Wanita boleh alami pelbagai jenis simptom sebelum mereka haid, salah satu daripadanya adalah kerap lapar sebelum period.
Ia bukanlah satu fenomena asing malah hampir 90% wanita yang melalui fasa prahaid boleh mengalami simptom seperti kelesuan, peningkatan pada selera makan, ketidakstabilan emosi dan sakit payudara.
Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak boleh didiagnosis sewenang-wenangnya tanpa bantuan doktor perubatan.
Ini berikutan, peningkatan pada selera makan merupakan simptom umum yang turut dialami oleh mereka yang mempunyai penyakit lain seperti kecelaruan lewah (binge-eating disorder).
Pasti anda tertanya-tanya, kenapa wanita yang prahaid lebih cenderung untuk mendapat permasalahan ini.
Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Makan banyak bantu redakan ketidakstabilan emosi
Terdapat paten pada corak pemakanan wanita yang berada dalam fasa prahaid.
Kajian menunjukkan peningkatan pada jumlah hormon estrogen dan progesteron boleh meningkatkan kecenderungan seseorang itu untuk mengambil makanan yang tinggi gula dan karbohidrat.
Oleh sebab itulah, mereka yang mengalaminya kebiasaannya obses dengan makanan ringan seperti coklat, gula-gula dan sebagainya.
Pengambilan makanan tersebut dapat meredakan ketidakstabilan emosi dan kelesuan yang dialami sepanjang tempoh prahaid.
Makanan yang mengandungi gula boleh meningkatkan rembesan bahan kimia serotonin yang berupaya untuk menimbulkan rasa gembira pada diri seseorang itu.
Jadinya, kerap lapar sebelum period sememangnya normal.
Pun begitu, kira-kira 5% wanita yang mengalami haid berisiko untuk didiagnosis dengan satu keadaan yang lebih serius sepanjang tempoh prahaid.
Keadaan tersebut juga boleh menyebabkan nafsu makan meningkat sebelum haid.
Ia dikenali sebagai kecelaruan disforia prahaid (premenstrual dysphoric disorder, PMDD). Dalam bahasa mudah, ia seperti sindrom prahaid, namun lebih teruk.
Mereka yang mengalaminya turut berisiko untuk mendapat simptom murung dan perubahan mood mendadak.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan mereka yang mengalami masalah pada kitaran haid seperti haid tidak teratur lebih mudah untuk mendapat simptom makan banyak.
Kerap lapar sebelum period, tip mengelakkannya
Setiap individu memerlukan bantuan berbeza untuk mengatasi masalah makan banyak sepanjang menempuhi fasa prahaid.
Ada wanita yang boleh mengawal atur gaya hidup mereka namun ada juga yang memerlukan rawatan farmakologikal dan bantuan pakar untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Antara langkah yang boleh diambil adalah:
#1 Akui anda sebenarnya ada masalah makan banyak
Tiada faedahnya anda mempertahankan masalah makan banyak dengan pelbagai jenis alasan yang kadangkala tidak masuk akal.
Perubahan pada diri dan gaya hidup seseorang sukar berlaku sekiranya mereka tidak mengakui masalah yang sedang dialami.
Jika anda sememangnya tidak menyedari akan corak pemakanan anda yang meningkat naik, anda boleh rekodkan dalam diari makanan dan pantau dari semasa ke semasa.
Melalui rekod tersebut, anda boleh lihat tahap keterukan masalah makan banyak terutamanya ketika fasa prahaid.
Kerap lapar sebelum period #2 Diet sihat
Anda mungkin rasa gatal tangan hendak menempah makanan segera seperti piza dan sebagainya ketika nafsu makan menguasai diri.
Namun, seperti nutrisi karbohidrat ringkas yang terdapat dalam makanan segera, makanan sihat yang mengandungi karbohidrat kompleks juga boleh meredakan masalah emosi tidak stabil dan kelesuan yang dialami.
Anda boleh menyediakan makanan sihat seperti:
- Oat
- Kekacang
- Buah-buahan
- Sayur-sayuran
- Yogurt
- Minuman herba seperti teh
Jika anda betul-betul mengidam makanan manis seperti coklat, ambil dalam kuantiti sedikit. Cukup untuk melangsaikan keinginan tersebut.
#3 Senaman sebagai langkah untuk elak kerap lapar sebelum period
Terdapat pelbagai cara sihat yang boleh diamalkan untuk meredakan masalah ketidakstabilan emosi dan kelesuan selain makan.
Antaranya adalah senaman. Anda tidak perlu pergi ke gim atau melakukan sebarang senaman berat jika anda tidak mahu.
Aktiviti sederhana seperti berjalan dan berjoging juga boleh meningkatkan rembesan bahan kimia yang boleh mempengaruhi mood seseorang seperti endorfin.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap individu untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti sederhana dalam tempoh seminggu.
Ia baik untuk kesihatan fizikal dan mental.
#4 Dapatkan bantuan daripada golongan profesional untuk atasi kerap lapar sebelum period
Masih gagal kawal nafsu makan? Dapatkan bantuan pakar.
Anda boleh berjumpa dengan pakar pemakanan dan menghadiri sesi psikoterapi bagi mengenal pasti isu dan belajar cara untuk mengawal nafsu makan sepanjang tempoh prahaid.
Terdapat masalah kesihatan lain yang turut boleh mengundang berlakunya masalah makan banyak, seperti mereka yang mengalami masalah keresahan dan kemurungan.
Keadaan kesihatan tersebut lebih cenderung untuk mendorong berlakunya masalah makan banyak.
Baca juga: