Pernahkah anda terfikir apa fungsi bulu kemaluan wanita atau bulu ari ari bukan? Kemudian, bolehkah ia dihilangkan atau diwarnakan? Jom baca artikel untuk tahu lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Bulu ari ari juga boleh beruban
Rambut beruban adalah sebahagian daripada proses penuaan yang akan menjejaskan mana-mana individu pada satu tahap dalam kehidupan.
Apabila bercakap mengenai rambut berubah warna kepada kelabu ini, ia boleh terjadi pada sebarang rambut yang tumbuh pada tubuh, termasuklah pada bahagian kemaluan.
Anda mungkin akan berasa terkejut apabila terjumpa uban pada bulu kemaluan, tetapi usah bimbang, ia boleh dikembalikan kepada warna asalnya atau warna yang menyerlah (jika mahu).
Sejujurnya perkara berkaitan penjagaan peribadi ini jarang dibincangkan secara terbuka, namun ia adalah perkara yang akan dialami oleh setiap wanita dan lelaki.
Seperkara yang perlu anda ketahui, mewarnakan bulu ini adalah perkara yang tidak digalakkan oleh pakar.
Tetapi jika anda mahu mencubanya, ia selamat dilakukan, namun perlulah untuk mengikuti langkah-langkah tertentu.
Ini terutamanya berkaitan pemilihan pewarna bulu kemaluan. Anda disarankan untuk memilih produk yang bebas daripada paraben dan amonia.
Jika tidak, akan wujud risiko untuk berlaku kerengsaan dan jangkitan kulit.
Ikut petua daripada Hello Doktor ini untuk mewarnakan bulu ari ari!
Persediaan yang perlu dilakukan
Untuk mewarnakan bulu kemaluan, berikut antara bahan yang perlu disediakan, seperti:
- Produk pewarna rambut – sebaiknya bebas amonia dan paraben
- Berus aplikator
- Jeli petroleum
- Syampu pelembap
- Kain lap
- Astringen (seperti toner)
- Bola kapas
Langkah mewarnakan bulu kemaluan
Cara yang dikongsikan di bawah boleh digunakan untuk mewarnakan semua jenis rambut atau bulu pada bahagian tubuh.
TETAPI jangan sesekali menggunakan kaedah ini untuk mewarnakan kening atau bulu mata.
Jika masih mahu mengubah warna kening atau bulu mata, berjumpalah dengan pakar kosmetik berlesen untuk melakukannya.
1. Jeli petroleum
Langkah pertama, sapukan sedikit jeli petroleum untuk menutup kawasan sensitif seperti vulva dan labia.
Ini sekali gus dapat mengelakkan risiko kerengsaan kulit pada bahagian yang berpotensi.
Tetapi pastikan anda tidak menyapu jeli tersebut pada bulu kemaluan yang ingin diwarnakan, okay?
2. Sarung tangan
Jangan lupa untuk membaca arahan pada bungkusan produk pewarna rambut dan memakai sarung tangan yang disediakan.
3. Campurkan pewarna
Campurkan bahan pewarna mengikut arahan dan tambahkan syampu pelembap pada jumlah yang sama.
Ini adalah untuk membantu mencairkan warna dan mengurangkan risiko iritasi pada kulit.
Kacau bahan-bahan tersebut sehingga sebati sepenuhnya.
4. Mulakan mewarna bulu ari ari
Kemudian, sapukan pewarna rambut dengan lembut dan sekata pada bulu kemaluan.
Sebaiknya, gunakan berus yang disediakan. Jika tiada, anda boleh menggunakan berus lukisan.
Jangan gosokkan pewarna ke kulit dan elak daripada membiarkan warna berlebihan meresap masuk ke dalam faraj dalaman sensitif yang disapu jeli petroleum.
5. Tempoh masa
Selesai proses mewarna, biarkan mengikut tempoh arahan pada bungkusan, biasanya antara 20 hingga 30 minit.
Jika anda berasa seperti sensasi terbakar atau kerengsaan yang menyakitkan, basuh dengan segera!
6. Cara membasuhnya
Cara paling mudah dan cepat untuk mencuci selepas mewarna bulu ari ari adalah dengan menggunakan pancuran air suam.
Setelah pewarna dibilas, gunakan sabun badan bersama kain lap atau loofah untuk menyingkirkan lebihan jeli petroleum.
7. Menggunakan astringen
Sekiranya terdapat lebihan pewarna pada kulit anda, cucinya dengan menggunakan astringen bersama bola kapas.
8. Warnakan sekali lagi
Sekiranya warna yang terhasil tidak menepati seperti yang anda ingini, anda boleh mewarnakannya sekali lagi.
Pun begitu, tunggu sekurang-kurangnya seminggu sebelum melakukannya semula.
Dalam masa yang sama, pastikan tidak berlaku kerengsaan atau jangkitan kulit, okay?
Untuk pewarnaan kali kedua, mungkin anda boleh cuba menambah tempoh masa menunggu antara 5 hingga 10 minit sebelum mencucinya.
[embed-health-tool-ovulation]