Pipi Bengkak dan Pipi Tembam: Jangan Terkeliru

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Pipi bengkak dan pipi tembam adalah dua keadaan yang berbeza. Pipi atau masalah bengkak adalah apabila bahagian badan tertentu membesar yang berlaku disebabkan oleh keradangan atau pembentukan cecair. Pembengkakan boleh berlaku di sendi dan kaki, dan di bahagian badan yang lain seperti muka. Muka atau pipi bengkak akan menjadikan wajah anda terasa bengkak atau bulat. Namun, adalah masalah pipi bengkak sesuatu yang berbahaya? Ikuti perkongsian artikel ini.

Pipi Bengkak

Keadaan bengkak pada muka anda boleh berlaku tanpa rasa sakit atau disertai simptom seperti bahagian yang bengkak itu menjadi amat sensitif terhadap sentuhan, gatal-gatal mahupun rasa kebas. Ia mungkin membuatkan anda berasa seperti anda sedang mengalami masalah mulut yang bengkak di bahagian dalam pipi anda. 

Masalah pipi yang bengkak sememangnya akan menyebabkan perubahan pada penampilan anda. Keadaan ini boleh dirujuk sebagai satu petanda kebimbangan kesihatan yang kecil atau satu keadaan kecemasan perubatan yang melibatkan anafilaksis. Dan paling kronik, masalah bengkak yang dihadapi juga boleh menjadi petunjuk kepada gejala perubatan serius seperti penyakit kanser. 

Punca Bengkak

Bengkak pada wajah boleh berlaku berlaku untuk tempoh beberapa jam dan beransur-ansur hilang, atau keadaan ini boleh terjadi secara tiba-tiba. Pembengkakan ini boleh berlaku didasari oleh beberapa punca dan faktor. Antaranya seperti:

1. Preeclampsia 

Masalah ini berlaku disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi semasa tempoh kehamilan. Ia sering terjadi sekitar minggu ke-20 kehamilan. Keadaan ini boleh mengakibatkan pembengkakan secara tiba-tiba pada bahagian muka dan tangan. 

Sekiranya keadaan ini berlaku dan tidak dirawat, beberapa komplikasi cenderung untuk berlaku dan boleh menyebabkan kerosakan organ dan kematian kepada ibu dan bayi dalam kandungan. 

Jika anda sedang mengandung dan mengalami beberapa keadaan beriku:

  • Bengkak pada bahagian tangan dan muka secara tiba-tiba
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Mengalami sakit kepala yang teruk
  • Merasai kesakitan teruk di dalam perut

Segera untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut dari doktor di hospital atau klinik berhampiran anda. 

2. Cellulitis

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - cellulitis

Masalah jangkitan bakteria pada kulit ini biasanya berlaku pada bahagian badan yang lebih bawah seperti kaki, tetapi dalam beberapa keadaan, ia juga boleh berlaku pada bahagian muka yang mengakibatkan pipi bengkak dan membesar. 

Keadaan ini berlaku apabila bakteria atau kuman aktif memasuki kulit melalui bahagian yang cedera. Ia tidak berjangkit tetapi ia boleh mengancam nyawa individu yang mengalami masalah ini sekiranya jangkitan merebak ke saluran darah. 

Beberapa simptom lain yang boleh berlaku selain bengkak adalah seperti:

  • Demam
  • Kulit melepuh
  • Jerawat
  • Kulit kemerahan
  • Kulit terasa sedikit panas apabila disentuh. 

Masalah ini juga boleh berlaku akibat kerosakan gigi yang dibiarkan tanpa mendapatkan rawatan yang betul dan akan membuatkan wajah anda bengkak atau dirujuk sebagai facial cellulitis. Ia boleh merebak ke seluruh bahagian muka termasuk mata serta leher yang akan menyebabkan kesukaran untuk membuka mulut, menelan dan bernafas. 

Facial cellulitis yang disebabkan kerosakan gigi biasanya bermula kerana bengkak gusi (dental abscess) pada ukuran kecil akibat kerosakan gigi yang tidak dirawat seperti masalah gigi dengan karies (lubang) yang dalam, ataupun tunggul/akar gigi yang tidak dicabut. 

Apabila masalah gigi itu dibiarkan dan sistem imunisasi badan dalam keadaan lemah, bakteria atau kuman akan membiak dengan lebih aktif sehingga menghasilkan ‘sisa buangan’ yang disebut sebagai nanah. Risikonya yang akan berlaku adalah nanah di dalam gusi akan meningkat dan merebak serta memasuki ruangan sekitarnya seperti bahagian muka, khususnya pipi, akan mula kelihatan membesar. Simptom lain seperti yang dinyatakan di atas juga mungkin akan berlaku. 

3. Anafilaksis

Merupakan satu tindak balas atau reaksi alahan yang boleh mengancam nyawa. Ketika keadaan ini berlaku, badan anda akan mengalami kejutan, menyebabkan titik udara menjadi sempit dan anda akan mengalami bengkak di sekeliling muka, lidah atau tekak. Keadaan ini akan menyebabkan pipi bengkak. Antara simptom anafilaksis lain yang boleh terjadi adalah tekanan darah rendah, denyutan nadi yang lemah atau anda menjadi lemah, pengsan, loya dan mengalami kesukaran untuk bernafas. 

Keadaan ini memerlukan rawatan dan pemerhatian yang segera daripada doktor perubatan. Jadi jika anda mengesyaki diri anda atau individu di sekeliling anda berkemungkinan mengalami masalah anafilaksis, hubungi talian kecemasan dengan segera. 

4. Pericoronitis

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - Pericoronitis

Keadaan ini merujuk kepada masalah keradangan tisu gusi yang biasanya terjadi pada sekitar bahagian gigi geraham bongsu yang sedang tumbuh. Antara gejala yang mungkin akan dialami adalah seperti gusi dan pipi bengkak, keluar nanah dan rasa pelik di dalam mulut.

5. Mumps

Keadaan ini berlaku didasari oleh jangkitan virus yang boleh menyebabkan pipi bengkak. Jangkitan ini akan menjejaskan kelenjar air liur yang menyebabkan bengkak pada satu atau kedua-dua belah bahagian muka. Antara simptom lain yang mungkin akan dialami adalah seperti:

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Berasa sakit semasa mengunyah

Terdapat beberapa komplikasi lain yang boleh berlaku disebabkan keadaan ini seperti:

  • Bengkak pada zakar
  • Keradangan tisu otak
  • Meningitis
  • Hilang pendengaran
  • Masalah jantung

6. Kecederaan muka

Mengalami kecederaan pada bahagian muka juga boleh menyebabkan pipi menjadi bengkak. Keadaan ini boleh berlaku selepas terjatuh atau terdapat pukulan pada bahagian muka. Terdapat risiko untuk mengakibatkan tulang patah. 

Tanda-tanda sekiranya tulang muka pada adalah seperti lebam, bengkak dan bahagian tersebut amat sensitif terhadap sebarang sentuhan. Anda disaran untuk mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya kecederaan pada muka yang dialami semakin teruk. 

7. Hypothyroidism

Hipotiroidisme adalah di mana badan anda tidak dapat menghasilkan hormon tiroid dengan secukupnya. Ini boleh menyebabkan wajah anda menjadi bengkak. Terdapat beberapa simptom yang mungkin dialami seperti keletihan, kenaikan berat badan, otot badan menjadi lemah, sendi menjadi kaku dan masalah berkaitan memori. 

8. Sindrom Cushing

Dalam keadaan ini, badan menghasilkan terlalu banyak hormon kortisol. Cushing syndrome ini boleh mengakibatkan kenaikan berat badan pada bahagian badan yang berlainan seperti muka dan pipi. 

Individu dengan sindrom ini juga mudah mengalami masalah lebam. Gejala lain yang mungkin akan berlaku adalah tanda regangan berwarna merah jambu atau ungu, jerawat dan kadar penyembuhan luka yang perlahan. Jika masalah ini tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan masalah tekanan darah tinggi, diabetes jenis 2, serta kehilangan jisim tulang dan jisim otot. 

9. Penggunaan steroid

Penggunaan steroid prednisone, yang digunakan untuk merawat masalah kesihatan berkaitan autoimun, untuk tempoh jangka panjang, boleh menjadi antara punca yang menyebabkan pipi bengkak. Ia juga boleh menjadi satu lagi penyebab kepada sindrom Cushing. Penggunaan ubat ini juga boleh mengakibatkan kenaikan berat badan dan deposit berlemak pada bahagian pipi dan belakang leher. 

Antara kesan sampingan lain penggunaan steroid adalah termasuk sakit kepala, kulit yang semakin menipis dan mengalami kebimbangan serta kegelisahan. 

10. Tumor kelenjar air liur (saliva)

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - Tumor kelenjar air liur

Masalah tumor pada kelenjar air liur juga boleh menyebabkan bengkak pada pipi, mulut, rahang serta leher. Bahagian sebelah muka anda juga boleh berubah saiz dan bentuk. Antara simptom lain yang disebabkan masalah tumor ini adalah seperti:

  • Rasa kebas pada bahagian muka
  • Otot muka terasa lemah
  • Masalah menelan

Sesetengah masalah tumor yang berlaku boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan lain. Tumor malignan (malignant tumor) merupakan satu kanser yang boleh mengancam nyawa. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sekiranya terdapat bengkak pada bahagian pipi yang tidak diketahui puncanya. Terutama apabila keadaan bengkak itu disertai dengan kebas dan otot muka terasa lemah. 

Jadi bagaimana pula dengan pipi yang tembam? Adakah ia juga didasari oleh masalah kesihatan yang perlu dirisaukan?

Pipi Tembam Satu Kelebihan

Pipi bengkak dan pipi tembam atau chubby cheeks adalah dua keadaan yang berbeza. Jika pipi bengkak didasari oleh masalah kesihatan, pipi tembam merupakan satu keadaan semula jadi yang biasanya dialami oleh ramai individu wanita. 

Cantik selalunya didefinisikan dengan badan yang langsing, pipi yang cengkung bersama cheeksbones yang jelas kelihatan. Namun, hakikatnya cantik adalah sesuatu yang sangat universal. Dan sekiranya anda berpipi tembam, anda harus berbangga dengannya. 

Tahukah anda, terdapat beberapa kelebihan buat pemilik pipi tembam yang mungkin tidak anda ketahui. Ikuti penjelasan di bawah.

  • Melambatkan proses penuaan

Jika anda sering dipanggil oleh teman-teman sebagai muka tembam, berbanggalah. Ini kerana ciri tembam yang anda miliki ini, iaitu berpipi penuh dan bulat akan membantu anda dengan melambatkan proses penuaaan. Kesan kedutan pada wajah juga dapat disembunyikan dengan lebih baik berbanding individu dengan raut wajah yang lebih tirus dan cengkung. 

Sebagai contoh, anda boleh membezakan raut wajah individu dari Asia dan Barat. Percayalah individu Asia yang sudah berusia pastinya kelihatan lebih manis berbanding individu di Barat kerana kebanyakan masyarakat Asia mempunyai raut wajah yang bulat dan penuh. Masih manis walaupun sudah berusia, bukankah itu satu kelebihan?

  • Lebih feminin

Melalui kajian yang dilakukan, kebanyakan individu lelaki lebih menggemari individu wanita yang berpipi tembam atau penuh. Ini kerana mereka berasakan wanita dengan ciri-ciri sebegini adalah lebih comel, menarik dan sangat feminin. 

  • Hebat menyembunyikan emosi

Tahukah anda, individu dengan pipi yang tembam dikatakan sebagai individu yang hebat dan berupaya untuk menyimpan emosi dengan lebih baik. Semestinya apabila bersedih atau sedang mengalami kedukaan, mahupun sebarang masalah, selalunya keadaan itu akan terpancar diraut wajah. 

Tetapi berbeza dengan individu dengan chubby cheeks di mana waja anda akan sentiasa nampak semula jadi tenang dan riang. Malah mungkin ada yang melihat anda seperti tersenyum walaupun hakikatnya anda tidak tersenyum. Tetapi, kalau sedang berkerut dahi itu, memang pastinya, individu sekeliling anda akan nampak anda sedang emosi atau moody.

  • Lebih mudah didekati

Dipercayai bahawa individu dengan chubby cheeks adalah merupakan seorang individu yang lebih mudah untuk didekati. Sama ada ia adalah satu fakta ataupun mitos, namun dikatakan, individu dengan chubby cheeks adalah dilihat sebagai individu yang ramah dan mesra. Ini kerana mengikut raut wajah, individu yang berpipi tirus akan tampak lebih garang berbanding individu berpipi tembam, bukan?

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - satu kelebihan

  • Awet muda

Selalunya individu berpipi tembam ini memperolehinya disebabkan oleh genetik atau diturunkan oleh ibu atau ayah yang turut mempunyai raut wajah bulat dan berpipi tembam. Jadi mungkin anda boleh melihat wajah kedua ibu bapa anda, pastinya mereka kelihatan jauh lebih muda berbanding usia sebenar mereka. Jadi berbanggalah!

Walaupun mungkin tiada kajian saintifik yang boleh menyokong atau membuktikan fakta-fakta yang dinyatakan di atas. Tetapi, dengan kelebihan-kelebihan tersebut, bukankah anda yang berpipi tembam, pastinya lebih berasa bangga dengan kelebihan yang anda miliki sekarang? Jadi, adakah anda masih mahukan pipi yang tirus dan runcing atau bersyukur dengan chubby cheeks kepunyaan anda.

Masih tidak berpuas hati dan tetap mahukan pipi yang runcing dan tirus? Tidak mengapa, berikut adalah beberapa jenis senaman muka yang boleh anda amalkan. 

Tip Pipi Runcing dan Tirus

Terdapat beberapa tip senaman untuk mendapatkan pipi yang runcing dan tirus, seperti:

Duck face

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman duck face
Sumber @brightside.me

Bagi mendapatkan bentuk wajah yang lebih runcing, senaman yang pertama perlu dilakukan adalah dengan mengerakkan otot pada bahagian tengah pipi anda. Anda pasti pernah mendengar istilah duck face, bukan? Atau anda sendiri biasa melakukan riak wajah ini apabila ingin mengambil gambar swafoto. Pastikan anda menolak bibir anda ke hadapan dan tegangkan wajah anda untuk mendapatkan pergerakan otot. Ulangi senaman ini selama 15 kali. 

The half cringe

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman the half cringe
Sumber @brightside.me

Bayangkan anda sedang jelek terhadap sesuatu perkara atau isu. Tekan satu sisi wajah anda sambil menegangkan otot-otot pada bahagian leher anda. Perhatikan pada cermin, anda sedang melakukan senaman ini dengan betul sekiranya anda dapat melihat garisan urat pada leher anda. Ulangi langkah ini sebanyak 15 kali.

The fish face

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman the fish face
Sumber @brightside.me

Anda pasti biasa melakukan raut wajah ini untuk mengusik anak-anak kecil. Cara untuk melakukan senaman ini adalah dengan ‘menghisap’ bahagian dalam pipi dan bibir anda. Dongak kepala anda ke atas dan bayangkan anda sedangkan ‘mencecahkan’ bahagian dagu anda dengan siling. Ia dapat memberikan perengangan tambahan pada bahagian leher dan dagu. Tahan selama 10 saat setiap satu senamana the fish face ini dan ulangi sebanyak 15 kali. 

Cheekbone sculptor

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman the cheeksbones sculptor
Sumber @brightside.me

Mempunyai tulang pipi atau cheeksboness yang tinggi pastinya memberikan satu definisi lain bagi wajah yang tembam. Untuk melakukan langkah senaman ini, buka mulut anda dalam keadaan senyuman berbentuk bujur dengan bibir berada di atas gigi anda, bawa jari ke tulang pipi dan tarik ia ke atas untuk mengangkat otot muka. Tahan pergerakan ini untuk selama 30 saat, ulanginya untuk 5 kali. 

Closed eyes

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman closed eyes
Sumber @brightside.me

Tahukah anda, dengan menutup mata, ia juga dapat membantu membakar lemak pada bahagian pipi? Jadi rapat dan tutup mata anda dengan ketat dan rapat. Ia bagi memberikan ketegangan pada raut wajah anda. Ulang kaedah senaman ini sebanyak 15 kali, dan bagi setiap satu senaman, tahan selama 3 saat. 

Chin ups

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman chin ups
Sumber @brightside.me

Kini dagu anda juga boleh melakukan push ups. Tekan bibir bawah meliputi bibir bahagian atas anda dan angkat dagu setinggi yang mungkin. Ulangi langkah ini sebanyak 15 kali. 

Side Kisses

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman Side Kisses
Sumber @brightside.me

Bayangkan anda sedang meraikan kedatangan rakan-rakan lama anda dengan pelukan dan ciuman pipi. Pucker up atau lakukan gerakan seperti ingin mencium pipi sebanyak yang boleh dan gerakkan bibir anda dari kiri ke kanan. Pastikan pergerakan dari satu sisi ke sisi yang lain dilakukan sejauh yang anda boleh. Ulangi senaman ini sebanyak 15 kali.

Jaw dropper

Pipi Bengkak dan Pipi Tembam Jangan Terkeliru - senaman Jaw Dropper
Sumber @brightside.me

Senaman terakhir ini bukan sahaja merupakan senaman regangan yang baik tetapi ia dikatakan sebagai pembakar lemak pada pipi yang amat berkesan. Tekan lidah anda pada sisi belakang gigi depan bahagian bawah dan biarkan rahang anda jatuh pada jarak seluas yang boleh. Senaman ini boleh diulang sebanyak 15 kali. 

Penjagaan Diri

Jika anda merasakan anda mengalami masalah pipi bengkak, segera dapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor untuk mengenal pasti sebarang masalah yang mendasari kewujudan masalah tersebut.

Bagi individu berpipi tembam, jika kurang menggemari keadaan fizikal anda, mungkin anda boleh mencuba kaedah senaman yang dinyatakan di atas. Siapa tahu keadaan wajah anda akan berubah dari raut wajah penuh dan tembam kepada runcing dan tirus.

Manakala bagi individu yang berpipi tembam dan menyukai keadaan fizikal anda sekarang, bergembiralah. Anda mempunyai kelebihan yang mungkin diingini oleh individu berwajah tirus dan runcing. Percayalah, setiap raut wajah yang diciptakan Tuhan mempunyai kelebihan yang tersendiri. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.