesi daripada doktor anda.

    Di masa akan datang, anda perlu menyerap masuk maklumat berkaitan dengan kanser tersebut sebanyak yang mungkin.

    Jangan malu untuk bertanya terutamanya apabila ia berkaitan dengan kebaikan dan kesan sampingan rawatan yang akan diterima.

    Perkara ini penting memandangkan anda akan memberikan komitmen jangka masa panjang bagi mencapai kesembuhan optimum.

    Rawatan susulan dan janji temu dengan doktor perlu dipatuhi agar tahap kesihatan anda dapat dipantau.

    Jaga diri dengan sebaiknya

    Anda perlu mengamalkan gaya hidup sihat bagi meningkatkan peluang untuk berjaya melawan kanser.

    Ia boleh dicapai melalui 3 perkara iaitu:

    1. Luangkan masa lapang. Stres merupakan faktor utama yang perlu anda elak sepanjang tempoh melawan kanser. Oleh itu, jika anda bekerja, pastikan anda mendapatkan masa yang cukup untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat. 
    2. Senaman penting bagi mengekalkan tahap kesihatan optimum. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan sekurang-kurangnya 150 minit sukan berintensiti sederhana seperti joging seminggu. Ia juga bagus untuk melawan kelesuan kanser yang anda alami. 
    3. Ambil makanan berkhasiat. Kurangkan daripada membeli makanan luar dan belajar memasak. Penting bagi anda untuk mengetahui apa yang dimakan memandangkan ia boleh memberikan impak kesihatan dan kualiti hidup semasa melawan kanser. 
    4. Jangan malu untuk meminta pertolongan Keperluan pesakit kanser perlu diberikan perhatian memandangkan ia boleh mempengaruhi tahap kepatuhan mereka terhadap pelan penjagaan kanser masing-masing.

    Pasangan atau penjaga boleh bantu untuk:

    1. Menguruskan hal atau dokumen berkaitan dengan syarikat insurans tertentu bagi kos rawatan.
    2. Memastikan pesakit hadir dan mematuhi setiap janji temu hospital.
    3. Ambil atau beli ubat dengan preskripsi daripada farmasi. 
    4. Lapor kepada doktor sekiranya pesakit mengalami kesan sampingan teruk semasa menjalani rawatan.
    5. Uruskan isu yang boleh menghalang pesakit daripada menerima rawatan (masalah logistik dan sebagainya).

    Pastikan anda fleksibel dengan pasangan

    Hakikat yang perlu ditelan oleh pesakit kanser adalah pasangan turut merasai kepenatan fizikal, keruntunan emosi dan isolasi sosial kesan daripada pelan penjagaan yang perlu diuruskan oleh mereka.

    Walaupun ia mungkin tidak sehebat pesakit kanser, mereka tetap bergelut dengan perubahan major.

    Seperti mereka yang menerima pertolongan, tidak salah jika anda menjadi lebih fleksibel dan memahami mereka jika keadaan berlaku tidak seperti yang dijangka.

    Sematkan di dalam minda anda, kanser bukanlah satu bentuk hukuman yang menyebabkan anda dan pasangan terseksa.

    Ia hanyalah ujian yang boleh diuruskan sekiranya anda lebih fleksibel kepada perubahan.

    Konklusi

    Bukan mudah untuk mengharungi hidup sebagai pesakit kanser. Pelbagai jenis perubahan perlu dilakukan bagi menghadapi detik ini dalam kehidupan.

    Walau bagaimanapun, dengan memberikan perhatian kepada kebajikan diri anda dan pasangan, walau sesukar mana pun keadaan, ia masih boleh diuruskan dengan baik.

    Penting bagi setiap penghidap kanser untuk memahami penyakit mereka dengan lebih dalam, mengetahui maklumat perihal rawatan dan menguruskan stres agar kualiti hidup dapat ditingkatkan.

    Sekiranya anda tertekan dengan diagnosis kanser, jangan lupa untuk suarakan kepada doktor anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan