Satu hipotesis yang turut dicadangkan adalah peranan nilai pH melanocyte dan juga paras cysteine. Menurut hipotesis ini, nilai pH dan juga paras cysteine dikatakan mempengaruhi warna rambut seseorang. Apabila nilai pH menjadi kurang (menjadi lebih bersifat asid) terdapat pengurangan beransur – ansur dalam aktiviti enzim tyrosinase yang akhirnya membawa kepada peningkatan paras kompaun pheomelanin, menjadikan warna rambut lebih ke arah warna merah atau perang muda (blonde).
Kekurangan vitamin B12
Kekurangan vitamin B12 berupaya untuk menyebabkan penukaran warna rambut menjadi putih. Dikatakan sekitar 55% daripada pesakit yang menghidap pernicious anemia menghidap masalah perubahan warna rambut menjadi warna putih sebelum mencapai usia 50-an.
Kekurangan hormon tiroid
Kekurangan hormon tiroid T3 dan T4 juga salah satu daripada punca yang dikenal pasti berupaya untuk menyebabkan perubahan warna rambut pramatang (PGH), selain masalah keguguran rambut. Hormon tiroid T3 dan T4 bertindak secara langsung terhadap folikel rambut dalam merangsang proses penghasilan melanin (melanongenesis).
Peranan ubat
Ubat Antimalaria
Chloroquine (CHL) adalaha sejenis ubat antimalaria. Pada dos 250mg/sehari, CHL dikatakan mempunyai kesan sampingan di mana pengguna ubat ini berupaya untuk mengalami perubahan warna rambut, bulu mata, kening, misai dan juga bulu pada badan. CHL dikatan menyebabkan warna rambut menjadi lebih halus dan terang.
Ubat Penghalang Tyrosine Kinase (TKI)
Laluan isyarat tyrosine kinase c-kit terlibat dalam proses melanogenesis. Justeru, pengguna ubat TKI yang menghalang reseptor dalam laluan ini akan menyebabkan rambut kurang mendapat pigmen. Dalam kebanyakan kes, proses ini boleh diterbalikan selepas ubat tersebut dihentikan. Contoh ubat TKI adalah ubat antikaser seperti Imatinib, Sunitib, Pazopanib dan juba Dasatinib.
Ubat Antisawan
Terdapat juga ubat antisawan yang turut berupaya untuk menghasilkan perubahan warna rambut. Contoh ubat yang dimaksudkan adalah ubat asid valproik, phenytoin dan juga phenobarbital. Bergantung kepada individu dan indikasi penggunaan, ubat antisawan mampu untuk melunturkan warna rambut atau menggelapkan lagi warna rambut.
Merokok
Merokok adalah aktiviti yang cukup terkenal sebagai faktor risiko dan punca pelbagai jenis penyakit berbahaya. Maka tidak hairanlah merokok termasuk dalam salah satu perkara yang menyumbang kepada pemutihan warna rambut. Kajian mendapati merokok mempunyai kaitan yang signifikan dengan PGH. Antara penjelasan yang diberikan untuk mengaitkan kesan rokok kepada pemutihan rambut ini adalah sifar prooksidan rokok yang meningkatkan kerosakan Spesies Reaktif Oksigen (ROS) kepada sel-sel melanocyte pada bahagian folikel rambut.
Keadaan kesihatan tertentu
Albinisma adalah sejenis penyakit keabnormalan genetik di mana sedikit atau tiada langsung pigmen dalam tubuh badan seseorang itu. Ini menyebabkan rambut, mata, bulu kening dan juga kulit mereka menjadi sangat pucat dan putih. Selain itu, rambut berwarna putih juga boleh disebabkan oleh keadaan kesihatan seperti sindrom Chediak-Higashi, sindrom Elejalde dan juga sindrom Griscelli. Vitiligo pula adalah sejenis keadaan kesihatan di mana terdapatnya tompok-tompok pelbagai saiz pada permukaan tubuh badan yang menyebabkan keguguran rambut dan/ atau perubahan warna kulit dan/ atau rambut. Tompok ini disebut sebagai poliosis. Vitiligo ini mempunyai kaitan yang kuat dengan penyakit autoimun. Selain vitiligo, terdapat juga penyakit lain yang berupaya untuk menzahirkan kewujudan poliosis. Contoh penyakit yang dimaksudkan adalah sindrom Waardenburg, sindrom Woolf dan juga tuberous sclerosis.
Warna rambut yang lebih terang boleh disebabkan oleh gangguan metabolisma seperti phenylketonuria, histidemia, penyakit Oasthouse dan juga homocystinuria.
Terdapat juga keadaan kesihatan yang boleh menghasilkan rambut yang bewarna kelabu khususnya dalam kanak-kanak. Penyakit yang dimaksudkan adalah sindrom Angelmann, sindrom Prader-Willi dan juga sindrom Cross.
Penggunaan pewarna rambut untuk warna – warni tiruan

Pewarna rambut adalah bahan yang cukup popular dalam kalangan pengguna yang ingin mencuba warna rambut baru atau warna rambut yang selalu mereka impikan. Selain untuk tujuan kosmetik, pewarna rambut juga turut digunakan oleh mereka yang mempunyai masalah pemutihan rambut pramatang (PGH) Pewarna rambut boleh dihasilkan melalui bahan semula jadi atau bahan sintetik. Selain itu, bahan pewarna ini juga boleh bertindak secara sementara ataupun kekal.
Pewarna rambut semula jadi dihasilkan menggunakan ekstrak tumbuh-tumbuhan seperti pokok teratai (Zizyphus spina-christi), pokok henna (Lawsonia alba), pokok Indian gooseberry (Emblica officinalis) dan juga pokok spesies Eclipta alba. Kelebihan menggunakan pewarna rambut berteraskan bahan semula jadi ini adalah ia bersifat hipoalergenik dan juga tidak toksik. Lazimnya, bahan pewarna rambut semula jadi lebih cenderung untuk kekal lebih lama berbanding pewarna rambut yang berteraskan bahan sintetik.
Pewarna rambut yang bertindak untuk tempoh sementara, tidak mampu untuk menembusi kutikel dan ia boleh hilang jika dibasuh dengan syampu. Selain memberikan warna rambut yang seragam dan menarik, bahan pewarna juga melindungi rambut anda daripada kerosakan akibat sinaran cahaya matahari. Pewarna rambut sementara akan pudar dengan sendirinya dalam tempoh masa 4 hingga 6 minggu. Disebabkan kebergantungannya pada ketelusan struktur rambut, warna asal rambut dan kadar pudar yang cepat, pewarna rambut sementara mampu menghasilkan tona yang sedikit tidak sekata yang menyebabkannya kelihatan lebih semula jadi. Namun yang demikian, kebergantungan kepada warna asal rambut ini juga mempunyai kelemahannya sendiri – ini bermaksud rambut yang berwarna putih (uban) tidak akan menyerap bahan pewarna yang disapu. Satu lagi kelemahannya adalah ia tidak mampu untuk menerangkan lagi warna rambut seperti yang dilakukan oleh pewarna kekal. Ini kerana untuk menerangkan warna rambut, peluntur akan digunakan, dan proses pelunturan merupakan proses yang bersifat kekal.
Pewarna rambut kekal adalah pewarna rambut yang paling popular di pasaran komersial. Pewarna rambut sebegini bertindak dengan melakukan perubahan struktur rambut melalui tindak balas kimia dan hanya akan hilang apabila ia dipotong atau ia digugurkan. Walau bagaimanapun, terdapat risiko kerosakan rambut akibat daripada proses oksidasi daripada bahan pewarna kekal. Dalam sesetengah individu, mereka berisiko untuk mengalami masalah keradangan kulit dan juga keguguran rambut akibat daripada penggunaan bahan pewarna rambut seperti ini. Pewarna rambut kekal juga memerlukan penjagaan yang kerap, sama ada sebulan sekali atau setiap 6 minggu, bagi menyeragamkan warna rambut yang baru tumbuh dengan warna rambut yang lain.
Perbezaan warna rambut dalam spesies manusia adalah salah satu daripada ciri-ciri unik kita yang patut diraikan. Setiap warna rambut itu mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sekiranya anda inginkan maklumat yang lebih lanjut tentang keadaan kesihatan yang mungkin menyebabkan warna rambut anda berubah ke warna tertentu, atau ingin mendapatkan nasihat perubatan berkaitan keselamatan penggunaan bahan kimia pada bahagian rambut anda, berjumpalah dengan doktor pakar supaya anda boleh mendapatkan jawapan yang sahih dan tepat.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen