Bibir dan Penjagaannya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apabila bercakap mengenai bibir, pastinya kita akan terbayangkan bibir yang mungil dicalit dengan gincu berwarna merah. Menggoda bukan? Tetapi sebenarnya, ramai individu yang mengambil mudah aspek penjagaannya. Sedangkan secara hakikatnya, tidak kira sama ada anda seorang individu lelaki mahupun wanita, penjagaan bahagian ini adalah sama pentingnya seperti penjagaan bahagian badan yang lain. 

Apa Itu Bibir?

Semua individu secara normalnya dilahirkan akan mempunyai bibir. Sukar untuk membayangkan kehidupan tanpanya kerana ia membantu anda untuk makan dan bercakap. Ia hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz yang berbeza bagi setiap individu. Ada yang besar, ada yang kecil, ada yang sangat tipis dan ada yang sangat mungil. 

Bibir sebenarnya merupakan satu bahagian badan yang agak kompleks. Permukaannya terdiri daripada 4 zon iaitu; kulit berbulu (hairy skin), sempadan vermilion (vermilion border), vermilion dan mukosa lisan (oral mucosa). Bentuk normal bibir adalah sangat bervariasi mengikut usia dan dipengaruhi oleh etnik. 

Bibir dan Penjagaannya - anatomy

Vermilion border atau sempadan vermilion, merupakan satu nama yang mewah bagi garis bibir anda dan adalah unik bagi setiap individu. Bingkai (rim) vermilion menyerupai warna kulit di sekitarnya. Perkataan vermilion adalah bermaksud ‘warna merah yang terang’. Namun, hakikatnya warna sempadan vermilion adalah berbeza mengikut individu dan kebiasaannya adalah lebih gelap berbanding keseluruhan bibir yang ada. Pada bahagian vermilion atas, dari pandangan hadapan, pasti anda akan perasan bentuk yang dikatakan seakan menyerupai busur pemanah. Bahagian ini dinamakan cupid’s bow.

Fakta Mengenainya

1. Lebih sensitif

Mungkin anda tidak tahu sebenarnya bahagian bibir merupakan bahagian paling sensitif. Malahan jika dibandingkan dengan jari anda, ia tidak dapat menandingi tahap sensitiviti pada bahagain ini yang mempunyai berjuta-juta saraf di sekitarnya. Oleh sebab itu ia sangat sensitif. 

2. Tidak berpeluh, bebas jerawat

Sememangnya pada bahagian bibir tidak terdapat kelenjar peluh mahupun kelenjar minyak. Ini membuatkan ia tidak berpeluh dan berminyak. Namun kekurangan daripada tidak memiliki dua kelenjar ini, membuatkannya akan lebih cepat kering. Ini kerana kelenjar peluh dan minyak sebenarnya berperanan untuk membantu mengawal kelembapan. Oleh sebab itu, masalah biasa yang sering berlaku pada bibir adalah seperti kering, mengelupas, pecah dan menyebabkan kerengsaan. 

3. Pelindung matahari

Siapa cakap bibir tidak memerlukan pelindung matahari? Itu adalah satu kepercayaan yang salah. Sama seperti kulit, bahagian ini merupakan antara bahagian yang turut cenderung terdedah kepada kerosakan matahari. Malahan sebenarnya, ia lebih berisiko untuk mengalami kerosakan berbanding mana-mana bahagian badan yang lain. Oleh sebab itu, ia memerlukan perlindungan UVA atau UVB setiap hari sama seperti kulit. 

4. Nipis atau mungil?

Bibir dan Penjagaannya - nipis atau tebal

Tahukah anda, semakin meningkat usia anda, semakin menipis bibir anda. Tidak percaya? Mungkin anda boleh melihat gambar anda ketika masih muda dan bandingkan bentuknya dahulu dan kini. Faktor penuaan mengakibatkan perkara ini untuk berlaku. Ia adalah sesuatu yang normal, ini kerana jumlah kolagen yang semakin berkurangan akan memberi impak kepada keanjalan dan bentuknya. 

5. Lumpuh

Bibir juga boleh mengalami fenomena yang dikenali sebagai Bell Palsy. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh saraf pada bahagian sekeliling kawasan muka yang rosak. Individu yang mengalami masalah ini akan mempunyai kesukaran untuk mengawal otak pada bahagian muka. Walau bagaimanapun, keadaan dan situasi ini adalah berlaku untuk tempoh yang sementara. 

6. Pelembap

Bibir memerlukan pelembap. Carilah produk pelembap yang berasaskan beeswax (lilin lebah), jeli petroleum atau parafin kerana ia membantu mengekalkan kelembapan pada kulit lebih lama berbanding pelembap bibir yang biasa. Tetapi, anda perlu mengelak daripada menjilatnya menggunakan lidah. Anda mungkin merasakan anda membantu melembapkan bahagian ini, tetapi pada hakikatnya, air liur (saliva) akan menyebabkan ia akan menjadi lebih kering. Malahan, bibir yang kering sebenarnya boleh menjadi simptom untuk beberapa masalah kesihatan, jadi jangan ambil mudah!

7. Kanser mulut

Pemakaian pelembap boleh membantu melindungi bibir daripada terhidrasi dan terkena sinaran UV. Ini sekali gus menjadi antara punca mengapa lebih ramai individu lelaki yang cenderung berisiko mengalami kanser mulut berbanding wanita. Jadi, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk memakai pelembap.

8. Unik

Sama seperti jari yang mempunyai cap jari yang berbeza bagi setiap individu, bibir juga adalah berbeza dan unik untuk setiap individu. Jadi, jangan katakan bahagian wajah anda ini sama seperti bibir individu lain, okay?

Kini anda sudah mengetahui serba sedikit mengenai bibir anda. Jadi, bagaimana pula mengenai aspek penjagaannya? Teruskan membaca artikel ini.

Tabiat Menyebabkan Kekeringan

Seperti yang dinyatakan di atas, masalah bibir kering berlaku kerana bahagian badan ini tidak mempunyai kelenjar peluh mahupun kelenjar minyak. Tetapi selain daripada dua sebab utama ini, apakah sebab yang turut cenderung menyebabkan ia untuk kering? Adakah terdapat sebarang tabiat yang boleh membuatkannya berpunca untuk menjadi kering?

Terdapat banyak faktor yang boleh menjadi punca dan faktor yang mengakibatkannya kering, antaranya:

Bibir dan Penjagaannya - bibir kering

1. Dehidrasi

Bibir kering boleh disebabkan oleh dehidrasi. Sebagai contoh, jika anda tidak memenuhi pengambilan air yang disyorkan dalam sehari, tabiat anda ini akan menjejaskannya. Ia akan menjadi luka dan kering serta menjadi kurang seksi.

2. Menjilat

Kebanyakan individu suka melakukannya tanpa sedar. Kadangkala ia sudah menjadi satu tabiat. Ada juga yang melakukannya kerana menyangka air liur boleh melembapkan bahagian ini. Apa pun sebabnya, anda tidak perlu melakukannya. Memandangkan ia tidak mengandungi dan tidak boleh menghasilkan lapisan minyak semula jadi yang tebal seperti kulit, ia cenderung untuk menjadi lebih kering selepas air liur tersejat.

3. Tiada pelindung matahari

Pada musim panas apabila anda pergi ke pantai atau berjoging di luar, penting untuk anda memberikan perlindungan pada badan dan bibir anda. Pelindung matahari muka yang biasa adalah berkesan tetapi anda mungkin mahu menggunakan dalam balsem yang mengandungi SPF kerana ia mempunyai kesan kelembapan yang lebih efektif.

Anda juga perlu memakai pelindung bibir pada musim sejuk. Cuaca sejuk dan angin di luar membuatkannya merekah. Tambahan pula, tidak banyak cahaya matahari yang dapat dilihat tetapi sinar UV dilaporkan menjadi lebih kuat dan menyebabkan lebih banyak kerosakan.

4. Ubat

Sesetengah ubat-ubatan seperti accutane, propranolol atau prochlorperzazine boleh membuatkannya pecah. Sila berunding dengan doktor anda tentang kesan-kesan sampingan yang mungkin berlaku sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan. Ingat untuk memberitahu doktor jika ia menjadi sangat kering, tidak stabil dan mula berdarah.

5. Vitamin

Vitamin memainkan peranan penting dalam kesihatan bibir. Kekurangan beberapa vitamin dan penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan beberapa kesan pada bahagian badan anda ini. Vitamin B3 boleh mengekalkan kelembapannya manakala vitamin B12 membantu proses penyembuhan. Zink menggalakkan pertumbuhan sel dan vitamin A membantu penghasilan minyak semula jadi pada bahagian ini. Oleh itu, jangan lupa untuk membekalkan badan anda dengan sumber vitamin yang baik. Sila berbincang dengan doktor peribadi anda sebelum mengambil vitamin tambahan kerana terlalu banyak vitamin A boleh membuatkan ia berisiko untuk mengelupas.

Tip Mengatasi Kekeringan

Perubahan cuaca, musim serta beberapa tabiat akan sering membuatkan kulit kering, terutamanya pada bahagian bibir. Kini, masalah ini boleh diatasi dengan mengamalkan beberapa tip berikut:

1. Jangan jilat 

Bibir dan Penjagaannya - menjilat

Anda mungkin selalu membasahkannya dengan air liur dengan harapan ia membantu mengatasi masalah kekeringan yang anda hadapi. Tindakan ini sebaliknya membuatkan ia menjadi lebih kering. Air liur mengandungi asid yang merengsakan. Tambahan pula, menjilatnya secara berterusan boleh menjadikannya lebih kering.

2. Gunakan balsem

Balsem bibir membantu memberikan kelembapan padanya. Selain menggunakannya ketika di luar rumah, anda juga boleh menggunakannya sebelum mencuci muka kerana pencuci muka anda mungkin boleh mengeringkannya.

3. Minum banyak air

Salah satu sebab bibir kering adalah kurang air. Hidratkan badan anda dengan mengambil air sebanyak yang boleh. Tapi jangan banyakkan ambil air kopi yang mengandungi kafein. Ia hanya akan membuatkan badan anda hilang lebih banyak air kerana kerap ke tandas untuk membuang air kecil.

4. Gunakan minyak badam

Anda boleh sama ada menggunakan minyak badam secara langsung atau menggunakan balsem bibir yang mengandungi minyak badam.

5. Pengelupasan (exfoliate

Ada di antara kita yang tidak mengamalkan tabiat ini tetapi bibir harus menjalani pengelupasan  sekali seminggu. Sama ada anda menggunakan produk pengelupasan yang dijual di kedai atau buatan sendiri, kedua-duanya adalah boleh. Kulit pada bahagian ini sama seperti kulit pada wajah, pengelupasan kulit membantu menyingkirkan sel kulit yang mati serta menjadikan ia lembut, licin dan layak dicium.

6. Penggunaan gincu matte

Gincu matte memang menawan dan menakjubkan, sudah tentu ramai individu wanita selalu menggunakannya pada majlis khas. Walau bagaimanapun, gincu matte boleh menjadi sangat mengeringkan (yang membantu gincu ini kekal lama). Jadi bagaimana untuk melindunginya semasa menggunakan gincu matte kegemaran anda? Sekali lagi, penggunaan balsem adalah amat disyorkan. Sebelum mengenakan gincu matte, anda harus menggunakan balsem terlebih dahulu untuk melindungi bibir anda daripada bahan kimia.

7 . Jumpa doktor

Jika semuanya tidak mendatangkan hasil, anda mungkin mengalami keadaan kesihatan tertentu seperti alahan. Anda perlu dapatkan bantuan perubatan daripada doktor.

Rawatan Bibir Lembut dan Merah Jambu

Bibir yang lembut, gebu dan merah jambu adalah ciri wajah yang menarik, terutamanya perempuan dan wanita. Namun ramai wanita mengalami masalah bibir kering, kusam dan kelihatan tercemar serta tidak menyenangkan. Walau bagaimanapun, anda boleh menggunakan pelbagai ubat bagi mengembalikan seri dan warnanya. Berikut adalah beberapa tip mudah untuk membuatkan ia kembali lembut dan berwarna merah jambu secara semula jadi.

1. Rawatan lemon-madu

Lemon dan madu boleh dianggap sebagai salah satu gabungan rawatan terbaik. Ia boleh membersihkan bibir anda dan juga melembapkan secara mendalam, yang membuatkan ia menjadi bersih, lembut, dan merah jambu. 

Bibir dan Penjagaannya - lemon madu

Untuk mendapat campuran limau madu, anda boleh memasukkannya ke dalam mangkuk dengan jumlah yang sama dan kemudian kacau. Letakkan campuran ini pada bahagian wajah anda ini dan biarkan selama satu jam. Selepas itu, bersihkan ia dengan air. Kesannya, ia akan menjadi lebih licin dan kelihatan merah jambu. Untuk hasil yang cepat, anda boleh melakukannya 1-2 kali sehari atau jika terlalu sibuk anda boleh memilih untuk melakukannya untuk 2 atau 3 kali seminggu.

2. Ubi bit (Beetroot)

Pengambilan ubi bit adalah baik untuk kesihatan anda. Tetapi, anda harus mengetahui penggunaan yang betul untuk mendapatkan manfaatnya. Adalah baik untuk mengurut bibir anda dengan sepotong ubi bit merah. Ia akan berfungsi dengan berkesan dan membantu menghilangkan tan (warna perang pada kulit) dari bibir anda dalam hanya 5 minit. Selain itu, warna ubi bit akan membuat ia menjadi lebih cerah.

3. Jus timun

Timun bukan sahaja bahan yang menarik untuk kulit anda tetapi juga sesuai untuk bibir anda. Cara yang paling berkesan untuk menghapuskan bahagian yang gelap adalah minum jus timun dan menikmatinya.

4. Pengelupasan berus gigi

Kulit mati pada bibir anda adalah salah satu daripada sebab yang membuatkan ia tidak menarik. Oleh itu, untuk menghapuskannya, anda boleh menggunakan berus gigi. Gunakan berus gigi yang basah dan ringan serta sapukan padanya dalam gerakan membulat. Jangan terlalu kasar atau anda akan menyakitinya. Mengurutnya dengan cara ini akan membuang kulit mati dan juga akan merangsang aliran darah ke seluruh bibir, menjadikannya lembut dan merah jambu.

5. Lulur

Campurkan madu dan gula untuk membuat lulur pengelupasan anda. Kemudian, urut bibir dengan campuran tersebut kerana ia akan membuang kulit mati dan melembapkan bibir dengan baik. Hasilnya, ia akan menjadikan warna lebih merah jambu.

6. Buah delima 

Delima mempunyai beberapa manfaat kesihatan yang baik dan turut berperanan dalam aspek penjagaan untuk bibir anda. Hanya ambil beberapa biji isi buah delima dan hancurkannya. Kemudian tambah sedikit susu sejuk, campurkan kedua bahan ini dengan baik untuk membuat pes. Sapukan pes ajaib ini dan biarkan untuk tempoh 3 minit. Basuh dengan air suam selepas itu dan biarkan ia mengering secara semula jadi. Lakukannya secara teratur dan ia akan membuatnya menjadi merah jambu secara semula jadi dalam tempoh beberapa minggu. 

7. Pes kunyit susu

Sebagai salah satu daripada bahan-bahan utama, kunyit bukan sahaja diperlukan untuk memasak tetapi juga untuk penjagaan kecantikan semula jadi. Oleh itu, ambil beberapa kunyit dan tambah sedikit susu padanya untuk membuat pes. Letakkan pes ini pada bibir kering anda dalam masa 10 minit sebelum mencucinya untuk menjadikannya merah jambu.

Akhir sekali, sila ingat untuk membersihkan gincu anda pada penghujung hari. Kebanyakan wanita menggunakan gincu setiap hari tetapi lupa untuk membersihkannya. Anda boleh memilih untuk menggunakan produk penanggal alat solekan yang ditawarkan di pasaran. Tetapi jika anda mahukan cara yang lebih semula jadi, anda boleh meletakkan minyak padanya seperti minyak kelapa, minyak zaitun atau minyak badam untuk membersihkan solekan anda.  Melakukan ini bukan sahaja melindunginya tetapi juga melembapkan.

Penjagaan

Terdapat banyak penyelesaian yang ada untuk menyembuhkan dan melindungi bibir anda. Pertama sekali, cara yang tertua dan paling tradisional adalah untuk minum air yang banyak, sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Kedua, membawa dan memakai balsem yang mengandungi SPF sepanjang masa. Seterusnya, tambah lebih banyak sayur-sayuran dalam diet anda untuk mendapatkan khasiatnya. Akhir sekali, buang tabiat menjilat, menggigit atau mengunyahnya. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.