backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Selalu Sakit Pada Sebelah Kiri Ari-ari? Ini Mungkin 6 Penyebabnya, Jangan Biarkan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/10/2023

    Selalu Sakit Pada Sebelah Kiri Ari-ari? Ini Mungkin 6 Penyebabnya, Jangan Biarkan!

    Sakit abdomen, sakit sebelah kiri perut atau sakit ari ari sebelah kiri merupakan aduan yang seringkali diterima di pusat kesihatan dan kecemasan. 

    Namun, ia bukanlah satu aduan yang dapat memberikan diagnosis spesifik memandangkan pelbagai jenis penyakit sering dikaitkan dengan simptom sakit pada bahagian abdomen.

    Dalam artikel ini, penulis akan menerangkan perihal penyakit yang boleh menyebabkan sakit ari ari sebelah kiri. Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

    Sakit ari ari sebelah kiri atau sakit abdomen kiri atas

    1. Angina pektoris

    Ini merupakan satu keadaan kesihatan di mana aliran darah ke otot jantung berkurangan menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan.

    Struktur anatomi jantung yang terbahagi kepada sudut depan (anterior), bawah (inferior), belakang (posterior) dan sisi (lateral), membuatkan kesakitan boleh berlaku pada bahagian perut berdekatan dengan struktur dada.

    Mereka yang mengalami angina kebiasaannya mendapat simptom ketika menjalani aktiviti fizikal atau tekanan emosi. Antara simptom angina selain daripada sakit dada adalah:

    • Sesak nafas
    • Keletihan
    • Mual
    • Pening kepala
    • Perpeluhan
    • Keresahan

    Terdapat dua jenis angina, iaitu angina stabil dan angina tidak stabil. Pembahagian penyakit ini bergantung kepada keterukan simptom.

    Angina stabil kebiasaannya berlaku ketika seseorang individu itu melakukan aktiviti fizikal.

    Angina tidak stabil pula boleh berlaku ketika rehat, tidur atau secara tiba-tiba, tanpa melibatkan apa-apa faktor.

    Mereka yang obes, mempunyai sejarah keluarga sakit jantung, tinggi kolesterol dan merokok berisiko tinggi untuk mendapat keadaan kesihatan ini.

    2. Gastritis

    sakit ari ari sebelah kiri

    Gastritis merupakan keadaan kesihatan yang melibatkan keradangan pada lapisan atas perut. Ia terbahagi kepada dua bergantung kepada durasi keradangan tersebut iaitu akut dan kronik.

    Gastritis akut kebiasaannya melibatkan keradangan yang serius secara serta-merta manakala gastritis kronik pula boleh menyebabkan keradangan dalam jangka masa panjang jika ia tidak dirawat. 

    Penyakit ini kebiasaannya berlaku kepada mereka yang mempunyai faktor risiko berikut:

  • Pengambilan alkohol secara berlebihan
  • Penggunaan kokain 
  • Penggunaan bahan tembakau
  • Penggunaan ubat nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti aspirin
  • Penyakit autoimun
  • Penyakit keradangan usus (inflammatory bowel disease) seperti penyakit Crohn dan kolitis ulseratif
  • Jangkitan virus atau bakteria
  • Selain daripada sakit pada bahagian abdomen, mereka yang mengalami gastritis juga akan menunjukkan gejala seperti:

    • Mual
    • Muntah
    • Perut kembung
    • Ketakcernaan
    • Najis berwarna hitam dan muntah darah (jika terdapat pendarahan)

    Jika tidak dirawat, gastritis akut boleh menjadi gastritis kronik. Ini sekali gus akan meningkatkan risiko seseorang individu untuk mendapat kanser perut.

    Namun, buat kebanyakan individu, penyakit gastritis ini boleh dirawat dengan perubahan gaya hidup dan rawatan farmakologikal.

    3. Pankreatitis 

    sakit ari ari sebelah kiri

    Organ pankreas meliputi ketiga-tiga zon di bahagian atas abdomen (kanan, tengah dan kiri).

    Oleh sebab itulah, mereka yang mengalami keradangan pada organ pankreas (pankreatitis) boleh merasai kesakitan pada bahagian atas abdomen.

    Ia terbahagi kepada dua iaitu pankreatitis akut dan pankreatitis kronik. Kedua-duanya mempunyai faktor risiko yang berbeza dan jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan kanser pankreas.

    Antara keadaan yang boleh menjurus kepada pankreatitis:

    • Batu pada organ dan salur hempedu
    • Pengambilan alkohol 
    • Trauma
    • Penggunaan steroid
    • Jangkitan virus
    • Penyakit autoimun
    • Sengatan kala jengking
    • Prosedur Endoscopic Retrograde Cholangiopancreatography (ERCP)
    • Beberapa jenis ubat 

    Mereka yang mengalami pankreatitis kebiasaannya hadir dengan keluhan sakit di bahagian abdomen atas yang menusuk ke belakang.

    Kesakitan tersebut menjadi semakin teruk selepas makan dan episod tersebut kebiasaannya disertakan dengan simptom demam, berdebar-debar, loya dan muntah.

    Bagi mereka yang mengalami pankreatitis kronik pula kerap kali hadir dengan simptom sakit abdomen atas, kehilangan berat badan dan najis yang berbau busuk dan sering kali kelihatan pucat dan terapung (steatorrhea).

    Sakit abdomen atau sakit ari ari sebelah kiri bawah

    1. Sakit ari ari sebelah kiri bawah akibat hamil luar rahim (ektopik)

    Jika anda merupakan seorang wanita dalam lingkungan usia reproduktif yang mengalami sakit perut atau sakit ari ari sebelah kiri bawah, anda berkemungkinan mengalami simptom kehamilan luar rahim.

    Keadaan kesihatan ini tidak wajar dipandang ringan memandangkan komplikasinya boleh membawa maut.

    Kehamilan luar rahim berlaku apabila embrio tertanam di struktur selain daripada uterus seperti di tiub falopian, ovari, serviks atau abdomen.

    Wanita tersebut kebiasaannya mengalami simptom yang sama seperti wanita yang hamil. Antaranya:

    • Putus haid
    • Sakit pada bahagian payudara
    • Mual
    • Ujian air kencing positif

    Namun bagi mereka yang mengalami masalah kehamilan luar rahim, kebiasaannya mereka akan merasai kesakitan pada bahagian pinggul dan abdomen menjalar ke bahagian bahu dan pendarahan.

    Jika embrio tersebut tertanam pada tiub falopian, ia boleh menyebabkan tiub tersebut pecah mengakibatkan pendarahan dalaman yang serius.

    Keadaan ini boleh menyebabkan simptom pening, pengsan, sakit abdomen yang amat dan renjatan (shock).

    2. Divertikulitis

    sakit ari ari sebelah kiri

    Keadaan kesihatan ini melibatkan keradangan pada struktur divertikula. Divertikula merupakan kantung kecil yang terbentuk pada lapisan sistem pencernaan.

    Sebab pembentukannya masih lagi tidak diketahui, namun, pakar percaya ia merupakan hasil interaksi di antara faktor genetik dan persekitaran.

    Mereka yang berusia 40 tahun ke atas kebiasaannya mempunyai struktur ini namun ia jarang menyebabkan masalah kesihatan.

    Jika terdapat najis atau makanan yang tidak tercerna tersangkut pada struktur tersebut, ia boleh menyebabkan keradangan.

    Mereka yang mempunyai masalah kesihatan ini kebiasaannya mengalami simptom:

    • Demam
    • Muntah
    • Loya
    • Sembelit atau cirit-birit
    • Sakit ari ari sebelah kiri atau sakit abdomen kiri bawah untuk beberapa hari

    Rawatan penyakit ini bergantung kepada tahap keterukannya.

    Mereka yang mengalami divertikulitis ringan (mild) boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik dan melakukan sedikit perubahan pada tabiat pemakanan.

    Namun, jika penyakit tersebut berlaku secara kerap atau pada tahap yang teruk, individu tersebut perlu menjalani pembedahan.

    3. Sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome)

    Ini merupakan penyakit yang kerap berlaku melibatkan usus besar individu.

    Kebiasaannya, mereka yang mengalami masalah ini boleh mengawal simptom seperti sakit abdomen, perut kembung dan perubahan tabiat buang air besar dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

    Namun, bagi mereka yang gagal mengawal simptom tersebut, mereka perlu mengambil ubat dan menghadirkan diri untuk sesi kaunseling memandangkan sindrom usus rengsa merupakan penyakit kronik.

    Walaupun ia sering digembar-gemburkan sebagai punca kepada kanser kolorektal, perkara itu tidak benar sama sekali.

    Penyakit ini tidak akan menyebabkan perubahan pada struktur tisu usus besar mahupun meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser.

    Konklusi

    Artikel ini hanya menyenaraikan sebahagian daripada diagnosis yang mungkin menyebabkan simptom sakit perut/abdomen atau sakit ari ari sebelah kiri. 

    Jika anda mengalami simptom sakit abdomen atau sakit ari ari sebelah kiri, segeralah berjumpa dengan doktor.

    Ia mungkin petanda kepada penyakit selain daripada apa yang tersenarai di atas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan