backup og meta

'Terkucil' Tanpa Sempat Ke Tandas? Ini Mungkin Sebab Gangguan Sistem Saraf!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/09/2021

    'Terkucil' Tanpa Sempat Ke Tandas? Ini Mungkin Sebab Gangguan Sistem Saraf!

    Keinginan kita untuk membuang air kecil adalah satu tindakan secara tidak sengaja. Kekejangan pundi kencing akan menyebabkan kita kerap membuang air kecil. Namun, adakah gangguan sistem saraf boleh menyebabkan kekejangan pundi kencing berlaku?

    Kekejangan pundi kencing, rasa ingin buang air kecil dengan kerap

    Kekejangan pundi kencing berlaku apabila otot pundi kencing anda menguncup atau menjadi ketat.

    Sekiranya pengecutan ini berterusan, ia membuatkan anda berasa ingin kencing.

    Kekejangan pundi kencing juga memberi makna yang sama dengan pundi kencing yang terlalu aktif (OAB).

    OAB dicirikan oleh keperluan mendesak untuk mengosongkan pundi kencing anda. Selain itu, kebocoran air kencing juga berlaku secara tidak sengaja.

    Pundi kencing yang kejang adalah simptom, manakala OAB pula biasanya adalah satu keadaan kesihatan.

    Kekejangan ini juga boleh menjadi gejala bagi sesuatu jangkitan.

    Jangkitan saluran kencing (UTI) adalah jangkitan sementara yang boleh menyebabkan rasa terbakar, rasa ingin kencing, kekejangan, dan juga rasa sakit. 

    Apa yang dirasakan ketika berlakunya kekejangan pundi kencing?

    Bagi individu normal, pundi kencing akan dipenuhi dengan air kencing dan kita secara perlahan-lahan akan berasa ingin membuang air kecil.

    Namun, bagi individu yang mengalami kekejangan pundi kencing, keinginan untuk membuang air berlaku secara tiba-tiba dan ia kerap berlaku dengan teruk.

    Pundi kencing kejang, atau “pengecutan detrusor,” berlaku apabila otot pundi kencing mengembang secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat.

    Ia kemudiannya menyebabkan seseorang itu berasa ingin mengeluarkan air kencing.

    Kekejangan yang berlaku juga boleh memaksa air kencing keluar dengan sendiri tanpa dapat dikawal.

    Apabila ini berlaku, keadaan ini disebut sebagai pundi kencing yang terlalu aktif.

    Individu yang mengalami kekejangan ini akan berasa kejang pada bahagian kemaluannya dan kadangkala rasa seperti terbakar. 

    Apakah punca berlakunya kekejangan pundi kencing?

    kekejangan pundi kencing

    Kekejangan pundi kencing lebih kerap berlaku apabila seseorang itu semakin tua. Namun, ia bukanlah masalah atau gangguan yang mesti berlaku kepada mereka yang telah berusia.

    Kekejangan yang berlaku sering menunjukkan keadaan kesihatan lain yang dialami.

    Jika ia tidak dirawat, ia akan menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

    Kekejangan pundi kencing boleh disebabkan oleh beberapa perkara seperti:

    • Jangkitan saluran kencing
    • Pundi kencing terlalu aktif
    • Sembelit
    • Minum terlalu banyak kafein atau alkohol
    • Kesan ubat-ubatan tertentu
    • Diabetes
    • Fungsi buah pinggang terjejas
    • Batu karang
    • Prostat yang membesar
    • Gangguan neurologi atau gangguan sistem saraf 
    • Kerengsaan daripada kateter kencing

    Bolehkah gangguan sistem saraf menyebabkan pundi kencing menjadi kejang?

    Ya, sememangnya boleh. Perasaan ingin membuang air kecil biasanya merupakan tindak balas yang tidak disengajakan.

    Otak memberi isyarat kepada otot pundi kencing apabila tiba masanya untuk menguncup dan mengeluarkan air kencing.

    Walau bagaimanapun, gangguan sistem saraf tertentu boleh menyebabkan kerosakan pada saraf yang menghantar isyarat antara otak dan pundi kencing.

    Apabila perkara ini berlaku, pundi kencing tidak dapat berfungsi dengan baik.

    Gangguan sistem saraf dan kecederaan yang boleh menyebabkan kekejangan pundi kencing termasuklah:

    • Tumor otak
    • Cerebral palsy
    • Jangkitan herpes zoster 
    • Sklerosis berbilang
    • Penyakit Parkinson
    • Atrofi pelbagai sistem (sindrom Shy-Drager)
    • Kecederaan saraf tunjang
    • Strok yang telah menyebabkan kerosakan otak
    • Neuropati diabetes (apabila saraf menjadi rosak disebabkan diabetes yang berpanjangan)

    Apakah kaedah rawatan yang boleh digunakan bagi masalah pundi kencing yang kejang?

    gangguan sistem saraf

    Antara kaedah yang boleh digunakan ialah senaman. Anda boleh mencuba melakukan senaman Kegel bagi mengurangkan masalah pundi kencing yang kejang.

    Selain itu, anda juga perlu melakukan perubahan gaya hidup dalam kehidupan anda.

    Tukar kaedah pengambilan makanan dan minuman anda berdasarkan cadangan doktor.

    Anda juga boleh menyemak sekiranya terdapat jenis makanan yang menyebabkan pundi kencing menjadi kejang.

    Antara jenis makanan yang boleh menyebabkan pundi kencing kejang ialah seperti:

    • Buah-buahan sitrus
    • Jus buah
    • Buah tomato
    • Makanan pedas
    • Gula dan gula buatan
    • Coklat
    • Minuman berkarbonat
    • Teh

    Selain itu, doktor juga mungkin akan memberikan beberapa jenis ubat-ubatan seperti ubat antispasmodik (e.g: tolterodine) dan antidepresan trisiklik, seperti desipramine.

    Kesimpulan 

    Jika anda kerap mengalami masalah pundi kencing yang terlalu aktif, atau rasa ingin kencing yang selalu berlaku secara tiba-tiba, segeralah berjumpa dengan doktor.

    Ini kerana ia mungkin simptom anda mengalami pundi kencing yang kejang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan