Ini cara merawat kulit melecur yang patut anda buat

Jika kulit terkena air panas itu tidak begitu teruk atau dalam keadaan luka terbakar yang ringan, anda masih boleh merawatnya di rumah. Ikuti cara merawat kulit melecur di bawah ini:
- Jauhkan diri anda daripada sumber haba untuk mengelakkan kecederaan yang lebih teruk.
- Lalukan kawasan kulit yang melecur pada air mengalir yang sejuk untuk menyejukkan kawasan tersebut. Lakukan ini sekurang-kurangnya selama 20 minit. Jangan gunakan ais, air berais, atau bahan berminyak. Pastikan tubuh badan anda kekal hangat semasa proses ini dilakukan untuk mengekalkan suhu badan yang sesuai.
- Sekiranya luka terbakar itu melibatkan sebahagian besar tubuh badan, jangan rendamkan diri anda dalam air sejuk. Ini boleh menyebabkan anda kehilangan kehangatan tubuh badan dan seterusnya memburukkan lagi kecederaan tersebut.
- Tanggalkan barang kemas atau pakaian yang berdekatan dengan kawasan yang terjejas. Ini untuk merendahkan suhu pada kulit tersebut dan memberikan ruang kepada kulit untuk membengkak. Sekiranya pakaian atau barang kemas itu melekat pada kawasan kulit yang melecur, jangan terus menanggalkannya. Ini boleh menyebabkan kecederaan yang lebih parah pada kulit.
- Tutup luka melecet dengan pembalut lembap atau kain bersih.
- Sekiranya boleh, tinggikan kawasan yang terbakar lebih daripada paras jantung.
- Jangan pecahkan sebarang gelembung pada kulit yang melecet.
- Makan ubat penahan sakit seperti paracetamol untuk mengurangkan kesakitan yang dialami.
- Jika luka terbakar tersebut berlaku pada muka atau mata, banyakkan duduk daripada berbaring. Ini untuk mengurangkan pembengkakan yang berlaku.
- Sekiranya luka terbakar tersebut melibatkan cecair berbahaya seperti asid atau bahan kimia, segera dapatkan bantuan daripada pihak bomba. Di samping itu, jauhkan diri anda daripada cecair berbahaya dan cuci kawasan kulit yang terjejas dengan menggunakan air bersih yang banyak.
Tidak semua jenis keadaan kulit terkena air panas boleh dirawat di rumah
Namun, anda mesti ingat, cara merawat kulit melecur ini hanya sesuai jika luka melecur itu tidak begitu serius.
Jika luka melecur akibat kulit terkena air panas itu agak serius, segera dapatkan bantuan kecemasan di hospital atau menelefon ambulans.
Begitu juga jika ia melibatkan cecair berbahaya, barangan elektrik atau keadaan melecur sehingga kulit menjadi hitam.