Persediaan Bersalin untuk Kelahiran Normal dan C-Section

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mengimbau Kehamilan Yang Dikecapi

Kandungan yang dibawa dengan penuh kasih sayang selama ini, kini semakin hampir dengan tempoh dilahirkan. Tentunya, kedua-dua pasangan teruja menantikan saat indah tersebut, tekun membuat persiapan rapi dan persediaan bersalin. Sambil menghitung hari, pelbagai perkara bermain dalam ruang fikiran. Melihat kembali kehamilan yang telah dikecapi, tentunya membawa seribu satu perasaan dan kenangan yang mampu menyebabkan anda menangis. Saat mula mengetahui diri sendiri sedang berbadan dua tentunya cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja untuk anda atau pasangan anda, bahkan untuk ahli keluarga terdekat yang lain. Ianya pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya kehamilan dan zuriat yang bakal dilahirkan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan diusahakan sekian lama, khususnya jika anda dan pasangan anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata. Ianya satu nikmat tuhan yang perlu disyukuri, bahkan satu keajaiban bagi anda dan pasangan khususnya jika anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan atau penyakit-penyakit tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah. Namun perlu diingati bahawa masalah kesuburan juga boleh disebabkan oleh pasangan lelaki juga.

Sambil melayan kegembiraan yang kian terserlah, timbul pula soalan-soalan berkaitan proses bersalin yang bakal tiba. Adakah anda telah membuat persediaan bersalin yang mencukupi? Adakah anda sudah bersedia dari sudut mental dan fizikal untuk melalu fasa bersalin? Tidak dinafikan bahawa terdapat kebanyakan perkara berkaitan kelancaran proses kelahiran bergantung kepada penjagaan di hospital oleh doktor dan juga jururawat. Namun, terdapat juga beberapa perkara dan persediaan bersalin yang boleh anda lakukan bagi membantu melancarkan urusan tersebut. Berikut merupakan persediaan bersalin untuk kelahiran normal dan juga kelahiran melalui C-section. Secara umum, tidak banyak perbezaan daripada sudut persediaan bersalin untuk kedua-dua kaedah bersalin. Malah, walaupun pasangan telah merancang untuk bersalin melalui C-section, terdapat juga kemungkinan untuk kelahiran pramatang untuk berlaku yang menyebabkan penyediaan untuk pembedahan tidak sempat dilakukan. Sekiranya semuanya berjalan lancar, ada beberapa perkara khusus yang mungkin anda ingin berikan perhatian yang lebih untuk kelahiran C-section.

Persediaan bersalin

Mengenali Tanda-Tanda Bersalin

Ini merupakan salah satu pengetahuan penting yang perlu ada, sebahagian daripada ilmu persediaan bersalin untuk memastikan anda tidak melengahkan proses penting berkaitan dengan kelahiran zuriat anda. Setelah anda memasuki tempoh trimester ketiga, semestinya anda sudah mula merasa gemuruh, mula menghitung hari. Namun yang demikian, bukan semua wanita mengandung akan mengecapi tempoh 40 minggu kehamilan. Justeru, perkara sebenar yang perlu anda peka kepada adalah tanda bersalin. Perlu diingati, ada wanita hamil yang mengalami tanda bersalin sebelum minggu ke-40 dan ada juga yang lebih awal iaitu dalam kalangan ibu yang melahirkan bayi pramatang. Secara amnya, tiada perbezaan yang ketara antara tanda bersalin untuk kehamilan pramatang dengan tanda bersalin untuk kandungan yang cukup bulan.

Berikut merupakan tanda bersalin yang perlu anda ambil tahu:

  1. Rasa sakit belakang, selalunya pada bahagian bawah belakang (pinggang). Tanda bersalin ini mungkin berlaku sekejap-sekejap atau berterusan, tetapi ia tidak akan lega sehingga anda menukar posisi atau melakukan sesuatu yang menyelesakan anda.
  2. Kontraksi setiap 10 minit atau lebih kerap. Tanda bersalin ini berlaku akibat rahim anda yang mengeras kemudiannya regang secara berselang-seli. Untuk sesetengah wanita, mereka akan memperincikan rasa sakit tanda bersalin ini (kontraksi) mirip sakit akibat datang bulan versi yang lebih teruk.
  3. Kejang pada bawah abdomen atau seperti sakit senggugut. Rasa sakit untuk tanda bersalin ini persis rasa sakit angin yang boleh berlaku akibat cirit-birit.
  4. Keluar cecair dari faraj (pecahnya air ketuban).
  5. Rasa ingin ke tandas atau kerap ke tandas untuk membuang air besar (kesan tekanan kepala bayi pada bahagian usus).
  6. Simptom seperti flu, contohnya loya, muntah, atau cirit-birit. Hubungi doktor anda walaupun anda mengalami kes ringan. Jika simptom berlanjutan selama lebih 8 jam, anda mesti berjumpa dengan doktor.
  7. Tekanan dalam pelvis atau faraj meningkat.
  8. Pengeluaran lendir faraj meningkat.
  9. Pendarahan faraj, termasuklah pendarahan ringan.

Ketahui peringkat kelahiran

Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walau bagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:

  1. Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
  2. Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.  
  3. Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.

Persediaan untuk mengurangkan risiko koyakan perineum darjah tinggi

Amalkan diet yang sihat demi memastikan bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk tisu kulit anda menjadi kuat dan fleksibel. Bersenam secara konsisten untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa waktu untuk meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki. Si ibu juga harus belajar teknik pernafasan untuk mencegah tekanan semasa bersalin. Adalah penting untuk mengekalkan berat yang sihat sebelum dan semasa hamil kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.

Ibu hamil disyorkan untuk cuba melakukan urutan perineum (kawasan faraj/vagina hingga dubur) sekali atau dua kali sehari dari minggu ke-34 kehamilan dan seterusnya. Cara paling berkesan adalah dengan menggunakan pelincir kulit seperti minyak mineral, vitamin E atau minyak kelapa. Urutan perineum adalah cara yang cepat dan mudah untuk meningkatkan fleksibiliti lantai pinggul anda. Dengan itu, anda dapat mengurangkan risiko berlaku koyakan teruk.

Bergerak

Kerap lakukan aktiviti fizikal ringan seperti berjalan untuk memudahkan anda bersalin. Jika larat, anda juga boleh lakukan aktiviti naik turun tangga, namun berhati-hatilah semasa melakukan pergerakan ini.

Uruskan bulu ari-ari anda

Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama. Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran. Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin. Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.

Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi

Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi. Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin. Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda. Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:

  1. Tanda-tanda kelahiran
  2. Progres kelahiran yang normal
  3. Teknik menghadapi kesakitan
  4. Bagaimana pasangan anda boleh membantu
  5. Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat

Mengenal Pasti Komplikasi Bersalin yang Boleh Berlaku

Proses bersalin bukanlah tanpa sebarang komplikasi. Oleh yang demikian, pesakit yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi akan diberikan perhatian yang lebih ketika mereka bersalin di hospital. Berikut adalah antara komplikasi yang boleh berlaku ketika bersalin yang anda perlu tahu sebagai sebahagian daripada persediaan bersalin anda.

Bahu bayi tersekat – Ianya adalah salah satu komplikasi cukup digeruni ketika proses kelahiran (labour) berlangsung. Apa yang lebih merisaukan adalah ianya merupakan komplikasi yang tidak boleh diduga, justeru tidak boleh dibendung. Definisi keadaan ini adalah apabila pergerakan-pergerakan tambahan diperlukan (berbanding pergerakan biasa) untuk mengeluarkan bahu bayi tersebut. Ini terjadi apabila bahu bayi tersebut tersangkut pada simfisis pubis ibu atau bahagian unjuran/promontori sacrum. Lazimnya, satu tanda yang diperhatikan berlaku apabila insiden bahu tersekat ini terjadi dan tanda tersebut disebut sebagai ‘turtle sign’, merujuk kepada keadaan kepala bayi yang, apabila sudah terkeluar sedikit, ianya termasuk semula ke dalam, seolah-olah melekat pada perineum si ibu. Keterjadian bahu bayi tersekat ini membawa komplikasi lain yang tidak terhad untuk ibu sahaja, bahkan untuk bayi tersebut. Untuk bayi yang ingin dilahirkan, komplikasi yang mungkin berlaku, dan cukup digeruni adalah kecederaan brachial plexus dan juga kecederaan hipoksisk-iskemik otak. Bagi si ibu pula, komplikasi yang berupaya untuk berlaku adalah pendarahan selepas bersalin (post-partum haemorrhage), luka melecet pada dinding faraj, kekoyakan perineum dan juga kekoyakan rahim (uterine rupture).

Bahagian muncul bayi yang tidak normal (Malpresentation) – Komplikasi ini merujuk kepada bahagian pertama yang muncul atau keluar daripada faraj si ibu. Posisi normal bayi apabila semakin hampir untuk keluar daripada pangkal rahim adalah posisi di mana kepala mereka akan berada di bahagian bawah rahim (paling dekat dengan faraj), dagu bertemu dada, dan punggung dan kaki mereka berada di bahagian atas (menunjuk ke arah dada ibu), bersedia untuk masuk ke dalam bahagian pelvis. posisi di mana kepala mereka akan berada di bahagian bawah rahim (paling dekat dengan faraj), dagu bertemu dada, dan punggung dan kaki mereka berada di bahagian atas (menunjuk ke arah dada ibu), bersedia untuk masuk ke dalam bahagian pelvis. Namun yang demikian, sesetengah bayi tidak berada dalam posisi ini ketika dalam proses kelahiran (labour). Sebaliknya, mereka boleh berada dalam posisi di mana punggung atau kaki mereka yang masuk menuju ke dalam pelvis yang disebut sebagai ‘breech presentation’. Breech presentation ini berupaya untuk membawa kepada komplikasi lain yang boleh mengancam nyawa si ibu dan juga si bayi. Antara komplikasi yang berkait rapat dengan keadaan ini, dan berupaya menyebabkan kematian sekitar proses bersalin (perinatal mortality) adalah prolaps tali pusat, asfixia ketika bersalin dan juga kepala bayi tersekat.

Pendarahan pasca-bersalin – Pendarahan pasca-bersalin adalah salah satu komplikasi yang cukup digeruni oleh pakar perubatan. Keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara dan akronim yang digunakan untuk pengelasan punca-punca pendarahan pasca-bersalin adalah ‘4T.’ 4T merujuk kepada Tone, Trauma, Thrombin dan juga Tissue. Tone di sini merujuk kepada tona rahim, khususnya ketiadaan tona rahim (uterine atony). Ini adalah punca utama mengapa terjadinya pendarahan pasca-bersalin dan ketiadaan tona rahim menyebabkan ianya tidak mampu untuk mengecut, atau tidak mampu untuk mengecut dengan cepat. Pentingnya untuk ia mengecut adalah untuk menutup kebocoran salur darah selepas uri dipisahkan daripada dinding rahim. Punca di bawah tajuk Trauma pula merujuk kepada mana-mana bahagian sistem reproduktif yang terlibat dalam proses bersalin, yang tercedera sehingga pendarahan banyak berlaku. Tissue pula merujuk kepada uri atau cebisan uri yang mungkin tertinggal di dalam rahim dan tidak habis dikeluarkan. Memandangkan ianya kaya dengan salur darah, kewujudannya dalam rahim secara berterusan akan menyebabkan pendarahan terus-menerus berlaku. Akhir sekali, Thrombin di sini merujuk kepada masalah-masalah atau keadaan kesihatan yang berkait rapat dengan faktor darah pesakit, khususnya jika pesakit mempunyai keadaan kesihatan atau penyakit yang menyebabkan proses penutupan luka dan pemberhentian pendarahan mereka terjejas. Contoh keadaan yang dimaksudkan adalah Haemophilia.

Kekoyakan faraj/perineum darjah tinggi – Kekoyakan perineum akibat proses bersalin adalah sesuatu yang sangat lazim berlaku. Malahan, kekoyakan ini, dalam kebanyakan kes, adalah perlu untuk memudahkan pengeluaran bayi tersebut. Untuk tujuan itu, doktor mungkin akan melakukan guntingan episiotomi bagi membuka ruangan untuk bayi tersebut keluar. Namun yang demikian, kekoyakan perineum melalui guntingan episiotomi adalah sesuatu yang terkawal dan pada darjah koyak yang lebih rendah. Darjah kekoyakan perineum ini terbahagi kepada 4 dan darjah 4 adalah yang paling teruk, membabitkan kekoyakan yang mencapai lapisan epitelium anus, sehingga terbentuknya laluan antara epitelium faraj dan juga epitelium anus.

Persediaan Bersalin yang Khusus untuk C-Section

Pembedahan C-section atau cesarean melibatkan kelahiran bayi melalui potongan surgeri pada abdomen dan uterus wanita. Pembedahan C-section ini boleh dilakukan secara sukarela (elective) atau berdasarkan indikasi kesihatan yang mendesak seperti keadaan kehamilan yang berpotensi untuk mengakibatkan komplikasi. Kebanyakan daripada persediaan bersalin untuk C-section akan diberitahu oleh doktor anda terlebih dahulu khususnya jika ianya adalah pembedahan yang sukarela.

Beberapa minggu sebelum tarikh kelahiran, anda perlu pergi ke hospital untuk menghantar borang pra-pendaftaran anda. Malam sebelum tarikh kelahiran, anda perlu menyiapkan prosedur pra-pembedahan. Pertama, anda akan menjalani anesthesia epidural, yang melibatkan suntikan di belakang badan anda untuk membuatkan anda kebas semasa menjalani pembedahan. Kemudian, anda akan dikateter bagi mengelakkan anda bangun untuk ke bilik air semasa 24 jam pertama pemulihan. Memandangkan ini bukanlah merupakan prosedur yang menyelesakan, pastikan anda bertanya kepada doktor untuk mendapatkan epidural dahulu sebelum memasukkan kateter. Selepas itu, anda akan diberikan sejenis ubat yang digunakan untuk mengosongkan asid cecair perut anda. Anda dibenarkan untuk meminta ubat anti-loya, dan berbuat demikian sebelum epidural untuk mengelakkan rasa tidak selesa.

Selain itu, ujian darah tertentu boleh dilakukan sebelum pembedahan mengikut saranan doktor. Pemeriksaan darah anda boleh membantu doktor untuk bersedia dengan sebarang perkara yang tidak diingini, seperti jika anda memerlukan pemindahan darah semasa pembedahan C-section berlangsung. Perkara terakhir yang anda perlu ingat adalah anda perlu menyiapkan beg untuk ke hospital, yang mengandungi pakaian anda dan kelengkapan diri untuk beberapa hari anda berada di hospital. Disebabkan pembedahan C-section mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih berbanding dengan bersalin normal, jadi anda boleh meminta bantuan pasangan atau ahli keluarga anda semasa berpantang di rumah nanti. Pastikan juga anda mendapat nasihat doktor yang secukupnya berkaitan penjagaan luka pembedahan.

Sekiranya anda ada sebarang kemusykilan berkaitan dengan persediaan bersalin untuk kelahiran normal mahupun melalui pembedahan, dapatkan nasihat dan maklumat yang tepat daripada doktor anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan