backup og meta

Kenapa Gusi Asyik Terasa Gatal? Selain Mulut Tak Bersih, Ada Penyebab Lain Juga!

Kenapa Gusi Asyik Terasa Gatal? Selain Mulut Tak Bersih, Ada Penyebab Lain Juga!

Kita semua pernah alami masalah gatal-gatal. Selalunya, kita rasa gatal apabila tidak mandi seharian, ataupun selepas bersenam. Tetapi, pernahkah anda mengalami gusi gatal?

Apa-apa penyakit pada kawasan mulut seperti sakit gigi dan gatal gusi kedua-duanya boleh menyebabkan sesiapa sahaja jadi merana dan rasa tidak selesa.

Tidak seperti bahagian badan lain, kegatalan tidak boleh dihilangkan dengan menggaru!

Gusi manusia berfungsi untuk melindungi gigi dan memastikan ia kekal di tempatnya. Jika bahagian ini terasa gatal, ini mungkin menandakan jangkitan bakteria di antara gigi dan gusi anda.

Jika gusi gatal sering berlaku, jangan risau. Kondisi ini selalunya boleh dirawat dan dielakkan.

Walau bagaimanapun, anda masih perlu berjumpa doktor gigi jika kegatalan itu serius dan mengganggu aktiviti harian anda. Malah, ia juga mungkin petanda masalah gigi yang lebih teruk.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkan di sini.

Punca gusi gatal

gusi gatal

Kesihatan mulut bukan sekadar menjaga gigi semata-mata. Penjagaan gusi juga penting kerana ia merupakan tisu penting yang melindungi gigi, akar dan semua saraf di kawasan tersebut.

Tanpa penjagaan yang betul, gusi akan mengalami kegatalan dan berpenyakit. Malah, ada juga risiko untuk anda mengalami masalah gigi yang kronik disebabkan kerosakan gusi.

Tetapi, mengapa gusi terasa gatal? Apakah punca di sebaliknya? 

Di bawah, kami sudah senaraikan 4 penyebab yang mungkin menyebabkan anda alami kegatalan gusi. Jom baca!

1. Pengumpulan plak menyebabkan gusi gatal

gusi gatal

Jika bahagian mulut utama anda ini sering rasa gatal, pengumpulan plak mungkin merupakan dalang di sebaliknya.

Semua orang mempunyai plak pada gigi masing-masing. Ia terbentuk pada permukaan gigi apabila bakteria bercampur dengan makanan yang manis atau berserat.

Plak boleh dihilangkan dengan cara memberus gigi dan flossing

Walau bagaimanapun, jika anda malas untuk menjaga kebersihan mulut, plak ini akan menjadi keras dan menyebabkan kaviti dan gingivitis.

Oleh sebab itu, untuk mengelakkan gusi daripada menjadi gatal, pastikan anda memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari dan flos gigi sekali sehari.

Selain itu, pastikan anda berjumpa doktor gigi untuk rawatan sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

Buang jauh-jauh rasa takut anda terhadap doktor gigi! Bukankah lebih baik jika penyakit anda dikesan awal sebelum ia menjadi semakin teruk?

2. Gatal disebabkan penyakit

gusi terasa gatal

Cuba periksa mulut anda. Adakah kegatalan itu disertai dengan simptom lain seperti gusi bengkak dan sakit? 

Jika ini yang berlaku, besar kemungkinan anda mungkin menghidap penyakit gusi.

Mereka yang sering mengabaikan kesihatan gigi amat berisiko untuk mengalami penyakit gusi seperti gingivitis. Jika gingivitis tidak dirawat, ia akan berkembang menjadi periodontitis, sejenis penyakit gusi yang lebih serius.

Penyakit gusi merupakan salah satu penyakit yang perlu dipandang serius. Malah, gatal pada bahagian mulut ini juga mungkin tanda awal jangkitan.

Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika gusi anda sakit, bengkak atau berdarah ketika memberus.

Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan penuh untuk melihat sama ada gusi anda sihat ataupun tidak.

3. Gusi terasa gatal disebabkan alahan

Jika gatal gusi yang anda alami bukan disebabkan oleh plak ataupun penyakit oral, ia mungkin berlaku disebabkan alahan.

Walaupun ramai yang tahu alahan selalunya mempunyai simptom seperti gatal hidung, mata berair dan kerap bersin, gusi yang gatal juga sebenarnya merupakan salah satu simptom alahan.

Mungkin ada sesuatu yang anda makan atau gunakan yang menyebabkan mulut menjadi gatal. 

Sebagai contoh, cuba periksa sama ada:

  1. Produk yang anda gunakan mengandungi alergen. Kadangkala, ubat gigi, ubat kumur dan sebagainya mungkin mengandungi bahan yang boleh menyebabkan alahan.
  2. Alahan makanan juga boleh menyebabkan kawasan mulut gatal dan bibir membengkak. Selalunya ini berlaku apabila anda makan sesuatu yang menyebabkan alahan seperti kekacang ataupun sayur-sayuran tertentu yang dicemari debunga.

4. Gusi gatal selepas pembedahan

doktor gigi

Punca yang terakhir di sebalik gusi gatal mungkin disebabkan oleh pembedahan mulut. 

Kadangkala, gusi anda boleh mengalami kegatalan jika anda baru mencabut gigi bongsu.

Untuk mengurangkan rasa gatal, anda boleh cuba berkumur dengan air garam. 

Elakkan daripada mencederakan kawasan pembedahan dengan aktiviti seperti memberus. Ia akan melambatkan proses pemulihan anda.

Kesimpulan

Jika anda mengalami masalah gusi gatal, besar kemungkinan ia disebabkan oleh pembentukan plak atau penyakit gusi. Kedua-dua penyakit ini boleh dielakkan jika anda rajin memberus gigi dan flos.

Selain itu, amalan merokok juga membuatkan masalah gigi dan gusi anda jadi semakin teruk. Berhentilah merokok untuk mengelakkan mulut anda daripada berpenyakit.

Ingat ya, gigi anda tidak sepatutnya berdenyut, rasa sakit atau gatal dalam satu tempoh masa yang lama. 

Jika ia telah berlarutan untuk masa beberapa hari, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Doktor gigi akan memeriksa mulut anda dan melakukan rawatan yang sepatutnya mengikut penyakit yang anda alami.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Why Are My Gums Itchy? https://www.aspenspringsdental.ca/why-are-my-gums-itchy/. Accessed April 6, 2021.
  2. Dental Plaque. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/10953-plaque. Accessed April 6, 2021.
  3. Have You Heard Of “Itchy” Teeth?  https://www.cygnetessexdental.co.uk/blog/advice/what-causes-itchy-teeth/. Accessed April 6, 2021.
  4. Gum disease. https://www.nhs.uk/conditions/gum-disease/. Accessed April 6, 2021.
  5. Oral allergy syndrome (OAS). https://www.aaaai.org/conditions-and-treatments/library/allergy-library/outdoor-allergies-and-food-allergies-can-be-relate. Accessed April 6, 2021.

Versi Terbaru

26/10/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Awww! Sakitnya Bila Tergigit Bibir Dan Lidah, Ikut 4 Langkah Ini Untuk Rawat!

Pernah Ada Masalah Gusi? JAGA-JAGA! Risiko Untuk Anda Terkena Penyakit Strok TINGGI


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 26/10/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan