Jus Buah: Risikonya terhadap Kesihatan

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 18/06/2020 . 8 minit bacaan

Sudah menjadi norma masyarakat kini yang beranggapan bahawa jus buah adalah bagus untuk kesihatan tubuh badan secara keseluruhannya. Ini kerana mereka percaya bahawa ia mempunyai khasiat dan nutrien yang sama seperti buah-buahan asli. Kenyataan ini sebenarnya tidak tepat kerana kebanyakan jus buah-buahan ini tidak memiliki sepenuhnya khasiat dan nutrien seperti mana yang terdapat di dalam buah-buahan asli.

Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa minda dan tubuh badan memerlukan diet sihat dengan pengambilan sayur dan buah yang mencukupi. Oleh sebab sesetengah individu tidak suka rasa sayur-sayuran, mereka beralih kepada buah-buahan atau jus buah. Ia sangat tinggi dengan khasiat probiotik, enzim, dan nutrien yang boleh terus dihadam oleh sistem pencernaan. Walau bagaimanapun, masih terdapat juga keburukan jika diambil secara berlebihan.

Apa itu jus?

Jus adalah perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris ‘juice’ yang bermaksud cecair yang secara semula jadinya terkandung dalam pati buah atau sayur. Secara mekanikalnya, jus akan disediakan menerusi proses perahan sama ada menggunakan alat atau mesin untuk memerahnya. Cecair yang keluar dari hasil perahan buah-buahan atau sayur-sayuran itu adalah jus. Kebiasaannya, proses perahan itu tidak melibatkan sebarang penggunaan haba atau kimia. Sebaliknya, hanya tekanan yang diperlukan untuk mengekstrak cecair yang hadir dari sel-sel tumbuhan berkenaan.

Jus merupakan minuman yang paling sesuai diminum ketika sarapan, minum petang atau ketika sedang bersantai. Ia juga sesuai dihidang bersama campuran air berkarbonat, larutan susu skim, yogurt atau soda. Kandungan glukosa dan fruktosa yang terdapat di dalamnya mampu membekalkan tenaga buat peminumnya.

Kaedah penghasilan jus komersial mengaplikasikan penggunaan alat penapis untuk membantu menapis serta mengeluarkan gentian serat atau pulpa buah yang mempunyai saiz besar. Ini dilakukan ekoran gentian serat atau pulpa dari tumbuhan ini akan membuatkan jus lebih keruh dan merosakkan rasanya. Pun begitu, ada juga pulpa buah yang disukai oleh ramai individu seperti buah oren kerana rasanya yang lebih manis. Disebabkan itu, pasarannya juga adalah memberangsangkan.

Kaedah pemeliharaan jus pula adalah penting untuk memastikan kesegarannya ketika memproses jus daripada buah atau sayur yang biasanya melibatkan kaedah pengetinan, pembekuan, pemekatan, pembungkusan, pempasteuran, pengeluwapan dan semburan kering. Ini sangat penting untuk memelihara kesegaran jus sekali gus menghapuskan mikroorganisma yang mampu merosakkan kualiti jus.

Adakah jus buah mempunyai risiko?

Hakikatnya, jus buah sebenarnya tergolong di dalam kategori makanan yang tidak sihat sama seperti makanan ringan dan makanan segera. Pandangan ini disokong oleh pakar nutrisi Amerika, Alexandra Prabaharan yang mengeluarkan kenyataan mengatakan jus buahan-buahan asli dengan jus buahan-buahan yang dijadikan minuman adalah dua minuman yang sangat berbeza. Terdapat beberapa faktor yang menyokong kenyataan ini. 

Berikut merupakan risiko jus buah-buahan terhadap kesihatan:

#1. Tidak mempunyai nutrien yang mencukupi

Jus buah-buahan mengandungi vitamin, mineral dan antioksidan yang mencukupi namun kekurangan serat yang sangat diperlukan oleh tubuh badan kita. Sebagai contoh, jus oren mempunyai vitamin C, vitamin B1, vitamin B9, potasium, dan antioksida yang mampu melancarkan antioksidan dalam darah. 

Pun begitu, jus oren turut mengandungi kandungan gula dan kalori yang tinggi jika hendak dibandingkan dengan makanan atau minuman yang lain seperti sayur-sayuran segar ataupun daging. Ini menunjukkan bahawa pengambilan jus buah-buahan tidak mempunyai kandungan nutrien yang cukup berbanding makanan dan minuman yang lain.

#2. Kandungan gula dan kalori yang tinggi

Menurut kajian, kanak-kanak yang mengalami obesiti minum 65 peratus lebih banyak jus buah berbanding kanak-kanak dengan berat badan biasa. Malah, minuman soda kadangkala mempunyai kurang gula berbanding jus buah dalam kotak. Sebagai contoh, jus buah dalam kotak didapati mengandungi 50 peratus lebih banyak gula daripada sejenis minuman berkarbonat. Secara purata pula, terdapat kira-kira 140 kalori dalam jus buah 8 auns sementara sebiji buah asli pula hanya mempunyai kira-kira 60 kalori.

Jus buah sebenarnya memiliki kandungan gula dan kalori yang sangat tinggi. Untuk pengetahuan anda, jus buah-buahan sebenarnya mengandungi kandungan gula dan kalori yang sama dengan minuman berkarbonat bahkan lebih lagi. Sebagai contoh, lihat perbezaan antara 12 auns (350 ml) sejenis minuman berkarbonat dan jus epal di bawah:

Jus Epal: 165 kalori dan 39 gram gula yang bersamaan 9.8 sudu kecil.

Minuman berkarbonat: 140 kalori dan 40 gram gula yang bersamaan 10 sudu kecil.

Berdasarkan pemerhatian terhadap kajian yang dilakukan, jus buah-buahan dan minuman berkarbonat sebenarnya mempunyai kandungan gula dan kalori yang tinggi sekali gus menjadikan minuman-minuman ini sebagai minuman yang perlu dielakkan di dalam diet anda.

#3. Kurang serat

Proses pengekstrakan jus membuatkan serat buah-buahan menjadi sisa. Apabila anda memerah buah-buahan untuk menjadi jus, nutrien dan air juga turut diekstrak dari pulpa berserat, yang sering dilupuskan. Tanpa serat, anda mungkin mengalami masalah pencernaan. Serat juga membantu mengurangkan nafsu dan selera makan, kerana ia membuatkan anda berasa cepat kenyang. Jika tidak, anda akan memerlukan pengambilan banyak jus untuk memuaskan nafsu dan selera anda.

#4. Obesiti dan pelbagai penyakit lain

Pengambilan jus buah-buahan secara berlebihan akan menyebabkan obesiti. Ini disebabkan oleh jus yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Kajian menunjukkan 12 auns atau 350 ml pengambilan jus ini mengandungi gula yang tinggi. Kandungan gula ini dianggarkan sebanyak 10 sudu kecil, bersamaan dengan kiraan kandungan gula di dalam air berkarbonat.

Jus buah-buahan juga mengandungi fruktosa yang hanya boleh dileraikan oleh organ hati. Namun jika amaun fruktosa ini berlebihan, hati tidak akan mampu untuk meleraikan dan fruktosa yang terkumpul ini akan menjadi lemak. Ini akan menyebabkan terjadinya obesiti.

Selain obesiti, pengambilan jus yang berlebihan juga akan mendatangkan pelbagai penyakit lain antaranya diabetes. Tuntasnya, pengambilan jus buah-buahan secara berlebihan hanya akan mendatangkan kesan yang negatif. Oleh itu, pengambilan jus buah-buahan perlulah dikawal agar tidak timbul masalah kesihatan yang tidak diingini.

#5. Mikroorganisma

Sepertimana yang kita semua tahu, buah-buahan dan sayur-sayuran mentah mengandungi mikroorganisma di dalamnya. E. coli, salmonella, dan pelbagai lagi mikroorganisma lain mungkin wujud dalam buah yang anda ingin jadikan sebagai jus, sekali gus menyebabkan keracunan makanan atau gastroenteritis. Tanpa pensterilan haba yang baik, tidak ada jaminan bahawa anda akan selamat daripada bakteria tersebut. Jadi, mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah atau menjalani diet rendah mikron seperti yang diamalkan oleh pesakit kanser dinasihatkan untuk tidak minum jus mentah.

#6. Proses pembuatan yang kurang bersih

Kadangkala, proses pembuatan jus buah ini mungkin kurang bersih terutamanya jus yang diperbuat di kilang-kilang. Sama juga halnya dengan jus yang dibuat di rumah. Anda mungkin tidak perasan beberapa perkara kecil ketika sedang membuatnya. Oleh itu, berikan lebih perhatian terhadapnya.

Disebabkan jus segar biasanya diambil mentah, tanpa proses pasteurisasi, semua peralatan jus harus dibersihkan dengan teliti selepas setiap kali selepas penggunaannya. Anda perlu membasuh bukan sahaja mesin tetapi juga papan pemotong, bekas jus, pisau dan perkakas lain yang digunakan ketika membuat jus. 

Pengekstrak jus mempunyai beberapa bahagian yang berlainan dan masing-masing memerlukan pembersihan dan pembasmian kuman secara berhati-hati. Segala tumpahan, sisa baki, dan warna daripada pigmen semula jadi jus akan menjadikan proses pembersihan lebih sukar.

#7. Penipuan dalam pembungkusan

Anda tidak seharusnya percaya kepada pembungkusan jus buah-buahan yang dijual di pasar raya ataupun kedai runcit. Ini kerana label yang terdapat pada pembungkusan hanya bertujuan sebagai kaedah pemasaran semata-mata. Jus yang mempunyai jenama yang paling terkenal sekalipun tidak mempunyai kualiti yang sama seperti buah-buahan asli. Jus yang tidak mempunyai jenama pula hanya mengandungi air gula yang berperisa.

Anda juga tidak seharusnya percaya dengan jus buah-buahan yang berlabel 100% asli. Ini kerana kebanyakan jus yang berlabel seperti ini disimpan di dalam tangki kedap udara bertahun lamanya sebelum dibungkuskan. Kaedah ini akan menghilangkan rasa asli jus tersebut justeru perasa tiruan perlu ditambahkan ke dalamnya. Oleh itu, keaslian jus tersebut akan tercemar dan bahan perasa tiruan akan merosakkan kualiti jus tersebut.  

#8. Harga yang mahal

Pengambilan jus buah yang diekstrak sendiri sebenarnya jauh lebih mahal jika hendak dibandingkan dengan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mentah. Ia memerlukan pelbagai peralatan khas termasuklah pengekstrak jus, pisau berkualiti, dan bekas jus. Pengekstrak jus berkualiti tinggi berkos mahal. Pengekstrakan jus juga menggunakan lebih banyak buah berbanding penyediaan hidangan. 

Disebabkan anda memerlukan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk membuat jus, anda perlu membelanjakan lebih banyak wang. Di samping kuantiti, terdapat juga kualiti yang sangat penting untuk dipertimbangkan. Penggemar jus semula jadi cenderung memperjuangkan pembelian buah-buahan dan sayur-sayuran organik, yang sudah pasti lebih mahal.

Sekiranya anda sukakan jus buah-buahan, lebih baik mengekstrak jus buah sendiri. Jika tidak, pastikan jus yang anda beli mempunyai label yang mengatakan jus buah 100% pada botol. Kebanyakan jus di pasaran dibuat daripada air, gula, dan bahan tambahan makanan. Kebanyakannya hanya mengandungi kira-kira 10% jus buah sebenar dalam setiap kotak. Elakkan jus yang mengandungi gula tambahan dan pemanis tiruan, yang lebih memburukkan lagi kesihatan anda.

Jadi, buat penggemar jus terutamanya, anda perlu lebih berhati-hati sebelum membeli untuk meminumnya. Paling penting, pertimbangkan kesemua risiko yang telah dinyatakan di atas dan fahami segala pro dan kontra jus buah ini.

Pun begitu, ia sebenarnya masih selamat untuk diminum. Bagaimanapun, jika anda mahu memberi jus kepada anak anda, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu.

Are Juice Detoxes Actually Ruining Your Teeth healthy living nutrition

Apakah jus terbaik buat anak anda?

Anda sebagai ibu bapa diingatkan untuk memberi 100 peratus jus buah-buahan segar. Selain itu, anda juga diingatkan untuk mengelakkan si kecil anda minum koktel atau kordial buah-buahan. Ini kerana ia mengandungi bahan perasa dan pewarna yang berlebihan serta berbahaya buat anak anda.

Mungkin kebanyakan dari kita beranggapan bahawa setiap jenis jus buah-buahan mempunyai nutrisi yang sama banyak walaupun berbeza buahnya. Walhal, ia adalah berbeza sama sekali mengikut jenis dan jenama. Jus yang mempunyai nutrien paling banyak adalah jus yang mempunyai pes di dalamnya yang sangat tinggi kandungan vitamin C. Oleh itu, sila semak label terlebih dahulu sebelum membeli atau meminumnya.

Sebagai contoh, jus oren adalah pilihan yang paling terbaik kerana jus ini mempunyai kandungan gula yang paling rendah berbanding jus-jus yang lain. Jus oren adalah paling tinggi kandungan vitamin C dan potasium. Namun begitu, anda masih perlu berhati-hati kerana ada sesetengah kanak-kanak tidak dapat menahan sitrus yang ada dalam jus sekali gus menyebabkan perut mereka berasa tidak selesa.

Jika ini berlaku, anda perlu menunggu sehingga anak anda berusia 1 tahun sebelum beri mereka minum jus oren atau jus lain. Selain itu, cuba hadkan amaun jus kepada 4 hingga 6 auns sahaja. Dalam pada itu, hidangkan ia di dalam cawan untuk mengelakkan anak anda mengalami pereputan gigi.

Jus epal mempunyai kesan terhadap sistem pencernaan si kecil kerana ia sangat tinggi kandungan glukosa dan fruktosa. Jika diambil dalam amaun yang kecil, jus ini sangat berkesan untuk merawat masalah sembelit. Namun jika diambil berlebihan, ia akan mengakibatkan angin, kegelisahan, kekejangan perut, muntah-muntah dan cirit-birit.

Pendek kata, jus buah-buahan boleh menjadi diet yang sihat untuk si kecil anda jika digunakan dengan betul. Pengambilan jus yang terlalu banyak akan mendatangkan kesan yang negatif kepada si kecil anda.

Petua apabila memberi anak anda jus

Pun begitu, anda masih boleh memberi anak anda jus dengan mencuba petua di bawah:

  • Berbanding terus meletakkan buah di dalam pengisar, didihkan air dan guna jus yang telah meresap ke dalam air daripada buah yang anda masak.
  • Campurkan jus dengan air (contohnya, setengah jus dan setengah air).
  • Elakkan membiarkan anak anda mengamalkan tabiat menyisip jus sepanjang hari dengan cara menyediakannya dalam cawan terbuka, berbanding menawarkan anak anda jus dalam botol, kotak, atau cawan hirup.

Bagi memastikan kanak-kanak tidak minum terlalu banyak jus, ikuti batas di bawah yang disediakan oleh American Academy of Pediatrics:

  • 0 hingga 6 bulan. Jangan berikan jus buah, melainkan ia digunakan untuk melegakan sembelit.
  • 6 hingga 12 bulan. Jika jus diberikan, hadkan pemberian kepada 118 hingga 177 ml dan sediakan dalam cawan (bukannya dalam botol) untuk mengelakkan kerosakan gigi.
  • 1 hingga 6 tahun. Had sehingga 177 ml sehari.
  • 7 tahun dan ke atas. Had sehingga 355 ml sehari.

Jangan beri jus kepada bayi berusia 8 bulan ke bawah!

Ramai pakar pediatrik percaya bahawa anak berusia 8 bulan ke bawah tidak seharusnya diberikan sebarang jenis jus termasuklah jus buah. Sebaliknya, bayi dalam lingkungan usia ini perlu diberikan buah-buahan dan sayur-sayuran asli yang dikisar untuk memastikan mereka mempunyai nutrisi yang mencukupi.

Dalam pada itu, jangan beri anak anda jus sehingga dia sudah boleh minum daripada cawan bayi. Namun, anda perlu memastikan jus tersebut telah dikisar dan dihaluskan sepenuhnya terlebih dahulu. Minum terlalu banyak jus juga boleh menyebabkan hilang keinginan minum air selain mereputkan gigi. Oleh itu, anda hanya boleh beri anak anda minum jus di dalam botol sekiranya doktor anda mengizinkan bagi tujuan melegakan sembelit di dalam badan anak anda.

Konklusi

Konklusinya, jus buah bukanlah satu minuman terbaik buat anda atau anak anda. Walaupun tidak dapat dinafikan kebaikannya, ia juga sebenarnya terdapat keburukan. Dan ternyata, keburukannya lebih banyak terserlah. Jadi, fikirkannya semula sebelum memberi jus buah kepada anak anda.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda lebih mengenali jus buah dan risiko yang datang bersamanya terhadap kesihatan tubuh badan kita.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Nak Buat Kuih Raya Dengan Mentega Atau Marjerin? Mana Lebih Sihat? #StayAtHome

    Ada yang mengatakan marjerin lebih baik daripada mentega. Ada pula yang mengatakan kedua-dua mentega dan marjerin berkhasiat. Mana satu patut anda pilih?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Gaya Hidup Sihat, Pemakanan, Resipi Sihat 20/03/2020 . 3 minit bacaan

    Dengan RM100, RM200 & RM300, Barang Dapur Apa Saja Anda Boleh Beli?

    Mungkin anda boleh melihat kepada anggaran jenis dan kuantiti produk makanan yang boleh anda beli melalui infografik yang kami sediakan di bawah ini

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Gaya Hidup Sihat, Fakta Menarik 06/01/2020 . 5 minit bacaan

    6 Trend Kesihatan Menjelang 2020

    Terapkan beberapa konsep kesihatan bagi mencapai misi kelanjutan usia dan mengelakkan kematian pramatang. Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 30/12/2019 . 4 minit bacaan

    Nak Lebih Sihat Dengan Cara Mudah? Cuba Mula Dengan Makan Popcorn!

    Ambil bertih jagung (popcorn) sebagai snek untuk kekal sihat? Tak percaya? Teruskan membaca untuk mengetahui selanjutnya.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 17/11/2019 . 2 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    Anda Penggemar Kopi Dalgona? Kena Baca Ini! Ada Bahaya Jika Kafein Lebih Dalam Badan

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 11/06/2020 . 3 minit bacaan
    pinggan viral

    Pinggan Viral Bercorak Mungkin Nampak Cantik Tapi Bahaya! – Baca Ini Sebelum Beli

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 03/06/2020 . 3 minit bacaan
    buah-untuk-bayi-perlu-dimasak

    Sebelum Bagi Baby Makan Buah, Kena Masak Dulu Ke? Ini 5 Sebab Ibu Bapa Perlu Tahu

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 01/06/2020 . 3 minit bacaan
    teh kombucha

    Cendawan Mekah Jadi Buruan, Tapi Usah Pandang Ringan Akan Mudaratnya!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 08/04/2020 . 3 minit bacaan